JAKARTA: Dua pulau baru muncul berhampiran Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda selepas letusan berterusan selama kira-kira 25 jam pada awal September, mencetuskan persoalan sama ada kawasan gunung berapi itu sedang melahirkan pulau baru buat kali pertama dalam hampir satu abad.

Daratan yang terletak beberapa ratus meter dari Anak Krakatau itu sudah digelar ‘Cucu Krakatau’ oleh penduduk tempatan, namun ahli geologi menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada ia benar-benar pulau baru atau sekadar timbunan bahan letusan yang muncul di atas permukaan laut.

Menurut Badan Geologi Indonesia, satu daratan dikesan kira-kira 760 meter dari pantai barat laut Anak Krakatau, manakala satu lagi terletak sekitar 495 meter di tenggara.

Kedua-duanya berada hampir dalam satu garisan merentasi kawah Anak Krakatau dari arah barat laut ke tenggara.

Badan itu belum mengesahkan keluasan atau ketinggian kedua-dua daratan tersebut daripada paras laut.

Penilaian awal menunjukkan magma yang agak cair ketika episod letusan berterusan mungkin sampai ke permukaan menerusi rekahan memanjang dari barat laut ke tenggara.

Bahan letusan yang keluar kemudian terkumpul di kawasan laut cetek sehingga membentuk dua timbunan menyerupai pulau.

Namun, pakar berkata pemeriksaan lanjut di lapangan diperlukan untuk menentukan struktur dan bahan yang membentuk kedua-duanya.

“Pada peringkat ini, kami belum dapat mengesahkan asal-usul atau komposisi kedua-dua daratan tersebut hanya berdasarkan imej satelit,” kata ketua pasukan gunung berapi Badan Geologi, Cik Heruningtyas Desi Purnamasari.

Beliau berkata pihaknya juga belum dapat memastikan sama ada bahan gunung berapi itu meletus secara langsung di kedua-dua lokasi berkenaan atau ia sebenarnya merupakan pusat letusan baru.

Kemunculan daratan tersebut menyusuli episod letusan berterusan Anak Krakatau yang bermula pada 4 September dan berakhir pada awal 6 September selepas berlangsung selama kira-kira 25 jam.

Badan Geologi mengesahkan letusan itu menghasilkan aliran lava, manakala aktiviti gunung berapi kemudian menunjukkan trend menurun.

Letusan itu turut mengubah bentuk Anak Krakatau.

Imej satelit menunjukkan bahan piroklastik dan aliran lava menambah kira-kira 32.8 hektar daratan baru di bahagian barat laut, barat dan barat daya pulau tersebut.

Petunjuk paling jelas mengenai salah satu daratan baru itu diperoleh secara tidak sengaja hampir dua minggu selepas letusan.

Aktivis pelancongan dari Kalianda, Lampung Selatan, Encik Yodistara Nugraha, ketika itu menggunakan dron untuk membantu mencari sekumpulan wartawan dan individu lain yang dilaporkan hilang di laut ketika melakukan perjalanan liputan ke Anak Krakatau.

Dalam penerbangan terakhir dronnya pada hari berkenaan, kamera merakam ombak memecah pada satu daratan rendah berwarna gelap di antara Pulau Sertung dengan Anak Krakatau.

Rakaman itu dipercayai menunjukkan daratan baru di sebelah barat laut.

“Saya pada mulanya tidak sedar bahawa saya mungkin merakam sesuatu yang baru,” katanya.

“Hanya selepas itu saya memahami betapa menarik dan mungkin pentingnya rakaman tersebut.”

Imej satelit Sentinel turut menunjukkan kewujudan dua bentuk daratan itu selepas letusan September.

Namun, persoalan terbesar bagi ahli geologi kini ialah sama ada kedua-duanya terbentuk daripada bahan letusan yang terkumpul atau menunjukkan kewujudan pusat letusan baru di bawah laut.

Penolong Profesor Asri Oktavioni Indraswari dari Jabatan Geosains Universiti Indonesia berkata terdapat dua kemungkinan utama.

Ia mungkin pusat letusan baru atau sekadar bahan gunung berapi yang bertimbun di kawasan cetek dalam kaldera lama Krakatau.

Jika magma benar-benar keluar daripada pusat baru itu, katanya, ia menunjukkan aktiviti gunung berapi tidak lagi hanya tertumpu pada saluran utama Anak Krakatau.

Kemunculan daratan baru itu menarik perhatian kerana sejarah kepulauan Krakatau sendiri sentiasa berubah akibat proses letusan dan hakisan.

Anak Krakatau mula muncul selepas letusan besar Krakatau pada 1883 yang memusnahkan sebahagian besar pulau asal dan mengorbankan lebih 36,000 orang.

Aktiviti gunung berapi bawah laut di lokasi Anak Krakatau mula diperhatikan dengan jelas pada penghujung 1927.

Bahan letusan muncul di atas permukaan laut pada 1928, tetapi kemudiannya terhakis dan tenggelam semula.

Proses muncul dan tenggelam itu berlaku beberapa kali sebelum Anak Krakatau akhirnya kekal sebagai sebuah pulau pada 1930.

Sejak itu, bentuk dan saiznya terus berubah.

Pada Disember 2018, sebahagian besar sisi Anak Krakatau runtuh ketika letusan, mencetuskan tsunami di Selat Sunda dan menyebabkan ketinggian puncaknya merosot dengan mendadak.

Profesor vulkanologi Universiti Birmingham, Encik Sebastian Watt, berkata daratan gunung berapi yang terletak hampir dengan paras laut sememangnya sangat dinamik.

Bahan longgar daripada letusan boleh membentuk daratan dengan cepat, tetapi ombak dan arus laut juga mampu menghakisnya sehingga ia kembali tenggelam.

Justeru, sama ada dua ‘Cucu Krakatau’ itu akan kekal sebagai pulau bergantung pada ketinggiannya ketika air pasang, kadar hakisan dan sama ada letusan seterusnya terus menambah bahan gunung berapi.

Badan Geologi pada 21 September menurunkan status Anak Krakatau daripada Tahap III atau Siaga kepada Tahap II atau Waspada selepas data menunjukkan aktiviti gunung berapi dan perubahan bentuk permukaan semakin berkurangan.

Walaupun aktiviti mereda, orang ramai masih dinasihatkan supaya tidak menghampiri pusat aktiviti Anak Krakatau.

Buat masa ini, dua daratan yang digelar “Cucu Krakatau” itu menjadi petunjuk terbaru bahawa landskap di kaldera Krakatau masih terus dibentuk dan diubah oleh proses gunung berapi yang bermula lebih seabad lalu. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti