BEIJING/HONG KONG: China mengecam pencabulan Israel terhadap kedaulatan, keselamatan dan integriti wilayah Iran dan menggesa Israel menghentikan segera semua tindakan ketenteraan yang berisiko, kata Duta China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Fu Cong, lapor media negara, Xinhua News Agency.
“China menentang percanggahan dan konflik yang semakin meluas dan amat prihatin terhadap akibat yang mungkin dibawa oleh tindakan Israel,” kata Encik Fu dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi Timur Tengah pada 13 Jun.
China amat prihatin tentang kesan negatif perkembangan semasa terhadap rundingan diplomatik mengenai isu nuklear Iran, kata Encik Fu.
Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran pada awal 13 Jun, sambil berkata ia adalah permulaan operasi berpanjangan untuk menghalang Tehran daripada membina senjata atomik.
Iran melancarkan serangan udara balas pada malam 13 Jun, dengan letupan kedengaran di Baitulmakdis dan Tel Aviv, dua bandar terbesar di negara itu.
China telah mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya di Israel dan Iran tentang situasi keselamatan yang “rumit dan teruk” di dua negara tersebut, sambil menambahkan amaran kepada mereka yang berada di Israel supaya bersedia menghadapi kemungkinan serangan peluru berpandu dan dron. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg