BANDAR TACLOBAN: Dua remaja lelaki bersenjatakan pistol melepaskan tembakan di sebuah bilik darjah di selatan Filipina pada 22 Jun, meragut tiga nyawa dan mencederakan tujuh yang lain dalam tragedi tembakan sekolah yang jarang berlaku.

Menurut polis, dua suspek berusia 14 dan 15 tahun itu menceroboh masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan San Jose, di Bandar Tacloban, pada waktu pagi sebelum meluru ke sebuah bilik darjah yang menempatkan kira-kira 50 pelajar.

“Mereka mula melepaskan tembakan tanpa amaran tepat pada 9 pagi,” kata pihak polis.

Identiti suspek tidak didedahkan kerana usia mereka yang masih di bawah umur; seorang merupakan murid Darjah 9, manakala seorang lagi Darjah 10.

Polis telah menahan kedua-dua remaja itu dan merampas sekurang-kurangnya 40 butir kelongsong serta dua kelopak peluru dari tempat kejadian.

Jurucakap polis, Kolonel Allen Rae Co, berkata dalam sidang akhbar bahawa motif serangan masih belum jelas, walaupun beberapa petunjuk awal telah dikenal pasti.

“Berdasarkan siasatan awal, nampaknya motif jenayah itu adalah dendam membalas buli di sekolah,” kata Kolonel Co.

Salah seorang penyerang didapati menggunakan pistol 9mm milik mak ciknya yang merupakan seorang pegawai polis.

Suspek kedua menggunakan revolver kaliber .38 yang berdaftar dengan agensi keselamatan swasta di wilayah Cebu.

Kolonel Co mengesahkan ibu saudara penyerang kini disiasat atas dakwaan kecuaian dalam pengendalian senjata api.

Tragedi itu merupakan episod terbaharu dalam siri keganasan melibatkan kanak-kanak bawah umur yang kini mencetuskan perdebatan hangat mengenai undang-undang keadilan juvana di Filipina.

Seorang senator telah mengusulkan agar had umur kebertanggungjawapan jenayah diturunkan dari 15 tahun ke 10 tahun.

Pada awal Jun, seorang murid Darjah 11 maut selepas ditikam oleh rakan sekolahnya di Wilayah Cavite, berhampiran Manila.

Dalam kejadian berasingan di wilayah sama, tujuh pelajar tahun lima cedera apabila seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bertindak agresif dengan pisau.

Pihak berkuasa masih belum mendedahkan butiran mangsa serangan di Tacloban, namun memberi jaminan mereka yang cedera kini berada dalam keadaan stabil.

Jurucakap Presiden Ferdinand Marcos Jr., Claire Castro, menzahirkan rasa dukacita terhadap serangan tersebut dan menggesa agar siasatan segera dilakukan.

Pihak berkuasa bandar Tacloban mengeluarkan kenyataan tegas yang “mengutuk keras tindakan keganasan ini dan memberi jaminan kepada keluarga mangsa bahawa mereka tidak keseorangan dalam masa yang sukar ini”.

Sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan San Jose serta dua sekolah lain di daerah tersebut telah digantung mulai 23 Jun. – Agensi berita.