SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Dunia prihatin dek mutasi Covid-19

Dunia prihatin dek mutasi Covid-19

Pakar: Varian Afrika Selatan bawa mutasi dalam protein pepaku dinamakan 'E484K' mampu pintas perlindungan sebelum jangkitan, atau vaksinasi
Jan 11, 2021 | 5:30 AM

Dunia prihatin dek mutasi Covid-19

SETAHUN sejak pandemik Covid- 19 melanda dunia, penularan dan jangkitan novel koronavirus belum reda - meskipun beberapa vaksin bagi menanganinya telah berjaya dibangunkan - Pfizer-BioNTech; Moderna, Sinovac, Oxford-AstraZeneca, Sputnik V dan pelbagai lagi.

Hakikatnya, agensi berita Reuters pada 6 Januari lalu melaporkan jangkitan Covid-19 terus meningkat di 41 negara.

Ini sekali gus mengesahkan tanggapan umum bahawa program inokulasi dan vaksinasi masih di peringkat awal dan masih jauh daripada mencatat sebarang kejayaan nyata, apalagi menjadikan masyarakat dunia lali apabila dijangkiti Covid-19 ini.

Sejauh ini, jumlah jangkitan telah mencecah 87 juta orang di mana 34 juta masih dirawat sedang 2 juta telah terkorban dan selebihnya telah sembuh.

Di tengah kebimbangan ini, muncul pula berita sejak Disember 2020 tentang kemunculan varian baharu Covid- 19, dikenali sebagai varian 501.V2 - berasal dari Britain dan Afrika Selatan (kedua-dua negara saling menuding jari akan punca negara asalnya) - yang dianggap sebagai lebih pantas menular dan merbahaya.

Seperti yang diketahui, semua virus menjalani mutasi, termasuk Covid-19. Ia adalah satu proses alamiah di mana genetik virus ini berubah sedang ia membuat persalinan dirinya untuk lebih berkembang biak.

Kecuali segelintir, kebanyakannya tidak memberi kesan besar dan sebahagian kecil lagi lebih mudah dijangkiti atau mengancam manusia - seperti yang dikhuatiri sekarang.

Terdapat ribuan varian daripada virus pandemik ini yang menular tetapi pakar lebih prihatin terhadap 501.V2 ini.

Varian ini didapati antara lain membawa mutasi E484K - berbeza dengan varian yang ditemui saintis yang membuat penyelidikan ke atas mutasi koronavirus di Britain.

Selepas kes pertama varian Britain dikesan di Amerika Syarikat, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika berazam menyelidiki urutan 6,500 sampel virus setiap minggu, berbanding 3,000 seminggu seperti yang dilakukan sekarang.

Sejauh ini varian 501.V2 belum dikesan di Amerika.

Afrika Selatan kini mengalami lonjakan penularan virus dengan jumlah kes jangkitan dan kematian meningkat pantas, melangkaui apa yang dialami negara itu semasa lonjakan pertama pada lewat Julai tahun lalu.

Majalah The Scientist dalam laporannya pada 5 Januari lalu menyatakan, seperti varian UK saintis mengesyaki varian 501.V2 lebih mudah berjangkit berbanding varian lain SARS-CoV-2, kerana ia lebih terserlah di kawasan dekat perairan sesebuah negara.

Pakar penyakit berjangkit, Dr Richard Lessells, yang sedang melakukan penyelidikan baka varian ini di Universiti KwaZulu-Natal, Afrika Selatan, berkata beliau menjangkakan varian ini akan menjadi ketara atau dominan di Johannesburg, kota terbesar negara itu, dan di wilayah sekelilingnya.

Beliau ditukil majalah itu sebagai berkata bahawa penyelidikan tentang keberkesanan vaksin ke atas 501.V2 adalah "suatu perkara yang sangat genting dihadapi kita sekarang".

Beliau dan rakan-rakan sekerja kini sedang menyelidik dengan menggunakan darah mereka yang sebelum ini dijangkiti virus Covid-19 dan darah mereka yang telah menerima vaksin untuk cuba menjawab soalan yang ditimbulkan.

Kedua-dua varian dari Afrika Selatan dan UK kelihatannya lebih mudah menjangkit dan ini menimbulkan masalah kerana tindakan lebih ketat diperlukan bagi membendung penularannya.

Pakar mikrobiologi di Universiti Reading, Britain, Dr Simon Clarke, ditukil BBC News pada 5 Januari lalu sebagai berkata, "varian Afrika Selatan punya sejumlah mutasi tambahan termasuk perubahan pada 'protein pepaku' atau 'spike protein' virus itu yang memprihatinkan".

"Protein pepaku inilah yang digunakan koronavirus untuk memasuki sel manusia. Ia juga berkaitan cara vaksin dibangunkan dan kerana itu pakar bimbang dengan mutasi ini.

"Mutasi ini menimbulkan perubahan meluas ke atas protein pepaku berbanding varian 'Kent' yang muncul di Britain dan ini mungkin menjadikan virus kurang terdedah kepada respons kelalian yang dicetuskan oleh vaksin," kata Dr Clarke.

Profesor Francois Balloux, dari Kolej Universiti London, berkata: "Mutasi E484K menunjukkan ia berupaya mengurangkan pengiktirafan antibodi. Oleh itu, ia membantu virus SARS-CoV-2 untuk memintas perlindungan pelalian yang disediakan sebelum terkena jangkitan atau vaksinasi."

Dalam senario terburuk, vaksin boleh direka semula dan diubahsuai untuk lebih sepadan dalam masa beberapa minggu atau beberapa bulan, jika perlu, kata pakar.

Namun, sedang dunia dilanda kekhuatiran tentang kesan lebih buruk daripada mutasi E484K ini, Menteri Kesihatan Afrika Selatan, Encik Zwelini Mkhize, dalam pertemuan dengan pihak media pertengahan bulan lalu menolak dakwaan bahawa varian Covid- 19 baru di negaranya lebih mudah menular atau berbahaya daripada yang serupa menular di Britain.

"Pada masa ini, tidak ada bukti bahawa 501.V2 (varian) lebih mudah disebarkan daripada varian Britain - seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Kesihatan Britain," katanya.

"Juga tidak ada bukti bahawa (ia) menyebabkan penyakit yang lebih parah atau peningkatan kematian daripada varian Britain atau varian apa pun yang telah dikesan di seluruh dunia."

Encik Mkhize malah menunjukkan bukti bahawa varian Britain, yang memiliki mutasi serupa dengan yang terjadi di Afrika Selatan, muncul seawal September di daerah tenggara Kent - "kira-kira sebulan sebelum varian Afrika Selatan muncul".

Namun, Menteri Kesihatan Britain menolak pandangan itu dan menyatakan bahawa varian di Afrika Selatan "sangat membimbangkan kerana lebih mudah ditransmisikan dan tampaknya telah bermutasi lebih jauh" daripada varian yang serupa di Britain.

Sedang kedua-dua negara ini berbalah, apa yang perlu disedari ialah, langkah utama mengurangkan jangkitan dan membendung penularan Covid-19 perlu bersandarkan kepada kesedaran - akan pentingnya penjarakan sosial, menjauhi kawasan tumpuan ramai, mematuhi penggunaan pelitup serta alat pelindung diri (PPE) apabila di luar rumah dan lebih penting lagi, mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Andai ini tidak dituruti dan penularan Covid-19 terus berleluasa maka benarlah kata 'rang tua:

"Jangan salahkan si tukang ubat, bila sendiri makan tak pantang".

SALING MENUDING JARI

"Pada masa ini, tidak ada bukti bahawa 501.V2 (varian) lebih mudah disebarkan daripada varian Britain - seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Kesihatan Britain. Juga tidak ada bukti bahawa (ia) menyebabkan penyakit yang lebih parah atau peningkatan kematian daripada varian Britain atau varian apa pun yang telah dikesan di seluruh dunia." - Encik Zwelini Mkhize, Menteri Kesihatan Afrika Selatan, yang menolak dakwaan bahawa varian Covid- 19 baru di negaranya lebih mudah menular atau berbahaya daripada yang serupa menular di Britain.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg