Topic followed successfully
Go to BHkuDulu urus 1 jenazah seminggu, kini 30 sehari
Dulu urus 1 jenazah seminggu, kini 30 sehari
Angka kematian dijangka cecah 120 sehari hanya di Lembah Klang, 200 hingga 300 sehari di seluruh negara
Dulu urus 1 jenazah seminggu, kini 30 sehari
KUALA LUMPUR: Pengendali jenazah, Encik Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, kini mengendalikan sebanyak 30 pengebumian Covid-19 sehari.
Tahun lalu, beliau mengendalikan satu pengebumian seperti itu seminggu atau mungkin setiap dua minggu.
Jumlah kematian Covid-19 di Malaysia mula meningkat pada April, dan mencapai lebih 200 orang pada Isnin lalu dan kelmarin.
Angka itu diramalkan boleh naik lagi seiring dengan meningkatnya jumlah jangkitan harian di Malaysia, yang mencatat rekod 17,045 kes pada Ahad lalu, yang tertinggi sejak wabak itu bermula.
Krisis kesihatan itu telah menyaksikan hospital dan pusat penilaian Covid-19 dibanjiri pesakit dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan ambulans bergegas serata bandar membawa pesakit Covid-19.
"Pihak berkuasa memberitahu kami bahawa mereka jangkakan kenaikan jumlah kematian dalam tiga hingga enam bulan mendatang, dengan 120 sehari hanya di Lembah Klang saja, dan 200 hingga 300 sehari di seluruh negara. Ini membimbangkan," kata Encik Muhammad Rafieudin kepada The Straits Times.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memberi amaran pada Ahad lalu bahawa jumlah kes harian boleh meningkat kepada 24,000 pada September ini.
Malaysia mencatat 234 kematian Covid19 sepanjang April, tetapi pada Mei lalu angka tersebut melonjak ke paras tertinggi baru 1,290 walaupun terdapat sekatan lebih ketat di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
Pada Jun, 2,374 kematian dicatatkan walaupun ada sekatan sepenuhnya yang bermula pada bulan itu.
Sehingga kelmarin, sejumlah 8,408 orang di negara ini telah meninggal dunia ekoran virus tersebut.
Adegan di mana pekerja hospital dengan alat pelindung penuh membawa mayat pesakit Covid-19 dari bilik mayat ke van jenazah, berlaku puluhan kali sehari di hospital.
Kerajaan membuka pusat mayat sehenti di Kuala Lumpur minggu lalu bagi menampung kenaikan jumlah mayat di ibu kota itu.
Foto-foto viral yang menunjukkan banyak mayat yang disusun di hospital dan bilik mayat adalah benar, kata Encik Muhammad Rafieudin, yang merupakan antara pengendali jenazah di Lembah Klang yang bekerja sepanjang masa.
"Beberapa mayat terpaksa disimpan di bilik mayat selama tiga atau empat hari.
"Semalam, kami mempunyai kes pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di rumah dan hospital tidak dapat mengambil mayat selama lebih 12 jam kerana kekurangan kakitangan atau ambulans.
"Keluarga jenazah tidak dapat melakukan apa-apa kerana mereka berada di bawah kuarantin. Inilah yang berlaku," katanya.
Sebagai tambahan kepada kes kematian Covid-19, kes bunuh diri juga meningkat.
"Sejak wabak ini, jumlah orang yang mati meningkat. Sebahagian mereka membunuh diri kerana masalah kewangan.
"Kami kendalikan rata-rata satu hingga tiga kematian setiap hari dan lebih 20 kematian setiap bulan," kata pengendali jenazah Encik Kelvin Teh kepada The Straits Times.
Encik Muhammad Rafieudin begitu sibuk sekarang sehingga beliau hanya dapat tidur dua hingga tiga jam sehari.
"Selebihnya, saya menunggu panggilan, kadang-kadang 2 pagi, 3 pagi atau 4 pagi, membimbing keluarga melalui proses itu, membuat nota, mengerahkan pasukan saya untuk mengambil mayat dan melakukan pengebumian. Kami mempunyai 10 pasukan setiap hari," katanya.
Beliau mengasaskan pasukan sukarelawan Skuad Pengurusan Jenazah sekitar lima tahun lalu untuk membantu keluarga memerlukan yang tidak dapat menanggung kos pengebumian.
Ia menguruskan kededua pengebumian Muslim dan bukan Muslim, termasuk kes kompleks melibatkan mayat reput atau positif HIV.
Semasa pengebumian pesakit Covid-19, anggota pengurusan jenazah mesti memakai set lengkap alat pelindung diri, sementara badan jenazah dibungkus dua lapisan beg.
Muhammad Rafieudin berkata:
"Ini adalah pekerjaan yang berisiko. Apabila saya pulang sekitar 10 malam setiap malam, saya pastikan saya mandi terlebih dahulu sebelum bertemu keluarga.
"Kadang-kadang anak saya rindui saya dan mereka mahu memeluk saya tetapi saya harus berhati-hati."
Beliau sendiri dijangkiti Covid-19 bulan lalu - satu pengalaman yang mengerikan, katanya.
Walaupun pengendali jenazah berisiko mengalami tekanan dan keletihan seperti banyak orang di barisan depan yang memerangi penyakit itu, Encik Muhammad Rafieudin mengatakan pekerjaannya terus mendorong beliau untuk melakukannya.
Buat mereka yang masih hidup, beliau memberi nasihat ini:
"Covid-19 ini nyata. Jagalah keselamatan anda. Saya tahu semua orang tertekan kerana terlalu lama terkurung, tinggal di rumah.
"Tetapi kita tidak punya pilihan. Kita harus lakukan ini sementara menunggu semua orang diberi vaksin."
"Beberapa mayat terpaksa disimpan di bilik mayat selama tiga atau empat hari. Semalam, kami mempunyai kes pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di rumah dan hospital tidak dapat mengambil mayat selama lebih 12 jam kerana kekurangan kakitangan atau ambulans. Keluarga jenazah tidak dapat melakukan apa-apa kerana mereka berada di bawah kuarantin. Inilah yang berlaku." - Pengendali jenazah, Encik Muhammad Rafieudin Zainal Rasid.

