CARACAS (Venezuela): Tangisan dan jeritan meminta pertolongan bergema di ibu kota Venezuela selepas dua gempa bumi kuat melanda negara itu pada 24 Jun, menyebabkan bangunan runtuh, ribuan penduduk panik dan beberapa kawasan diisytiharkan darurat.

“Antonio, ini ibu kamu, ibu ada di sini!”

Jeritan penuh cemas seorang wanita kedengaran dari celah runtuhan sebuah bangunan kediaman 22 tingkat di Caracas ketika anggota sukarelawan dan penduduk setempat cuba mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap.

Bangunan yang runtuh itu terletak di kompleks kediaman Petunia di kawasan mewah Los Palos Grandes yang lazimnya dipenuhi restoran dan kafe.

Penduduk sekitar hanya mampu melihat dengan cemas ketika beberapa sukarelawan memanjat timbunan konkrit dan besi bagi mendengar suara mangsa.

“Kami perlukan lampu suluh,” jerit seorang sukarelawan ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan hanya seorang anggota polis berada di lokasi sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.

“Tania! Tania!” kedengaran lagi laungan nama seorang mangsa lain di tengah suasana panik dan penuh debu.

Seorang lelaki dilihat menangis sendirian di tepi jalan ketika penduduk cuba memahami skala kemusnahan akibat gempa tersebut.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda Venezuela sekitar jam 6 petang waktu tempatan dalam tempoh yang sangat singkat.

Gegaran kuat itu menyebabkan bangunan di seluruh Caracas retak dan runtuh, memaksa ribuan penduduk melarikan diri ke jalan raya.

Pemimpin sementara Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, berkata sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan direkodkan selepas dua gempa utama itu.

Menteri Dalam Negeri Venezuela, Encik Diosdado Cabello, berkata negeri Trujillo, Carabobo, Miranda dan La Guaira antara kawasan paling teruk terjejas.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan jumlah korban, namun Encik Cabello berkata terdapat mangsa yang cedera tanpa memberikan angka rasmi.

Di pusat beli-belah berhampiran lokasi runtuhan, ramai penduduk dilihat berada dalam keadaan trauma dan ketakutan.

“Kami sedang turun tangga apabila seluruh dinding retak dan siling mula runtuh. Ia sangat mengerikan,” kata pekerja bank berusia 54 tahun, Encik Odalis Escalona.

Menurut beliau, ramai pengunjung menjerit dan bertempiaran keluar ketika gegaran berlaku.

Seorang lagi penduduk, Cik Zenia Gonzalez, berkata beliau terpaksa menenangkan seorang remaja perempuan yang masih menangis selepas berjaya keluar dari bangunan.

“Kami tunggu gegaran reda sebelum berlari turun melalui eskalator,” katanya kepada AFP.

“Kami tidak dapat bergerak kerana gegaran terlalu kuat. Ia berlaku agak lama.”

Di kawasan La Castellana berhampiran, jurutera berusia 48 tahun, Cik Maria Romero, berkata beliau hampir bersembunyi di bawah meja sebelum membuat keputusan melarikan diri dari apartmennya.

“Seluruh bangunan bergerak dan bunyinya seperti dentuman kuat dari bawah tanah.

“Pada mulanya saya terfikir untuk berlindung di bawah meja, tetapi akhirnya saya memilih untuk keluar,” katanya.

Beberapa bangunan di Caracas dilaporkan mengalami kerosakan serius manakala ada yang runtuh sepenuhnya.

Cik Rodriguez kemudian mengisytiharkan darurat dan mengumumkan lapangan terbang utama negara ditutup selepas mengalami “kerosakan teruk” akibat gempa.

Pasukan penyelamat dan tentera kini digerakkan ke beberapa kawasan terjejas ketika operasi mencari mangsa masih diteruskan sepanjang malam.

Venezuela sememangnya terdedah kepada gempa bumi kerana kedudukannya berhampiran zon aktif seismik di rantau Amerika Selatan.

Gempa bumi paling dahsyat dalam sejarah moden negara itu berlaku di timur laut Venezuela pada 1997 yang mengorbankan 73 orang.

Pada 1967, Caracas turut dilanda gempa besar yang meragut 236 nyawa, termasuk menyebabkan banyak bangunan runtuh di Los Palos Grandes — kawasan sama yang sekali lagi terjejas kali ini.

Penduduk Caracas kini bimbang jumlah korban sebenar mungkin meningkat apabila operasi menyelamat diteruskan.

Ramai penduduk bermalam di jalanan kerana takut kembali ke rumah masing-masing susulan gegaran susulan yang masih berlaku.

Tidak lama selepas gempa di Venezuela, agensi meteorologi Jepun turut melaporkan satu lagi gempa bumi kuat melanda bahagian utara negara itu.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan di Jepun. – Agensi berita.