WASHINGTON: Cik Rashida Tlaib dan Cik Ilhan Omar, dua wanita Muslim pertama yang dipilih ke Kongres Amerika Syarikat, telah berjaya mempertahankan kerusi mereka dalam Pilihan Raya Dewan Perwakilan Amerika.
Kemenangan ini sekali lagi menunjukkan sokongan padu komuniti Muslim dan pro-Palestin di negara itu.
Cik Rashida, yang juga wanita pertama berdarah Palestin dalam Kongres, berjaya meraih mandat keempatnya sebagai wakil Michigan. Beliau menerima sokongan besar daripada komuniti Arab-Amerika di Dearborn, kawasan yang memiliki populasi keturunan Arab yang signifikan.
Cik Rashida, dari parti Demokrat dan pengkritik tegar sokongan ketenteraan Amerika kepada Israel, menghadapi saingan dari calon Republikan, Encik James Hooper, namun berjaya mengekalkan kemenangannya di kawasan yang didominasi oleh pengundi Demokrat.
Cik Ilhan yang merupakan bekas pelarian dan warga Amerika keturunan Somalia, turut berjaya mempertahankan kerusinya di Minnesota bagi penggal ketiga.
Beliau mewakili daerah ke-5 Minnesota, kawasan yang kuat menyokong Demokrat termasuk bandar Minneapolis dan kawasan sekitarnya. Cik Ilhan juga lantang mengkritik perang Israel terhadap Gaza dan memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin.
Dalam satu hantaran di media sosial, Cik Ilhan mengucapkan terima kasih kepada para penyokongnya atas segala usaha keras mereka sepanjang kempen pilihan raya 2024 ini.
“Usaha kita berbaloi. Kami telah mengetuk 117,716 pintu, membuat 108,226 panggilan dan menghantar 147,323 teks. Ini adalah kemenangan untuk kita semua yang percaya akan masa depan yang lebih baik,” tulisnya.
Cik Rashida dan Cik Ilhan adalah ahli kumpulan progresif ‘The Squad’ dalam Kongres, yang turut dianggotai oleh Cik Alexandra Ocasio-Cortez.
Kumpulan ini sering bersuara lantang dalam isu keadilan sosial dan hak asasi manusia, khususnya dalam menyuarakan sokongan terhadap nasib rakyat Palestin.
Namun, ahli-ahli ‘The Squad’ lain seperti Encik Jamaal Bowman dari New York dan Cik Cori Bush dari Missouri tidak bernasib baik apabila kalah dalam pemilihan parti kepada calon yang mendapat sokongan kuat daripada kumpulan pro-Israel, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Amerika Israel (AIPAC).
AIPAC dilaporkan telah melaburkan lebih $100 juta ($133 juta) dalam perlumbaan politik Amerika ini untuk melemahkan suara pro-Palestin di Kongres.
Kemenangan Cik Rashida dan Cik Ilhan bagaimanapun mencerminkan sentimen yang semakin meningkat di kalangan rakyat Amerika yang menyokong hak-hak Palestin dan mencari pemimpin yang berani menentang dasar ketenteraan Amerika di luar negara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg