WASHINGTON: Dua kakitangan Kedutaan Israel terbunuh dalam satu insiden tembakan di luar acara yang diadakan di Capital Jewish Museum di Washington DC pada malam 21 Mei, menurut kenyataan rasmi dan laporan media tempatan.
Seorang lelaki dan seorang wanita dilaporkan maut akibat tembakan yang berlaku di persimpangan Jalan 3 dan F di kawasan Northwest, berhampiran muzium tersebut, menurut laporan yang dikeluarkan pejabat lapangan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan pejabat peguam negara Amerika Syarikat.
“Dua kakitangan Kedutaan Israel telah dibunuh tanpa sebab malam ini berhampiran Muzium Yahudi di Washington DC,” tulis Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Cik Kristi Noem, dalam satu hantaran di platform X.
Pengarah FBI, Encik Kash Patel, memaklumkan bahawa beliau dan pasukannya telah menerima taklimat berkenaan insiden itu. “Kami sedang bekerjasama dengan Jabatan Polis Metropolitan untuk memberi respons dan mendapatkan maklumat lanjut. Buat masa ini, marilah kita doakan mangsa dan keluarga mereka,” tulisnya di X.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Danny Danon, menyifatkan insiden tembakan itu sebagai “tindakan kejam keganasan anti-Semitik.”
“Menyerang diplomat dan komuniti Yahudi adalah tindakan melampaui batas,” tegas Encik Danon dalam satu hantaran. “Kami yakin pihak berkuasa Amerika akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam jenayah ini.”
Peguam Negara, Cik Pam Bondi, dan Peguam Amerika untuk Daerah Columbia, Jeanine Pirro, dilaporkan berada di lokasi kejadian selepas tembakan berlaku.
Pihak Jabatan Polis Metropolitan enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu, sebaliknya memaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat. – REUTERS
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg