Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Duta China bidas sokongan Amerika ke atas Taiwan, jejas dasar 'Satu China'

Jul 22, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Duta China ke Amerika Syarikat berkata pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, menjejas dasar 'Satu China' melalui sokongannya terhadap Taiwan dan memburukkan lagi ketegangan dengan tuntutan hak asasi manusianya terhadap layanan Beijing terhadap Hong Kong dan wilayah Xinjiang.



Bercakap di Forum Keselamatan Aspen di Colorado kelmarin, Duta Besar, Encik Qin Gang, berkata hubungan politik dan ketenteraan Washington yang semakin rapat dengan Taiwan dan kritikan terhadap hak asasi manusia semakin memburukkan hubungan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.



"Amerika Syarikat sedang mengosongkan, mengaburkan dasar 'Satu China'," kata Encik Qin pada perhimpunan tahunan diplomat, pakar dasar luar dan pegawai kanan pentadbiran Encik Biden di bandar libur, Rocky Mountain.



Beliau berkata Parti Komunis China tidak seperti di Kesatuan Soviet dan oleh itu tidak seharusnya ada Perang Dingin yang baru antara Amerika dengan China, kata Encik Qin.



"China bukan bekas Kesatuan Soviet. Parti Komunis China bukan Parti Komunis Soviet.



"Tidak akan ada pemenang dalam Perang Dingin, yang ada adalah kekalahan," kata Encik Qin.



Beijing berkongsi 'rasa' dengan Moscow mengenai permusuhan dan kebencian terhadap Amerika, enggan mengkritik sekutunya, Russia, berhubung pencerobohan Ukraine, walaupun didesak oleh pegawai Amerika, Britain dan lain-lain.



Encik Gang berkata, Beijing akan terus "mempromosikan rundingan damai dan menggesa gencatan senjata segera".



Sebelum ini terdapat kegelisahanperingkat tinggi antara pegawai atasan dari kedua-dua negara - termasuk pertemuan baru-baru ini antara Penasihat Keselamatan Amerika , Encik Jake Sullivan; Setiausaha Negara Antony Blinken; dengan rakan sejawatan mereka dari China.



Namun pertemuan itu dipercayai telah meletakkan asas hubungan antara Encik Biden dan Presiden China, Encik Xi Jinping.



Encik Biden merancang untuk menghubungi Encik Xi menjelang akhir bulan ini ketika ketegangan memuncak antara kededua negara berhubung Taiwan dan perdagangan.



Encik Biden kelmarin berkata: "Saya rasa saya akan bercakap dengan Presiden Xi dalam masa 10 hari akan datang".



Jika menjadi kenyataan, kededua pemimpin itu akan berhubungan lagi selepas November lalu apabila Encik Biden dan Encik Xi mengadakan sidang puncak pertama dengan menekankan perlunya dipertingkat komunikasi antara dua kuasa besar itu serta mengelakkan konflik.



Amerika menyifatkan China sebagai saingan strategik utamanya dan berkata penglibatan peringkat tinggi adalah penting untuk memastikan hubungan sukar itu stabil dan menghalangnya daripada beralih secara tidak sengaja ke kancah konflik.



Bercakap kepada pemberita kelmarin, Encik Biden kelihatan meragui lawatan yang dilaporkan dirancang oleh Speaker Dewan Perwakilan, Cik Nancy Pelosi, untuk melawat Taiwan bulan depan.



"Saya fikir pihak tentera berpendapat ia bukan idea yang baik sekarang, tetapi saya tidak tahu statusnya," kata Encik Biden.



Beijing berkata kelmarin bahawa ia akan bertindak balas dengan "langkah tegas" sekiranya Cik Pelosi melawat pulau yang dituntut oleh China, dan bahawa lawatan sedemikian akan "menjejas kedaulatan dan integriti wilayah China secara serius". - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >