Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan: Suara Arab-Amerika dalam isu Palestin jadi penentu

Nov 1, 2024 | 5:30 AM
Penunjuk perasaan pro-Palestin semasa bantahan, ‘All Out for Palestine’, terhadap pembiayaan senjata Israel, di pejabat BlackRock di New York, Amerika Syarikat pada 18 Oktober.
Penunjuk perasaan pro-Palestin semasa bantahan, ‘All Out for Palestine’, terhadap pembiayaan senjata Israel, di pejabat BlackRock di New York, Amerika Syarikat pada 18 Oktober. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Satu tinjauan oleh YouGov, dibiaya oleh Unit Kajian dan Pengajian Arab News Research and Studies Unit, calon Republikan, Encik Donald Trump, kini berada di hadapan Naib Presiden Cik Kamala Harris dalam kalangan pengundi Arab-Amerika, meraih sokongan 43 peratus berbanding 41 peratus untuk Cik Harris.

Walaupun perbezaan itu kecil, ia mencerminkan perubahan besar dalam sokongan politik anggota masyarakat yang sebelum ini banyak berpegang pada Parti Demokrat terutama dalam isu Palestin yang menjadi keutamaan utama dalam kalangan masyarakat Muslim Amerika dan Arab.

Sokongan yang diterima Encik Trump itu mengejutkan, terutama memandangkan rekod kontroversinya terhadap masyarakat Muslim dan Arab semasa penggal pertamanya.

Beliau memperkenalkan larangan imigresen yang menyasarkan beberapa negara majoriti Muslim dan sering mengeluarkan kenyataan yang menuduh Islam sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Kritikan terbuka terhadap ahli politik Muslim seperti Cik Ilhan Omar dan peguam, Cik Rashida Tlaib, serta penyebaran maklumat palsu tentang sambutan serangan 9/11 oleh Muslim di New Jersey, menambah lagi persepsi negatif terhadapnya.

Namun, perubahan itu berlaku ketika ramai pengundi Arab dan Muslim Amerika mulai meragui komitmen Parti Demokrat terhadap isu yang dekat di hati mereka, terutamanya konflik Israel-Palestin.

Sebelum ini, anggota masyarakat itu menyokong Encik Joe Biden kerana dianggap lebih peka terhadap hak-hak Palestin.

Namun, kekecewaan terhadap sikap pentadbiran Encik Biden, yang dilihat mengabaikan penderitaan di Gaza dan tidak bertindak tegas terhadap Israel, mencetuskan rasa tidak puas hati.

Kolumnis akhbar, The Washington Post, Encik Shadi Hamid, menegaskan bahawa ramai dalam kalangan Arab dan Muslim Amerika berasa kecewa dan putus asa.

Menurut Encik Hamid, walaupun 77 peratus ahli Demokrat sendiri menolak penghantaran senjata Amerika ke Israel, suara pengundi Muslim dan Arab tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Dalam konteks itu, Encik Trump mengambil peluang untuk memanfaatkan sentimen anti-Demokrat dengan langkah simbolik yang bertujuan menarik sokongan masyarakat itu.

Dalam usaha menarik perhatian masyarakat Arab dan Muslim, Encik Trump melaksanakan pendekatan berbeza berbanding sebelum ini.

Di Michigan, beliau dilihat bergambar dengan Datuk Bandar Muslim, Encik Bill Bazzi, dan melawat bandar-bandar kecil yang mempunyai populasi Arab dan Muslim yang besar.

Dalam wawancara dengan saluran televisyen Arab, beliau mengungkapkan “kecintaannya” terhadap masyarakat Arab, merujuk kepada hubungan peribadinya dengan Dunia Arab melalui menantunya yang berketurunan Lebanon.

Namun, walaupun dengan pendekatan baru itu, ramai pengundi Arab dan Muslim tetap ragu-ragu terhadap keikhlasan Encik Trump.

Mereka menilai tindakan itu sebagai tindak-tanduk politik dan bukan sebagai komitmen sebenar untuk memperjuangkan hak mereka.

Dalam suasana Parti Demokrat dilihat semakin menjauh daripada aspirasi mereka, Encik Trump berpotensi meraih undi bantahan daripada masyarakat itu.

Ini khususnya di negeri medan tempur yang sering berubah angin atau ‘swing state’ yang bakal menentukan keputusan pilihan raya seperti Michigan.

Di pihak lain, Cik Harris dan Parti Demokrat menghadapi cabaran besar untuk memulihkan kepercayaan masyarakat Arab dan Muslim.

Tindakan mereka yang tidak memberi ruang kepada wakil Palestin-Amerika untuk berucap di Konvensyen Nasional Demokrat, serta kejadian apabila seorang pemimpin Demokrat Muslim-Amerika diusir dari acara Cik Harris di Michigan telah memperdalamkan jurang kepercayaan dengan masyarakat itu.

Walaupun Cik Harris berusaha menunjukkan empati terhadap rakyat Palestin, beliau tetap terikat dengan dasar pro-Israel pentadbiran Encik Biden.

Dalam sesi pertemuan atau town hall CNN, apabila ditanya tentang krisis di Gaza, Cik Harris mengakui penderitaan yang dialami rakyat Palestin tetapi mengelak daripada mengambil pendirian yang lebih berani.

Bagi ramai pengundi Muslim dan Arab, kenyataan itu menandakan bahawa Demokrat tidak benar-benar prihatin terhadap krisis Gaza.

Menjelang hari-hari terakhir kempen pilihan raya, parti Demokrat perlu menilai semula pendekatan mereka terhadap pengundi Arab dan Muslim.

Seperti yang dinyatakan oleh kolumnis, Encik Josh Rogin, dari The Washington Post:

“Jika Harris kalah di Michigan dalam pilihan raya ini, ia bukan kerana pengundi Muslim tidak setia kepada Demokrat. Sebaliknya, ia kerana Demokrat tidak setia kepada mereka.”

Pengundi Arab dan Muslim mungkin tetap skeptikal terhadap Encik Trump, tetapi kekecewaan mereka terhadap Encik Biden berpotensi menyebabkan mereka memilih Encik Trump sebagai satu bentuk bantahan atau memilih untuk tidak mengundi langsung.

Kajian oleh Institut Arab Amerika (AAI) pada Mei mendapati penurunan mendadak dalam sokongan terhadap Parti Demokrat dalam kalangan Arab-Amerika, terutama disebabkan rasa tidak puas hati terhadap cara Encik Biden menangani krisis Gaza.

Hanya sekitar 20 peratus masyarakat itu yang menyokong Encik Biden, dan Presiden AAI, Dr James Zogny, menyatakan bahawa masyarakat itu “masih dibelenggu kemarahan” terhadap penderitaan Gaza yang mereka rasakan tidak diberi perhatian yang adil oleh pentadbiran Encik Biden. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg