Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dunia sepakat pembiayaan alam semula jadi selepas rundingan sukar di PBB

Feb 28, 2025 | 12:13 PM
Aktivis alam sekitar menyertai aksi berkumpulan di Circo Massimo sempena mesyuarat semula Persidangan Kepelbagaian Biologi COP16 di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) di Rome pada 25 Februari 2025. Persidangan pemeliharaan alam semula jadi terbesar di dunia ini dimulakan semula selepas rundingan tahun 2024 berakhir dengan kegagalan, dengan ketua persidangan memberi amaran bahawa “polarisasi” global yang semakin meningkat menghalang usaha-usaha untuk melindungi planet ini. Perunding yang hadir kini diberi tanggungjawab untuk memecahkan kebuntuan dalam soal pembiayaan antara negara kaya dan negara membangun, yang menyebabkan rundingan COP16 di Cali, Colombia pada November lalu berakhir tanpa kesepakatan. 
Aktivis alam sekitar menyertai aksi berkumpulan di Circo Massimo sempena mesyuarat semula Persidangan Kepelbagaian Biologi COP16 di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) di Rome pada 25 Februari 2025. Persidangan pemeliharaan alam semula jadi terbesar di dunia ini dimulakan semula selepas rundingan tahun 2024 berakhir dengan kegagalan, dengan ketua persidangan memberi amaran bahawa “polarisasi” global yang semakin meningkat menghalang usaha-usaha untuk melindungi planet ini. Perunding yang hadir kini diberi tanggungjawab untuk memecahkan kebuntuan dalam soal pembiayaan antara negara kaya dan negara membangun, yang menyebabkan rundingan COP16 di Cali, Colombia pada November lalu berakhir tanpa kesepakatan.  - Foto AFP

ROMA, 27 Februari 2025 – Negara-negara dunia menyambut gembira persetujuan saat-saat terakhir yang mengatur pembiayaan untuk melindungi alam semula jadi, sekali gus memecahkan kebuntuan dalam rundingan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dianggap sebagai ujian kerjasama antarabangsa di tengah ketegangan geopolitik.

Negara kaya dan negara membangun mencapai kompromi dalam usaha untuk mengumpul dan menyalurkan berbilion dolar yang diperlukan untuk melindungi spesies, mengatasi perbezaan ketara yang menyebabkan pertemuan mereka di Cali, Colombia tahun 2024 gagal mencapai kesepakatan.

Para perwakilan berdiri dan bertepuk tangan dalam mesyuarat terakhir yang penuh emosi itu, yang menyaksikan keputusan penting diterima pada saat-saat akhir hari terakhir perundingan yang diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) di Rome.

Presiden  Presiden Persidangan Pihak-Pihak (COP16), Cik Susana Muhamad dari Colombia, memuji kerjasama yang terjalin antara negara-negara dalam mencapai kejayaan ini, sekali gus membolehkan kemajuan dicapai “dalam dunia yang sangat terpecah belah dan penuh konflik”.

“Ini adalah sesuatu yang sangat indah kerana ia berkisar tentang melindungi kehidupan, dan tiada apa yang lebih tinggi daripada itu,” ujar Cik Muhamad dengan penuh semangat.

Keputusan ini diterima lebih daripada dua tahun selepas perjanjian bersejarah yang bertujuan menghentikan kerosakan alam sekitar yang meluas pada dekad ini dan melindungi ekosistem serta hidupan liar yang menjadi kebergantungan manusia untuk makanan, pengawalan iklim, dan kemakmuran ekonomi.

Para saintis telah memberi amaran bahawa tindakan segera amat diperlukan. Sejumlah satu juta spesies diancam kepupusan, sementara pertanian dan penggunaan yang tidak lestari merosakkan hutan, mengurangkan hasil tanah dan menyebarkan pencemaran plastik ke kawasan paling terpencil di bumi.

Perjanjian yang dicapai pada 27 Februari ini dilihat sebagai langkah penting untuk memberi dorongan kepada perjanjian 2022, di mana hampir 200 negara yang terikat dengan Konvensyen Kepelbagaian Biologi PBB (CBD) telah bersetuju untuk melindungi 30 peratus daripada tanah dan laut dunia menjelang 2030.

Perbincangan ini juga dilihat sebagai penunjuk penting terhadap kerjasama antarabangsa. Rundingan ini diadakan ketika negara-negara menghadapi pelbagai cabaran, daripada pertikaian perdagangan dan masalah hutang kepada pengurangan bantuan luar negara – terutamanya oleh Presiden Amerika Syarikat yang baru, Donald Trump.

“Usaha kita menunjukkan bahawa multilateralisme boleh memberikan harapan pada masa ketidakpastian geopolitik,” kata Encik Steven Guilbeault, Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Canada.

Encik Ousseynou Kasse dari Senegal, yang mewakili Kumpulan Afrika, turut menyokong kerjasama global. “Kami percaya ini adalah cara yang boleh menyelamatkan dunia, dan kita mesti terus mengikuti jalan ini,” katanya, menambah bahawa negara-negara mesti “bertanggungjawab kepada anak-anak kita, kepada generasi yang akan datang.”

Beliau juga berkata, beliau akan pulang ke rumah dan memberitahu berita baik kepada anaknya bahawa mereka telah mencapai kompromi dan perjanjian. “Ini adalah berita baik yang akan saya sampaikan kepada anak saya,” ujarnya.

Negara-negara telah pun bersetuju untuk mencapai sasaran menyalurkan AS$200 bilion ($269 bilion) setahun dalam pembiayaan untuk alam sekitar menjelang 2030, termasuk AS$30 bilion setahun dari negara kaya kepada negara miskin. Jumlah pembiayaan untuk tahun 2022 adalah kira-kira AS$15 bilion menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi  (OECD).

Perbincangan utama di Cali dan kemudian di Roma berkisar mengenai tuntutan negara membangun untuk mewujudkan dana biodiversiti yang khusus, yang mendapat tentangan daripada Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara kaya lain yang menentang kewujudan dana yang terlalu banyak.

Pada 27 Februari, terdapat perbincangan tertutup yang sengit berdasarkan teks “percubaan kompromi” yang dikemukakan oleh Brazil bagi pihak blok negara Brics yang turut merangkumi Rusia, China, dan India.

Perjanjian yang dicapai di Rome membenarkan mesyuarat COP 2028 untuk memutuskan sama ada untuk menubuhkan dana baru khusus di bawah proses biodiversiti PBB, atau memilih dana yang ada yang mungkin akan dibaiki untuk memainkan peranan tersebut.

Cik Georgina Chandler, Ketua Polisi dan Kempen di Zoological Society of London, menyatakan bahawa pelan kewangan ini adalah “pencapaian utama”, namun menegaskan bahawa wang perlu disalurkan dengan segera.

Salah satu pencapaian di Cali adalah penubuhan dana baru untuk berkongsi keuntungan daripada data genetik yang dihasilkan secara digital daripada tumbuhan dan haiwan dengan komuniti asalnya.
“Perjalanan ini membuktikan bahawa meskipun terdapat cabaran besar, kerjasama antarabangsa masih boleh memberi harapan,” kata Encik Kasse menutup perbincangan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg