MANILA: Dua juruterbang Tentera Udara Filipina terbunuh selepas pesawat mereka terhempas ketika menjalankan misi menentang pemberontakan di sebuah wilayah selatan, kata pegawai tentera pada 4 Mac.
Nahas itu dipercayai berlaku sekitar tengah malam pada 4 Mac, apabila pesawat pejuang FA-50 kehilangan hubungan dengan pesawat lain yang turut serta dalam misi di wilayah Bukidnon. Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan.
Menurut pegawai tentera, bangkai pesawat dan mayat kedua-dua juruterbang ditemui di kawasan pergunungan Kalatungan, Mindanao selatan pada 4 Mac.
“Berdasarkan keadaan bangkai pesawat, ia jelas menunjukkan berlakunya nahas,” kata jurucakap Tentera Udara Filipina, Konsuelo Castillo, dalam satu taklimat media secara maya. Beliau menambah bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sebagai langkah berjaga-jaga, baki 11 pesawat FA-50 buatan Korea Selatan yang masih beroperasi telah digantung penerbangannya sementara menunggu hasil siasatan.
Filipina memperoleh 12 pesawat FA-50 daripada Korea Selatan pada tahun 2014 sebagai sebahagian daripada program pemodenan ketenteraannya.
Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh keselamatan dalam negeri serta meningkatkan keupayaan negara dalam mempertahankan sempadan maritimnya, khususnya di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan China.
Encik Castillo menjelaskan bahawa tentera udara berusaha mengembalikan pesawat FA-50 ke perkhidmatan secepat mungkin bagi meminimumkan gangguan terhadap operasi ketenteraan. “Kami berhasrat untuk menamatkan penggantungan penerbangan ini secepat mungkin agar operasi tidak terlalu terganggu,” katanya. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg