WASHINGTON: Tiga ekor panda gergasi meninggalkan kandang mereka di Zoo Negara Smithsonian di Washington dan berlepas dengan pesawat pulang ke China pada Rabu, menandakan berakhirnya lebih 50 tahun panda China ditempatkan di zoo tersebut.
Beruang hitam dan putih – Tian Tian, Mei Xiang dan anak bongsu mereka, Xiao Qi Ji – telah diangkut dari zoo dalam peti dan dimuatkan ke dalam pesawat FedEx di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles, berlepas sekitar 1 tengah hari.
Zoo Negara Smithsonian ialah zoo Amerika Syarikat pertama yang mempamerkan panda sebagai sebahagian daripada apa yang dipanggil “Diplomasi Panda”.
Kakitangan zoo memanggilnya sebagai hiatus dalam program panda mereka selama lima dekad yang sangat popular.
Pegawai China masih belum menyatakan sama ada rancangan itu akan diteruskan.
Memandangkan hubungan antara dua negara kuasa besar – China dan Amerika – dalam keadaan suasana yang berubah-ubah, khazanah negara seperti ini juga dijangka tergugat dek kemelut politik yang turut menjejas hubungan antara kedua-dua negara.
Pemergian panda dari Zoo Negara itu bermakna Zoo Atlanta adalah satu-satunya zoo Amerika lain yang mempunyai panda dari China.
Namun, ia juga mungkin tidak akan berada lama di situ.
Kontrak untuk empat beruang Atlanta bakal tamat pada 2024 dan tidak ada sebarang tanda yang ia akan dilanjutkan.
Diplomasi panda Beijing dengan Washington bermula pada 1972 berikutan lawatan bersejarah Presiden Richard Nixon ke China.
Keunikan spesies itu yang berjaya menarik minat sesiapa sahaja, selain menjadi sumber pendapatan berpotensi untuk program pemuliharaan, menyebabkan China ‘meminjamkan’ panda gergasi kepada zoo di seluruh dunia di bawah program “Diplomasi Panda”.
Penghantaran pulang panda tersebut bakal menutup lembaran utama kisah kejayaan penjagaan dan pemuliharaan haiwan yang menjadi simbol diplomatik sejak puluhan tahun lalu.
Pengunjung zoo berkenaan pastinya akan merindui telatah lucu dan comel panda yang pernah menghiburkan mereka sejak lebih lima dekad lalu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg