KUALA LUMPUR: Sebanyak 915,874 nahas jalan raya direkodkan sepanjang 2021 dan 2022, kata Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Daripada jumlah itu, menterinya, Encik Anthony Loke, berkata terdapat 545,588 kemalangan jalan raya pada 2022, dengan 6,080 kematian (1.1%) dan 370,286 kemalangan pada 2021 dengan 4,539 kematian (1.23%).
“Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kemalangan jalan raya kebanyakannya disebabkan oleh tingkah laku manusia, diikuti oleh reka bentuk, keadaan infrastruktur jalan dan keadaan kenderaan.
“Miros dan Jabatan Pengangkutan Jalan terus menjalankan kempen dan langkah penguatkuasaan untuk menggalakkan etika pandu dengan selamat,” kata Encik Loke dalam jawapan bertulis parlimen kepada Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) pada Selasa.
Datuk Adnan meminta Menteri Pengangkutan menjelaskan punca utama kemalangan jalan raya yang membawa maut di samping rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk merungkaikan isu itu.
Dalam respons selanjutnya, Encik Loke berkata Kementerian Pengangkutan turut melancarkan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM 2022-2030) pada 27 Januari 2022 bagi menangani isu kemalangan jalan raya.
“Matlamatnya adalah untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030. Pelbagai program dan strategi melibatkan pihak berkepentingan daripada masyarakat tempatan sehinggalah sektor swasta juga telah dirancang,” ujar beliau.
Beliau berkata, kedua-dua strategi aktif dan pasif turut diambil untuk meningkatkan standard keselamatan kenderaan.
“Ini adalah melalui pewujudan pusat penyelidikan dan ujian keselamatan kenderaan serta menambah baik piawaian dan mekanisme yang digunakan untuk menilai keselamatan kenderaan,” katanya lagi. – The Star.