ATLANTA: Dua panda gergasi dari China tiba di Amerika Syarikat pada 27 September, tiga hari selepas Presiden China, Encik Xi Jinping, berjanji menghantar haiwan itu sebagai simbol persahabatan bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Panda jantan bernama Ping Ping dan panda betina, Fu Shuang, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta pada pagi 27 September, sebelum dibawa ke Zoo Atlanta yang bakal menjadi kediaman mereka sepanjang tempoh pinjaman selama 10 tahun.

Ketibaan kedua-dua panda itu menyusuli lawatan negara Encik Xi ke Washington pada 24 September lalu, yang menyaksikan beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Rumah Putih.

Lawatan tiga hari itu merupakan kunjungan pertama pemimpin China tersebut ke Rumah Putih dalam tempoh lebih sedekad.

Ketika lawatan berkenaan, Encik Xi mengumumkan bahawa China akan menghantar dua panda gergasi sebagai utusan persahabatan kepada rakyat Amerika.

Kedua-dua haiwan yang dilahirkan di China pada 2020 itu diterbangkan dari sebuah pusat pembiakan panda di Chengdu, barat daya China, menggunakan pesawat kargo khas FedEx yang dihiasi gambar seekor panda sedang memakan buluh.

Menurut FedEx, Ping Ping dan Fu Shuang merupakan satu-satunya kargo dalam penerbangan semalaman itu.

Kedua-duanya ditempatkan dalam kurungan khas dan diiringi pakar penjagaan haiwan Zoo Atlanta, selain dibekalkan buluh segar, air serta makanan kegemaran mereka sepanjang perjalanan.

Zoo Atlanta memaklumkan bahawa kedua-dua panda kini menjalani kuarantin selama kira-kira sebulan bagi membolehkan pakar veterinar memantau kesihatan dan penyesuaian mereka terhadap persekitaran baharu.

Ketibaan haiwan berkenaan disambut dengan penuh keterujaan oleh pengunjung Zoo Atlanta, yang tidak mempunyai panda gergasi sejak dua ekor panda sebelumnya, Ya Lun dan Xi Lun, dihantar pulang ke China pada 2024.

Seorang pengunjung, Cik Kaori Graybeal, yang datang bersama anak kecilnya, berkata beliau gembira mengetahui panda gergasi kembali ke zoo tersebut walaupun belum berpeluang melihatnya.

“Walaupun kami tidak dapat melihatnya hari ini, kami tahu panda itu berada di sini,” katanya.

Beliau pernah melihat panda di zoo tersebut dua tahun lalu, sebelum haiwan berkenaan dihantar pulang ke pusat pembiakan di Chengdu.

Ketibaan Ping Ping dan Fu Shuang bukan sekadar tarikan baharu Zoo Atlanta, malah sebahagian daripada tradisi diplomasi panda yang digunakan China sejak beberapa dekad lalu.

Tradisi itu mendapat perhatian dunia selepas lawatan bersejarah Presiden Amerika ketika itu, Encik Richard Nixon, ke Beijing pada 1972.

Selepas isterinya, Cik Pat Nixon, menyatakan minat terhadap panda, China menghadiahkan sepasang haiwan tersebut kepada Zoo Negara di Washington sebagai lambang persahabatan.

Sejak itu, Beijing menggunakan pinjaman panda kepada zoo di luar negara sebagai pendekatan diplomasi untuk membina hubungan dengan negara lain.

Profesor Maria Repnikova dari Universiti Georgia State, yang mengkaji komunikasi politik China, berkata diplomasi panda merupakan antara pendekatan kuasa lembut Beijing yang berjaya menarik perhatian masyarakat Amerika, khususnya golongan muda.

Menurut beliau, haiwan tersebut membantu melembutkan imej China dan menjadikan negara itu lebih mudah didekati masyarakat antarabangsa.

Walaupun ketibaan dua panda itu mencerminkan hubungan persahabatan, Amerika dan China masih berdepan perbezaan pendirian dalam beberapa isu utama.

Antaranya termasuk pertikaian perdagangan, kegiatan ketenteraan China di sekitar Taiwan dan persaingan pengaruh di rantau Pasifik.

Pertemuan Encik Trump dengan Encik Xi minggu lalu itu juga menghasilkan beberapa keputusan diplomatik yang terhad, dengan pengumuman penghantaran panda menjadi antara hasil nyata lawatan tersebut.

Selain kepentingan diplomatik, program pinjaman panda turut bertujuan memperkukuh penyelidikan dan usaha pemuliharaan haiwan berkenaan.

Zoo Atlanta menjalin perjanjian penyelidikan baharu dengan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China bagi meneruskan kerjasama dalam bidang tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Zoo Atlanta, Encik Raymond B. King, menyifatkan ketibaan kedua-dua panda itu sebagai detik bersejarah bagi Atlanta dan negeri Georgia.

Beliau berkata kerjasama dengan China akan membolehkan penyelidikan pemuliharaan panda diteruskan, selain memberikan peluang kepada masyarakat Amerika mengenali haiwan tersebut.

Dengan ketibaan Ping Ping dan Fu Shuang, jumlah panda gergasi di Amerika kini meningkat kepada enam ekor.

Dua pasangan lain ditempatkan di Zoo San Diego dan Zoo Negara di Washington selepas dihantar dari China pada 2024.

Zoo Atlanta kini menjadi satu daripada tiga zoo di Amerika yang menempatkan panda gergasi, sekali gus membuka lembaran baharu kerjasama pemuliharaan antara kedua-dua negara. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti