NEW YORK: Ahli politik muda berhaluan kiri, Encik Zohran Mamdani, mencipta sejarah apabila memenangi pilihan raya Datuk Bandar New York, sekali gus menjadi Muslim pertama dan Datuk Bandar termuda dalam lebih satu abad bagi bandar terbesar di Amerika Syarikat.
Calon berusia 34 tahun itu, yang juga seorang demokrat sosialis, menewaskan bekas Gabenor Andrew Cuomo dalam satu kemenangan yang dianggap antara kejutan politik paling luar biasa dalam sejarah moden New York. Menurut laporan Associated Press, kemenangan Mamdani menandakan kemuncak kebangkitan pantas daripada seorang ahli dewan negeri yang kurang dikenali kepada tokoh utama dalam Parti Demokrat.
“Kita telah membuktikan bahawa politik yang berpihak kepada rakyat mampu mengubah sejarah,” kata Encik Mamdani kepada penyokongnya dalam ucapan kemenangan di Queens. “New York bukan milik golongan elit, tetapi milik mereka yang berjuang untuk hidup di tengah kos sara hidup yang semakin menekan.”
Kemenangan Encik Mamdani melangkaui batas geografi dan kaum daripada kawasan mewah di Brooklyn hingga ke kejiranan pekerja imigran di Queens. Beliau akan menjadi Datuk Bandar ke-111 New York, dan juga Datuk Bandar pertama berketurunan Asia Selatan serta imigran naturalisasi pertama sejak Abraham Beame pada 1970-an.
Dilahirkan di Kampala, Uganda, kepada ibu bapa berketurunan India, Mamdani berpindah ke New York ketika berusia tujuh tahun. Ibunya ialah pengarah filem terkenal Mira Nair, manakala bapanya, Profesor Mahmood Mamdani, ialah pensyarah di Universiti Columbia.
Encik Mamdani menjadi simbol kepada generasi baharu yang menolak politik lama penuh skandal dan memilih calon yang dekat dengan realiti rakyat. Dalam kempen yang berpusat pada isu kemampuan hidup dan keadilan ekonomi, beliau menjanjikan bekalan bas percuma, pembekuan sewa rumah, penjagaan anak tanpa bayaran, dan cukai lebih tinggi kepada golongan kaya.
Dalam perlawanan semula menentang Encik Cuomo, 67 tahun, Encik Mamdani menang besar selepas pengundi menolak bekas gabenor itu dua kali dalam masa lima bulan. Encik Cuomo, yang sebelum ini disokong oleh Presiden Donald Trump, gagal memulihkan reputasinya selepas diselubungi dakwaan salah laku semasa memegang jawatan.
“Cuomo telah menjual bandar ini kepada penderma besar dan korporat,” kata Encik Mamdani dalam satu perdebatan. “Sudah tiba masanya kita ambil semula New York untuk rakyatnya.”
Bekas gabenor itu cuba membalas dengan menggambarkan Mamdani sebagai radikal berhaluan kiri yang “mengancam kestabilan kewangan dan keselamatan bandar”. Kempen Encik Cuomo turut diselubungi isu Islamofobia dan antisemitisme, dengan mesej-mesej bernada ketakutan terhadap latar belakang agama Encik Mamdani.
Bagaimanapun, mesej harapan dan keterangkuman Encik Mamdani berjaya mengatasi serangan peribadi itu. Beliau disokong kuat oleh pengundi muda, imigran, dan komuniti Asia Selatan yang jumlah penyertaannya meningkat hampir 40 peratus berbanding pilihan raya sebelumnya.
Dalam kalangan penyokongnya, kemenangan Encik Mamdani dianggap simbol perubahan politik yang lebih luas. “Beliau datang ke masjid, kuil, gereja dan pusat komuniti untuk mendengar masalah kami,” kata Cik Bethany Li, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembelaan dan Pendidikan Undang-Undang Asia Amerika. “Pendekatannya yang inklusif dan penggunaan kempen berbilang bahasa membuat ramai rasa dilihat dan dihargai,” ujar Cik Li.
Di kawasan Queens, sambutan kemenangan berlangsung meriah. Seorang pengundi keturunan Bangladesh, Encik Mushtaq Rahman, berkata beliau dan keluarganya berkempen untuk Encik Mamdani kerana percaya beliau memahami cabaran pendatang. “Beliau tahu hidup ini sukar untuk imigran. Beliau mahu kurangkan kos penjagaan anak dan dia tegas tentang isu Gaza. Itu cukup untuk kami,” katanya.
Walaupun kemenangan Encik Mamdani disambut sebagai kemenangan progresif, laluan pentadbirannya tidak mudah. Banyak dasar yang dicadangkannya memerlukan kelulusan Gabenor Kathy Hochul dan badan perundangan negeri di Albany.
Selain itu, hubungan Encik Mamdani dengan Rumah Putih dijangka tegang. Presiden Trump telah menamakan beliau “komunis kecil saya di New York” dan memberi amaran untuk memotong dana persekutuan jika dasar berhaluan kiri diteruskan.
“Kami tidak akan gentar dengan ugutan,” tegas Encik Mamdani. “New York telah bertahan melalui krisis lebih besar daripada ini. Kami akan terus berjuang untuk keadilan dan kesejahteraan rakyat.”
Kemenangan Encik Mamdani berlaku seiring kejayaan dua calon Demokrat lain di negeri lain - Cik Abigail Spanberger di Virginia dan Cik Mikie Sherrill di New Jersey yang masing-masing menang sebagai gabenor. Ketiga-tiga kemenangan itu menunjukkan kebangkitan semula Parti Demokrat selepas setahun di luar kuasa persekutuan.
Penganalisis politik menyifatkan kemenangan Encik Mamdani sebagai isyarat perubahan generasi dan ideologi dalam parti itu. Beliau bukan sahaja mewakili wajah baru politik Amerika, tetapi juga harapan kepada mereka yang percaya bahawa politik boleh kembali menjadi alat keadilan sosial.
“Kemenangan ini bukan milik saya sahaja,” kata Encik Mamdani. “Ia milik setiap pekerja, setiap imigran, dan setiap keluarga yang percaya bahawa bandar ini patut jadi tempat untuk semua bukan hanya yang mampu membayarnya.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg