RIYADH: Timbalan Menteri Luar Arab Saudi, Encik Waleed Al-Khuraiji mengadakan pertemuan pada Khamis dengan Duta Singapura ke negara itu, Encik Wong Chow Ming, lapor agensi berita Arab Saudi.
Encik Al-Khuraiji mengucapkan selamat tinggal kepada diplomat Singapura itu sempena tamatnya tempoh perkhidmatannya di negara tersebut.
Dalam pertemuan itu, Encik Al-Khuraiji memuji usaha cemerlang yang dilakukan oleh Encik Wong dalam mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara.
Beliau turut melahirkan harapan agar Encik Wong terus berjaya dalam usahanya pada masa depan.
Hubungan ekonomi antara negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Singapura mendapat rangsangan awal bulan ini berikutan pertemuan antara pegawai dari kedua-dua pihak di Riyadh.
Forum itu menggariskan perkembangan terkini mengenai perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani antara kedua-dua pihak pada 2008.
Ia membolehkan akses bebas cukai barangan GCC ke pasaran Singapura dan dalam masa yang sama membolehkan eksport domestik negara Asia Tenggara itu ke Teluk dengan konsesi bebas tarif.
Dalam lawatannya baru-baru ini ke Arab Saudi, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud bersetuju bahawa tenaga yang boleh diperbaharui dan ekonomi hijau adalah antara bidang yang boleh Singapura dan Arab Saudi jalin kerjasama lebih rapat.
Mereka turut mengulangi komitmen hubungan kukuh dan mesra kededua negara sempena sambutan ulang tahun ke-45 hubungan dua hala Singapura dengan Arab Saudi tahun ini.
Dr Balakrishnan juga bertemu Setiausaha GCC, Dr Nayef Al Hajraf, dan mereka menyebut tentang asas teguh kerjasama yang telah disediakan menerusi Perjanjian Dagangan Bebas GCC dengan Singapura (GSFTA). – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg