Topik diikuti
Pergi ke BHkuDunia prihatin masa depan gencatan senjata Asia Barat selepas AS rampas kapal Iran
Dunia prihatin masa depan gencatan senjata Asia Barat selepas AS rampas kapal Iran
Dunia prihatin masa depan gencatan senjata Asia Barat selepas AS rampas kapal Iran
WASHINGTON/ISLAMABAD: Kebimbangan semakin meningkat bahawa gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran mungkin tidak dapat bertahan, selepas Washington mengumumkan rampasan sebuah kapal kargo Iran yang cuba menembusi sekatan laut, manakala Teheran berikrar akan bertindak balas.
Perkembangan itu berlaku hanya sehari sebelum tempoh gencatan senjata dua minggu dijadual berakhir, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan terhadap usaha mencapai perdamaian lebih kekal di Asia Barat.
“Kami kini menguasai sepenuhnya kapal mereka dan sedang memeriksa kandungannya,” kata Presiden Amerika, Donald Trump dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam masa sama, Iran mengesahkan tidak akan menyertai pusingan kedua rundingan damai yang dirancang berlangsung sebelum gencatan senjata tamat.
Media rasmi Iran melaporkan keputusan itu dibuat susulan sekatan berterusan Amerika terhadap pelabuhan negara itu, selain retorik ancaman yang dianggap semakin memuncak.
“Tidak munasabah untuk menyekat eksport minyak Iran sambil mengharapkan keselamatan bebas untuk pihak lain,” kata Naib Presiden Pertama Iran, Mohammadreza Aref. “Pilihannya jelas, sama ada pasaran minyak bebas untuk semua atau semua pihak menanggung risiko besar,” tambahnya.
Ketegangan turut tertumpu kepada Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia. Amerika terus mengekalkan sekatan terhadap pelabuhan Iran, manakala Tehran sebelum ini membuka dan kemudian menutup semula laluan tersebut sebagai tindak balas terhadap tindakan Washington.
Insiden terbaru melibatkan kapal kargo Iran yang ditembak dan ditahan oleh tentera laut Amerika menambah lagi ketegangan di kawasan itu.
Menurut pihak tentera Iran, kapal tersebut sedang dalam perjalanan dari China sebelum dipintas.
“Kami memberi amaran bahawa angkatan tentera Iran akan segera bertindak balas terhadap tindakan lanun bersenjata oleh tentera Amerika,” kata jurucakap tentera Iran seperti dipetik media negara.
Situasi itu memberi kesan segera kepada pasaran global, dengan harga minyak meningkat dan pasaran saham menunjukkan ketidaktentuan, berikutan kebimbangan bahawa laluan perkapalan di Teluk akan terus terjejas.
Perang yang kini memasuki minggu kelapan telah menyebabkan gangguan besar kepada bekalan tenaga dunia, susulan penutupan de facto Selat Hormuz.
Amerika dijangka menghantar delegasi ke Islamabad bagi rundingan baharu, dengan Pakistan terus memainkan peranan sebagai pengantara utama. Namun, rundingan itu kini dilihat tidak menentu selepas Iran menarik diri.
Seorang pegawai Rumah Putih berkata delegasi Amerika dijangka diketuai Naib Presiden JD Vance, bersama utusan khas Steve Witkoff dan Jared Kushner, walaupun terdapat percanggahan kenyataan mengenai kehadiran Vance.
Di Islamabad, langkah keselamatan dipertingkat dengan penutupan jalan utama, sekatan lalu lintas serta pengosongan hotel yang menjadi lokasi rundingan sebelum ini.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf sebelum ini menyatakan kedua-dua pihak telah mencapai beberapa kemajuan, namun masih berbeza pendirian dalam isu utama seperti program nuklear dan kawalan Selat Hormuz.
Dalam masa sama, sekutu Eropah bimbang pendekatan Amerika yang dilihat tergesa-gesa boleh menghasilkan perjanjian yang rapuh dan memerlukan rundingan teknikal panjang selepas itu.
Sejak perang bermula pada 28 Februari lalu susulan serangan Amerika-Israel ke atas Iran, ribuan nyawa dilaporkan terkorban, termasuk dalam operasi ketenteraan di Lebanon. Iran pula bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta kawasan berhampiran yang menempatkan pangkalan tentera Amerika.
Encik Trump sebelum ini memberi amaran bahawa Amerika akan memusnahkan prasarana utama Iran sekiranya Tehran menolak syarat yang ditetapkan.
Sebagai tindak balas, Iran turut memberi amaran akan menyerang kemudahan tenaga di negara Arab Teluk sekiranya prasarana awamnya menjadi sasaran.
Dengan masa semakin suntuk sebelum gencatan senjata berakhir, perkembangan terkini menunjukkan risiko konflik kembali memuncak semakin tinggi, sementara usaha diplomatik masih belum mencapai titik penyelesaian. - Agensi berita
