WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata bahawa beliau merancang untuk mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Iran jika perjanjian damai dengan Teheran tidak dicapai.

Berkata demikian pada 17 April, Encik Trump menambah bahawa beliau mungkin tidak melanjutkan gencatan senjata selepas tamat tempohnya.

Gencatan senjata antara Teheran dengan Washington dijadualkan berakhir pada 22 April.

“Mungkin saya tidak akan melanjutkannya, tetapi sekatan (ke atas pelabuhan Iran) akan kekal,” kata Encik Trump kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One, apabila ditanya jika gencatan senjata akan dilanjutkan.

Ditanya sekiranya perjanjian boleh dicapai, beliau menjawab:

“Saya fikir ia akan berlaku.”

Beliau berkata terdapat “beberapa berita yang cukup baik tentang Iran”, tetapi beliau enggan menghuraikan apa berita tersebut.

“Ia nampaknya berjalan dengan baik di Timur Tengah dengan Iran,” katanya.

“Kami sedang berunding pada hujung minggu. Saya menjangkakan semuanya berjalan lancar. Banyak perkara ini telah dirundingkan dan dipersetujui.”

Iran mengancam pada 18 April untuk menutup Selat Hormuz sekali lagi jika Amerika meneruskan sekatan ke atas pelabuhan Iran.

Penyambungan semula transit menaikkan pasaran saham pada 18 April dan mendorong keyakinan Washington.

Encik Trump memberitahu agensi AFP bahawa perjanjian damai “sangat hampir”, sambil menambah bahawa Iran telah bersetuju untuk menyerahkan uraniumnya yang diperkaya, satu titik penting dalam rundingan.

“Kami akan mendapatkannya menerusi perjanjian dengan Iran, (dengan membawa masuk) banyak jengkaut,” kata Encik Trump pada perhimpunan gerakan Konservatif Turning Point USA di Phoenix, Arizona.

Iran, bagaimanapun, menolak tuntutan itu, sambil berkata simpanan uranium diperkayanya tidak akan ke mana-mana.

Ia juga memberi amaran bahawa jika kapal perang Amerika menghalang kapal yang datang dari pelabuhan Iran, Selat Hormuz – laluan global utama di mana seperlima minyak mentah global dan gas asli cecair melaluinya – boleh ditutup semula.

“Dengan penerusan sekatan, Selat Hormuz tidak akan kekal terbuka,” tulis Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, di platform X, sambil menambah bahawa laluan melalui laut itu memerlukan kebenaran daripada Iran.

“Pembukaan dan penutupan Selat Hormuz tidak berlaku di (dalam) Internet.

“Ia ditentukan di lapangan, dan angkatan tentera kita pastinya tahu bagaimana untuk bertindak sebagai tindak balas kepada sebarang tindakan pihak lain,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei.

“Apa yang mereka anggap sebagai sekatan tentera laut pasti akan disambut dengan tindak balas yang sewajarnya daripada Iran,” katanya.

“Sekatan tentera laut adalah pelanggaran gencatan senjata dan Iran pasti akan mengambil langkah yang perlu.”

Nota tersebut timbul pada hari yang di mana Encik Trump mengeluarkan kata-kata ‘HEBAT DAN CEMERLANG’, dengan satu siri siaran media sosial yang memuji pengantara perbincangan, Pakistan dan sekutu Teluk.

Encik Trump menambah bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) patut “menjauhkan diri” sedang beliau menolak tawaran pakatan itu untuk membantu mengamankan selat tersebut.

Encik Trump menambah:

“Nampaknya segalanya kelihatan baik untuk semua dan kami hampir mencapai perjanjian.” – Agensi berita.