Topic followed successfully
Go to BHkuDunia sambut baik gencatan senjata, gesa komitmen penuh agar keamanan berkekalan
Dunia sambut baik gencatan senjata, gesa komitmen penuh agar keamanan berkekalan
Dunia sambut baik gencatan senjata, gesa komitmen penuh agar keamanan berkekalan
DUBAI: Negara-negara di seluruh dunia menyambut baik gencatan senjata antara Amerika Syarikat dengan Iran, sambil menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya perjanjian dua minggu itu bagi membuka laluan kepada keamanan berkekalan di Timur Tengah.
Beberapa negara Arab turut memuji peranan Pakistan sebagai pengantara utama dalam memudahkan persetujuan tersebut, namun, menegaskan bahawa usaha diplomasi perlu diperkukuh bagi menangani punca konflik itu.
Kementerian Luar Oman menyatakan sokongan terhadap pengumuman tersebut dan menghargai usaha semua pihak yang terlibat.
“Kami menegaskan kepentingan mempergiat usaha untuk mencari penyelesaian yang dapat menamatkan krisis ini dari akar umbinya serta mencapai penamatan kekal permusuhan di rantau ini,” ujar kenyataan kementerian itu.
Mesir turut melihat gencatan senjata itu sebagai peluang penting untuk memperkukuh diplomasi.
“Ini merupakan peluang yang sangat penting yang perlu dimanfaatkan untuk memberi ruang kepada rundingan dan dialog yang membina,” tambah Kementerian Luar Mesir.
Mesir turut menegaskan bahawa gencatan senjata mesti disusuli dengan komitmen penuh untuk menghentikan operasi ketenteraan dan menghormati kebebasan pelayaran antarabangsa, termasuk di Selat Hormuz.
Walaupun gencatan senjata membantu meredakan ketegangan, Iraq memberi amaran komitmen sepenuhnya amat penting untuk memastikan perdamaian berkekalan.
“Kami menegaskan keperluan komitmen penuh terhadap gencatan senjata serta mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan,” kata Kementerian Luar Iraq.
Negara itu turut terheret dalam konflik tersebut apabila kumpulan bersenjata yang disokong Iran dan tentera Amerika terlibat dalam pertukaran serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula menyatakan bahawa negara itu muncul sebagai “pemenang” kerana berjaya mengelakkan konflik daripada menjadi lebih besar.
Penasihat diplomatik kepada Presiden UAE, Encik Anwar Gargash, berkata pendekatan berhati-hati negara itu membantu mempertahankan keselamatan nasional di tengah-tengah ketegangan serantau.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa semua pihak agar mematuhi gencatan senjata sebagai langkah awal ke arah keamanan yang lebih menyeluruh.
“Penamatan permusuhan amat diperlukan untuk melindungi nyawa orang awam dan mengurangkan penderitaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan negara lain yang memainkan peranan dalam memudahkan perjanjian tersebut.
Kementerian Luar Indonesia melalui jurucakapnya, Cik Yvonne Mewengkang, menyambut baik gencatan senjata itu dan menggesa kedua-dua pihak menghormati kedaulatan serta integriti wilayah masing-masing.
Indonesia turut menggesa siasatan menyeluruh terhadap kematian tiga anggota pengaman PBB dari negara itu di Lebanon.
Malaysia pula menyifatkan gencatan senjata itu sebagai langkah penting dalam meredakan ketegangan.
“Semua pihak perlu melaksanakan perjanjian ini dengan niat baik dan mengelakkan tindakan provokatif yang boleh menjejas kestabilan serantau,” ujar Kementerian Luar Malaysia.
Malaysia turut memberi amaran sebarang ketegangan baharu boleh menjejas keselamatan ekonomi dan tenaga sejagat.
Jepun turut menyambut baik perkembangan tersebut, dengan Setiausaha Kabinet, Encik Minoru Kihara, menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah perjanjian muktamad.
“Ini adalah perkembangan yang positif dan kami berharap ia membawa kepada penyelesaian akhir,” katanya.
Gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump, itu memberi kelegaan kepada masyarakat antarabangsa, khususnya selepas kebimbangan konflik itu akan terus memuncak.
Namun, kebanyakan negara menegaskan perjanjian tersebut masih rapuh dan memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.
Sementara di Iran, ribuan rakyat Iran berhimpun di Dataran Enghelab, pada 8 April sebagai tanda sokongan padu kepada Pemimpin Tertinggi negara itu, Encik Mojtaba Khamenei, meskipun Encik Trump mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat dengan Iran.
Perhimpunan itu menyaksikan orang ramai mengibarkan bendera dan melaungkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan negara itu, ketika ketegangan di Asia Barat berada di ambang konflik besar.
Seorang wanita yang menyertai tunjuk perasaan tersebut berkata rakyat Iran akan akur sepenuhnya terhadap keputusan pemimpin mereka.
“Jika pemimpin kami rasakan gencatan senjata perlu, kami akan ikut. Jika tidak, kami bersedia untuk terus berada di jalanan dan berjuang selamanya,” kata beliau. – Agensi berita.

