CARACAS: Sekurang-kurangnya 164 orang maut manakala hampir 1,000 cedera selepas dua gempa bumi kuat melanda Venezuela pada 24 Jun, menyebabkan bangunan runtuh di ibu kota Caracas dan kawasan sekitarnya.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa pertama berukuran 7.2 magnitud berlaku kira-kira 160 kilometer ke barat Caracas, sebelum disusuli gempa kedua berukuran 7.5 magnitud kurang seminit kemudian.

USGS memberi amaran jumlah korban dijangka meningkat dengan ketara dan boleh mencecah ribuan orang berdasarkan model ramalan awal.

Pemimpin sementara Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, berkata angka korban semasa belum termasuk mangsa di negeri La Guaira yang menempatkan lapangan terbang utama negara dan menjadi kawasan paling teruk terjejas.

“Puluhan bangunan runtuh dan kami sedang menjalankan operasi menyelamat secara intensif bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa,” katanya dalam siaran televisyen negara awal pagi 25 Jun.

“Saya juga mahu mengatakan bahawa ini satu tragedi besar. Kami menzahirkan solidariti kepada semua keluarga mangsa dan menyampaikan ucapan takziah dalam saat sukar ini.”

Rakaman video dari Caracas menunjukkan anggota penyelamat memanjat runtuhan bangunan ketika ahli keluarga mangsa menangis dan merayu bantuan bagi mencari insan tersayang yang dipercayai masih terperangkap.

Di daerah Baruta di Caracas, tiga orang terbunuh selepas dua bangunan runtuh, menurut datuk bandar kawasan itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Chacao, Encik Gustavo Duque, berkata seorang lagi maut manakala empat bangunan runtuh sepenuhnya.

“Kami mempunyai bangunan, rumah dan kediaman yang runtuh dan kami menggunakan segala aset keselamatan serta bantuan kecemasan yang ada,” kata Menteri Dalam Negeri Venezuela, Encik Diosdado Cabello.

Seorang penduduk berhampiran lokasi runtuhan, Cik Maria Alejandra, menggambarkan keadaan selepas gempa seperti ‘filem seram’.

“Apabila kami turun ke bawah, keadaan sangat mengerikan. Kami terpaksa memanjat timbunan runtuhan,” katanya.

“Hanya satu keluarga yang saya nampak berjaya keluar dari bangunan itu,” katanya.

Gempa berlaku ketika cuti umum menyebabkan ramai rakyat Venezuela berada di rumah masing-masing ketika gegaran melanda.

Seorang penduduk Caracas timur, Encik Coro Martinez, berkata beliau tidak pernah mengalami gegaran sekuat itu.

“Ada bunyi dentuman yang sangat kuat. Barang di rumah jatuh termasuk dalam peti sejuk. Saya tidak pernah mengalami perkara seperti ini,” katanya.

Penduduk di seluruh Caracas bertempiaran keluar dari bangunan apabila gegaran semakin kuat.

“Sebaik sahaja gegaran bermula, kami dengar orang menjerit. Semua orang berlari turun melalui tangga,” kata Cik Astrid Ramirez.

Cik Maria Romero, pesara berusia 80 tahun, berkata polis membantu beliau keluar dari rumahnya di Caracas selatan.

“Gempa ini sangat dahsyat, malah lebih buruk daripada gempa 1967,” katanya, merujuk gempa besar yang pernah mengorbankan ratusan penduduk Caracas hampir enam dekad lalu.

Seorang pekerja pejabat berusia 41 tahun yang enggan dikenali berkata beliau menerima amaran gempa pada telefon bimbit beberapa saat sebelum gegaran kuat berlaku.

“Pada mulanya saya rasa gegaran kecil, tetapi dalam kurang dua saat seluruh bangunan mula bergerak kuat,” katanya.

Cik Rodriguez kemudian mengisytiharkan darurat dan mengarahkan kementerian luar menyelaras bantuan antarabangsa yang mula ditawarkan beberapa negara termasuk Brazil, El Salvador dan Republik Dominican.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Washington bersedia membantu Venezuela menghadapi bencana itu.

“Dua gempa bumi besar yang melanda rakyat Venezuela sangat dahsyat dan menyebabkan jumlah korban yang besar,” katanya menerusi media sosial.

Kedutaan Amerika di Caracas memaklumkan pihaknya sedang memantau keadaan dan menggesa rakyat Amerika di Venezuela mendapatkan perlindungan selamat.

Amaran tsunami sempat dikeluarkan selepas gempa berlaku, namun ditarik balik tidak lama kemudian apabila ancaman reda.

Lapangan terbang utama Venezuela di Maiquetia turut ditutup selepas mengalami kerosakan teruk, manakala sesi persekolahan dibatalkan sepanjang minggu ini.

Hospital utama di Caracas pula mengarahkan kakitangan perubatan menambah syif bagi merawat mangsa yang semakin ramai.

Walaupun kemusnahan besar berlaku di Caracas, sektor minyak Venezuela setakat ini dilaporkan tidak mengalami kerosakan serius.

Pihak berkuasa perlindungan awam di Maracaibo berkata tiada kecederaan dilaporkan berhampiran hab minyak utama Tasik Maracaibo, manakala pekerja di loji penapisan El Palito berkata operasi di kawasan itu tidak terjejas.

Syarikat minyak Britain, Shell, turut memaklumkan semua kakitangannya di Venezuela selamat.

Namun, sumber industri memberi amaran gangguan bekalan elektrik berpanjangan boleh menjejaskan pengeluaran minyak mentah negara itu.

Venezuela terletak di zon aktif seismik di pertembungan Plat Caribbean dan Plat Amerika Selatan.

Pada 1812, gempa bumi besar pernah membunuh kira-kira 30,000 orang di Merida dan Caracas, menurut data USGS. – Agensi berita.