BESUT (Terengganu): Dua butir bom lama ditemui seorang pemandu jentolak ketika beliau melakukan kerja pembersihan kawasan di belakang sebuah stesen minyak di Seberang Jertih pada Selasa petang.
Encik Nik Suhairi Azlan Latif, 32 tahun, berkata beliau menemui bom itu ketika sedang membuang tunggul kayu di kawasan itu untuk kerja pembinaan rumah.
“Ketika menggali tanah, saya nampak dua objek seakan bom bergolek bersama tanah.
“Pada mulanya, saya sangkakan ia mainan kanak-kanak, tetapi menyedari ia mungkin bom sebab ia berat dan keadaan luarannya seperti tidak pernah digunakan sebelum ini.
“Saya segera memaklumkan kepada tuan tanah dan memintanya menghubungi polis,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mengesahkan objek yang ditemui itu adalah bom lama atau Unexploded Ordnance (UXO), berukuran 60 milimeter (mm).
Beliau berkata tindakan pemusnahan bom selesai dilakukan dengan menggunakan teknik kaedah elektrik.
Pada April lalu, Pasukan Pemusnah Bom Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud secara bersama melaksanakan operasi memusnahkan bom Unexploded Ordnance (UXO) yang dipercayai digunakan ketika Perang Dunia Kedua di Pulau Mantanani, Kota Belud, di Sabah.