Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dua divisyen simpanan tentera Israel dipanggil untuk operasi di Gaza

Apr 17, 2024 | 08:42 AM



BAITULMAKDIS: Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata pada 14 April bahawa ia akan memanggil dua divisyen simpanan askar kerahannya untuk operasi di Gaza yang diteruskan sehingga kini.


“Selaras dengan penilaian situasi, IDF akan memanggil kira-kira dua briged askar kerahan untuk aktiviti operasi di Gaza,” kata pasukan itu tanpa memberi butiran lanjut.

Dalam satu kenyataan berasingan, Israel berkata bahawa Hamas menahan tebusannya di Rafah di selatan Gaza, di mana Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu telah berikrar untuk melancarkan pencerobohan darat walaupun mendapat bantahan antarabangsa.

“Hamas masih menahan tebusan kami di Gaza. Kami juga mempunyai tebusan di Rafah, dan kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk membawa mereka pulang,” kata jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari dalam satu taklimat media.

Awal bulan ini Israel telah menarik beberapa pasukannya keluar dari Gaza sebagai persiapan untuk operasi selanjutnya di wilayah itu, termasuk di kawasan selatan Rafah – kawasan yang menempatkan lebih sejuta penduduk yang mencari perlindungan daripada peperangan.

Kawasan itu disifatkan sebagai tempat perlindungan selamat yang terakhir bagi rakyat Palestin di Gaza, yang hampir musnah itu.

Encik Netanyahu sebelum ini telah berjanji untuk memindahkan orang awam dari Rafah sebelum sebarang pencerobohan yang bertujuan untuk menghancurkan batalion Hamas di sana.

Namun, kenyataannya itu tidak banyak membantu meredakan kebimbangan antarabangsa terhadap serangan ke atas kawasan yang sesak dengan orang awam itu.

Dalam rundingan gencatan senjata yang berlangsung di Kahirah baru-baru ini, Israel dilaporkan bersetuju dengan konsesi berhubung kepulangan rakyat Palestin ke wilayah utara Jaluran Gaza.

Bagaimanapun, pegawai Israel percaya Hamas yang mentadbir Gaza, enggan mencapai perjanjian, ujar sumber yang rapat dengan rundingan itu.

Dua pegawai yang memahami rundingan itu mendedahkan bahawa di bawah cadangan yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat, Israel akan membenarkan kepulangan 150,000 rakyat Palestin ke utara Gaza tanpa tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan.

Dalam reaksinya, Hamas menyatakan pada 9 April bahawa cadangan terkini yang disampaikan oleh pengantara Mesir dan Qatar tidak memenuhi tuntutannya.

Bagaimanapun, kumpulan itu menyatakan bahawa mereka akan tetap meneliti lebih lanjut cadangan tersebut sebelum memberikan maklum balas rasmi.

Dengan peperangan masuk bulan ketujuh, Hamas mahu tentera Israel menamatkan serangan, mengundurkan tentera dari Gaza dan membenarkan pelarian Palestin pulang ke tempat asal masing-masing.

Matlamat segera Israel dalam mencapai perjanjian gencatan senjata adalah untuk membebaskan tebusan yang ditahan Hamas dalam serangan rentas sempadan pada 7 Oktober.

Serangan Hamas itu telah membunuh 1,200 orang dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan tentera Israel telah membunuh lebih 33,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >