Usaha menetapkan harga karbon dan alam semula jadi untuk menangani krisis iklim dan biodiversiti sejagat mungkin bukan penyelesaian yang sempurna, tetapi mekanisme ini harus diperkukuh dan diperbaiki, bukan diketepikan sama sekali.
Pasaran alam semula jadi dan karbon berpotensi membawa masuk sumber pembiayaan baru, terutama daripada sektor swasta, untuk menangani krisis semula jadi dan iklim yang amat kekurangan dana.
Mesej utama ini timbul daripada perbincangan panel mengenai pasaran alam semula jadi pada 21 Januari di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Davos, Switzerland, dengan ahli panel membincangkan faedah dan kelemahan menjadikan aset semula jadi seperti air dan biodiversiti sebagai komoditi.
Dianjurkan oleh WEF dan dibangunkan dengan kerjasama The Straits Times (ST), panel empat orang itu, termasuk Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam, dikendalikan editor ST, Encik Jaime Ho.
Ahli panel, Cik Sherry Madera, berkata syarikat boleh mengenal pasti risiko dan peluang kewangan dengan lebih baik jika kesan krisis iklim dan alam semula jadi ke atas mereka, dan sebaliknya, dapat diukur.
Peristiwa cuaca keterlaluan, contohnya, boleh menimbulkan risiko kepada aset fizikal syarikat seperti kilang, manakala kehilangan alam semula jadi boleh menjejas perkhidmatan seperti pembersihan air.
Intinya ialah syarikat tidak boleh mengurus apa yang mereka tidak boleh ukur.
Bahasa etika dan alam sekitar adalah penting bagi membuat orang ramai memahami perubahan yang diperlukan, kata Cik Madera, ketua eksekutif CDP, sebuah firma global yang uruskan sistem pendedahan alam sekitar.
Menangani perubahan iklim atau menghentikan kehilangan alam semula jadi adalah usaha yang mahal.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan pada Januari 2024 bahawa rantau Asia-Pasifik sahaja kekurangan sekurang-kurangnya AS$800 bilion ($1.08 trilion) dalam pembiayaan iklim.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa jurang pembiayaan biodiversiti AS$700 bilion perlu dirapatkan setiap tahun.
Pasaran karbon dan alam semula jadi semakin dianggap sebagai kemudahan untuk mengumpul dana baru daripada sektor swasta untuk tujuan tersebut.
Dalam pasaran karbon, sebagai contoh, satu kredit karbon mewakili satu tan karbon dioksida pemanasan planet yang sama ada dikeluarkan dari atmosfera, seperti melalui penghutanan semula, atau dihalang daripada dilepaskan, seperti dengan menyelamatkan hutan daripada ditebang.
Syarikat boleh membeli kredit ini untuk memenuhi sasaran perubahan iklim mereka. Tetapi pasaran karbon juga telah dilanda skandal.
Pada awal 2023, saluran berita Guardian melaporkan bahawa banyak kredit karbon hutan hujan tidak mempunyai sebarang faedah alam sekitar yang sebenar.
Pengarah eksekutif kumpulan alam sekitar Greenpeace International, Encik Mads Christensen, berkata beliau ragu-ragu dengan daya maju penyelesaian berasaskan pasaran.
Encik Christensen, berkata: “Menjadikan alam semula jadi satu komoditi, didorong oleh pertimbangan kewangan jangka pendek, berisiko memperdalam masalah.”
Di antara tiga pasaran itu, pasaran kredit karbon adalah yang paling maju, berbanding kredit biodiversiti dan kredit air.
Seorang lagi ahli panel, Encik Cenk Alper, ketua eksekutif Sabanci Holding yang beribu pejabat di Turkey, berkata terdapat banyak kesukaran untuk menyepadukan ketiga-tiga pasaran.
Menurut Presiden Tharman, ekonomi politik tindakan iklim adalah kompleks.
“Anda sedang berhadapan dengan satu masalah di mana penyelesaiannya akan memberi manfaat dalam beberapa cara,” katanya. “Anda mendapat beberapa faedah segera, tetapi manfaat yang paling penting datang beberapa dekad dari sekarang, namun anda perlu mula membayar harganya hari ini.”
Beliau mencadangkan, daripada membangunkan sistem perakaunan berasingan untuk kredit air atau biodiversiti, lebih baik “mencantumkan” kedua-duanya kepada kredit karbon.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg