Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua datuk bandar Muslim mewarnai arus politik New York dan London

Nov 8, 2025 | 5:30 AM
Dalam catatannya di Instagram pada 22 September 2024, Datuk Bandar London Sadiq Khan (depan tengah) menulis bahawa pilihan raya Datuk Bandar dan umum tahun itu menyaksikan Parti Buruh mencatat kemenangan besar di seluruh kota London dari kawasan pusat hingga pinggir bandar.
Beliau turut merakam penghargaan kepada calon-calon Parti Buruh, pasukan kempen, serta para aktivis @londonlabour yang disifatkannya sebagai “tulang belakang kejayaan bersejarah ini.”
Dalam catatannya di Instagram pada 22 September 2024, Datuk Bandar London Sadiq Khan (depan tengah) menulis bahawa pilihan raya Datuk Bandar dan umum tahun itu menyaksikan Parti Buruh mencatat kemenangan besar di seluruh kota London dari kawasan pusat hingga pinggir bandar. Beliau turut merakam penghargaan kepada calon-calon Parti Buruh, pasukan kempen, serta para aktivis @londonlabour yang disifatkannya sebagai “tulang belakang kejayaan bersejarah ini.” - Foto Instagram Sadiq

NEW YORK/LONDON: Ketika dunia menyaksikan kebangkitan politik populis dan nasionalisme sempit di Barat, dua tokoh Muslim progresif kini berdiri di barisan hadapan perubahan.

Encik Zohran Mamdani, calon utama dalam pilihan raya Datuk Bandar New York yang berlangsung 4 November, dan Encik Sadiq Khan, Datuk Bandar London, melambangkan gelombang baru pemimpin bandar liberal yang menolak retorik perpecahan.

Kedua-dua mereka berakar daripada komuniti imigran, berhaluan kiri, dan berpegang pada nilai keterangkuman. Namun, perjalanan politik mereka meskipun berbeza konteks berkongsi tema serupa: perjuangan untuk mempertahankan nilai kemanusiaan di tengah-tengah kebencian dan ketakutan yang menular.

“Kita kini berada dalam zaman kebangkitan populisme sayap kanan di kedua-dua negara. Sadiq dan Zohran luar biasa kerana mereka menggunakan kuasa bandar mereka untuk menggerakkan kemajuan,” kata Encik Matthew McGregor, Ketua Eksekutif kumpulan pemikir progresif London, 38 Degrees.

Dua Pemimpin, Dua Bandar, Satu Visi

Encik Khan dan Encik Mamdani datang daripada latar yang berbeza, tetapi kedua-duanya mencerminkan wajah baru politik bandar besar. Encik Khan, berusia 55 tahun, ialah anak kepada pemandu bas dari Pakistan yang membesar di perumahan awam di London. Manakala Encik Mamdani, 34 tahun, lahir di Uganda kepada ibu bapa berketurunan India, bapanya seorang profesor universiti dan ibunya seorang pengarah filem.

Encik Khan ialah ahli Parti Buruh yang realistik dan sederhana, manakala Encik Mamdani menggelarkan dirinya sebagai demokrat sosialis yang menolak status quo.

Encik Mamdani telah memenangi pilihan raya dan menjadi Datuk Bandar Muslim pertama New York, serta yang termuda dalam lebih satu abad.

Kedua-duanya menjadi sasaran serangan tajam daripada Presiden Donald Trump, yang pernah menyindir Encik Mamdani sebagai “komunis tulen” dan Encik Khan sebagai “si gagal sejuk beku.”

“Ada yang membenci London dan New York kerana kedua-duanya bandar progresif, liberal, dan berjaya,” ujar Encik Khan dalam temu bual bersama Bloomberg Television pada 3 November. “Kami bandar yang meraikan kepelbagaian dan ia menjadikan kami kuat.”

Perjalanan mereka berdua bermula hampir serentak pada 2016 - tahun penting dalam landskap politik dunia. Encik Khan menang pilihan raya Datuk Bandar London ketika Britain memilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah, satu tindakan yang didorong ketakutan terhadap migrasi.

Pada tahun sama, kempen presiden Senator Bernie Sanders di Amerika Syarikat membangkitkan semangat generasi muda progresif termasuk Encik Mamdani, yang kemudian menjadi tokoh utama sayap kiri Demokrat.

“Saya masih ingat menyertai perhimpunan pertama Bernie,” kata Encik Mamdani dalam satu temu bual terdahulu. “Itu kali pertama saya percaya bahawa politik benar-benar boleh mewakili rakyat biasa.”

Dua dekad dalam politik menjadikan Encik Khan tokoh berpengalaman yang menyeimbangkan pragmatisme dengan idealisme. Encik Mamdani pula mewakili generasi baru yang berani mencabar struktur lama dan memperjuangkan dasar berani - pembekuan sewa rumah, pengangkutan awam percuma, penjagaan anak percuma dan cukai kekayaan untuk golongan kaya.

Encik Khan sering dituduh terlalu sederhana oleh pengundi sayap kiri, manakala Encik Mamdani dikritik kerana terlalu radikal. Namun kedua-duanya menumpukan kepada isu sama tentang kemampuan hidup, perumahan mampu milik dan keadilan ekonomi.

Di London, Encik Khan menumpukan kepada pengangkutan awam, pengawalan pencemaran udara dan pembinaan rumah baru. Encik Mamdani pula menjadikan isu “kos sara hidup” teras kempen beliau di New York, bandar yang sedang berdepan jurang sosial paling besar di Amerika.

“New York bukan untuk yang kaya sahaja. Ia mesti jadi tempat untuk pekerja, keluarga dan imigran,” tegas Encik Mamdani dalam satu debat calon.

Namun, Encik Mamdani sedar bahawa cabaran menantinya bukan kecil. Hubungannya dengan Rumah Putih di bawah pentadbiran Trump dijangka tegang kerana Presiden Trump telah memberi amaran akan memotong dana persekutuan jika dasar kiri Mamdani diteruskan.

Dihadang Xenofobia dan Islamofobia

Seperti Encik Khan, Encik Mamdani turut berdepan serangan bermotif agama dan perkauman. Dalam satu wawancara bersama Fox News, beliau enggan menjawab soalan tentang Hamas, sebaliknya menegaskan fokusnya ialah isu keperluan rakyat New York.

Tindakannya dikritik oleh anggota Republikan Cik Elise Stefanik, yang menuduh beliau “jihadis.” Kempen Encik Mamdani menyifatkan tuduhan itu sebagai “xenofobik dan berbahaya.”

“Islamofobia bukan isu asing bagi kami,” kata Encik Mushtaq Rahman, sukarelawan kempen Mamdani di Queens. “Tetapi kali ini, pengundi tahu siapa yang berdiri bersama mereka dan Mamdani ialah salah seorang daripada kami.”

Di London pula, Encik Khan menghadapi serangan serupa. Sebelum pilihan raya 2016, lawan konservatifnya menuduh beliau “membawa sosialisme agresif melalui pintu belakang.” Namun Enci Khan menang besar dengan majoriti 13 peratus.

“Menjadi anak kepada pemandu bas mungkin lebih penting dalam kempen beliau berbanding latar agamanya,” kata Cik Uma Kumaran, ahli Parlimen Sri Lanka-British yang terlibat dalam kempen pertama Khan.

Gaza dan Tekanan Politik

Kedua-dua pemimpin turut diuji dengan isu sensitif, perang di Gaza. Encik Khan lantang mengkritik tindakan Israel dan menggesa Britain mengiktiraf negara Palestin lebih awal.

Encik Mamdani pula tegas menyokong hak rakyat Palestin dan menyeru gencatan senjata sejak awal konflik. Namun, pendiriannya telah menimbulkan ketegangan dengan komuniti Yahudi di New York. Kritikan bahawa beliau “anti-Israel” kerap digunakan untuk melemahkan kempen beliau.

“Sokongan terhadap Palestin bukan penolakan terhadap mana-mana kaum atau agama. Ia soal kemanusiaan,” tegas Encik Mamdani.

London dan New York, dua kota global yang menjadi cerminan kepada dunia. Kedua-duanya mempunyai kepelbagaian budaya dan agama yang luar biasa, dan kedua-dua pemimpin ini berusaha menjadikan kepelbagaian itu kekuatan, bukan ancaman.

Encik Khan meraikan Hari Raya di Trafalgar Square, menghadiri perarakan Pride, dan dilantik di katedral Kristian sebagai simbol perpaduan. Encik Mamdani pula berbuka puasa di dalam tren bawah tanah bersama warga kota sebagai mesej solidariti.

“Kemenangan mereka membuktikan bahawa keterangkuman dan nilai kemanusiaan masih hidup di tengah politik yang semakin kejam,” ujar Encik McGregor.

Namun cabaran menanti. Kedua-duanya terus menjadi sasaran serangan sayap kanan daripada bekas penasihat Trump, Encik Steve Bannon, yang menuduh mereka membentuk “pakatan merah-hijau” antara sosialis dan Islamis, hingga media konservatif yang menyebarkan ketakutan tentang “bandar dikuasai Muslim.”

Encik Khan menolak retorik itu dengan berkata, “Mereka mahu memecahbelahkan kita. Tetapi London berdiri teguh dalam kepelbagaian.”

Encik Mamdani akhirnya berjaya ke kerusi Datuk Bandar, beliau dan Encik Khan menjadi dua figura Muslim yang memimpin pusat ekonomi dunia di dua benua. Kedua-duanya bukan sekadar simbol kejayaan imigran, tetapi juga wakil kepada generasi baru politik bandar yang menolak kebencian dan ekstremisme.

“Apabila anda memimpin New York atau London, anda bukan sekadar Datuk Bandar,” kata Encik Asif Hussain, bekas penasihat kanan Encik Khan. “Anda menjadi suara global. Dan dunia akan menilai bagaimana anda membawa kemanusiaan dalam kuasa.”

Zohran Mamdani dan Sadiq Khan kini berdiri di persimpangan penting dalam sejarah politik Barat - dua anak imigran Muslim yang menentang arus, menegaskan bahawa kemajuan bukan datang daripada ketakutan, tetapi daripada keberanian untuk mempercayai nilai manusia sejagat. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg