Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Timur Tengah kaya dengan peluang ekonomi, pelaburan jangka panjang

Jul 07, 2023 | 10:43 AM



Bukan semua perkara berkenaan Timur Tengah mengenai peperangan, ketidakstabilan politik dan ketidaktentuan ekonomi.

Bertentangan dengan apa yang digambarkan dalam kesusasteraan sejarah dan pelbagai media, Timur Tengah kaya dengan peluang ekonomi dan pelaburan jangka masa panjang yang terdiri daripada perkembangan besar dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kemasyarakatan yang banyak disaksikan negara di rantau itu.

Tambahan, banyak negara di Timur Tengah menawarkan insentif untuk menarik pelabur asing dan peniaga antarabangsa, tidak kira muda atau tua, termasuk mereka yang mempunyai idea kreatif yang boleh meneroka pasaran rantau itu.

Memandangkan hubungan baik antara Singapura dengan negara-negara di rantau itu, Singapura menikmati rasa penghormatan, penghargaan dan pengiktirafan dalam semua bidang. Status itu merupakan satu kekuatan daripada pengalaman global unik Singapura.

Sehubungan itu, ada peluang hebat yang ditawarkan banyak negara di Timur Tengah buat pelabur, peniaga, syarikat saiz kecil dan sederhana, syarikat pemula, dan individu berbakat dengan idea-idea kreatif dari Singapura.

Dengan perundangan mesra pelabur, sekitaran selamat, stabil, dan budaya yang kaya dan berwarna-warni, Amiriah Arab Bersatu (UAE) adalah satu destinasi ideal bagi pelaburan. UAE sedang membina asas kukuh yang menyokong perkembangan dan kemakmuran bagi sektor perniagaan berasaskan pengetahuan dan perniagaan masa depan.

Pada masa sama, negara itu bermatlamat mempertingkat kedudukannya sebagai satu hab global bagi perniagaan yang tertumpu antaranya pada kecerdasan buatan dan keusahawanan.

Menjelang 2030, negara itu bermatlamat menarik AS$150 bilion ($202.7 bilion) pelaburan asing dan bercita-cita menjadi salah satu daripada 10 destinasi pelaburan global terbesar.

Selain itu, berada di persimpangan pertumbuhan besar di serata Timur Tengah, Asia Tenggara dan Afrika Timur, UAE menawarkan peluang tanpa had untuk membolehkan operasi pada pasaran serantau dan melampauinya.

Negara itu berhubungan langsung dengan lebih 250 bandar di merata dunia, menjadikan ia pemain besar dalam perdagangan antarabangsa, dengan rangkaiannya diperluaskan melalui laluan perkapalan yang telah menjangkau melebihi 400 bandar.

UAE adalah tuan rumah kepada 10 lapangan terbang sivil, 27 lesen syarikat penerbangan, 105 syarikat kargo, 12 pelaburan komersial dengan dua daripada 50 kontena terbaik di dunia berada di UAE.

Sebanyak 60 peratus kargo yang dituju ke anggota negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pula tiba melalui pelabuhan UAE. Pelabur asing boleh meraih manfaat daripada kepakaran dan peranan UAE sebagai hab perdagangan serantau Timur Tengah, disokong dengan rangkaian perjanjian ekonomi yang kukuh, termasuk Persetujuan Pengelakan Pencukaian Berganda dan beberapa perjanjian pelaburan dua hala.

Pelaburan di UAE memastikan pertumbuhan masa depan yang mampan untuk individu, SME dan syarikat berbilang negara dengan UAE mencapai pertumbuhan sebanyak 4 peratus mengalir ke dalam pelaburan langsung asing (FDI) dalam negara ini pada 2021 berbanding 2020 – mencecah $20.7 bilion – walaupun mengalami kesan pandemik Covid-19.

Manfaat untuk pelabur di UAE

Sejak ditubuhkan pada 1971, UAE telah memantapkan dirinya sebagai pusat ekonomi dunia Arab dengan menawarkan lanskap perniagaan dan ekonomi yang menarik. Sementara ia dikenali sebagai negara yang menawarkan insentif menerusi pengecualian cukai dan perundangan yang bertujuan memperkasakan sektor swasta, UAE juga semakin memberi tumpuan kepada penyediaan insentif pelaburan bagi sektor utama.

Negara itu menawarkan persekitaran perniagaan ideal buat pelabur dan usahawan dengan kemudahan infrastruktur yang sangat baik, khidmat dan sumber tenaga manusia yang luar biasa, serta memberi penekanan pada pemerintahan bijak.

Walaupun Invest Emirates memaparkan hanya enam bahagian pelaburan unik yang menawarkan peluang luar biasa kepada pelabur, semua FDI adalah keutamaan nasional dan ada pelbagai peluang baik dalam sektor tradisional dan yang baru muncul.

Negara itu menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur dengan bermatlamat meningkatkan jumlah perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula dalam negara serta menyokong kepelbagaian sumber pendapatan nasional.

Pelabur asing boleh melabur dalam perdagangan, industri, pertanian, perkhidmatan, pendidikan, kesihatan dan pembinaan di samping pelbagai sektor lain merentasi UAE. Ada lebih 2,000 kegiatan ekonomi berlesen, dengan undang-undang setempat kecuali hanya bagi jumlah domain yang terhad.

Berikut adalah beberapa elemen pakej menarik yang UAE tawarkan untuk pelabur:

Pemilikan Syarikat 100 Peratus

Pelabur daripada semua warga serata dunia boleh memiliki syarikat sendiri di UAE. Perubahan ini timbul menyusuli penggubalan undang-undang syarikat komersial pada 2020.

40 Zon Bebas untuk Pemerbadanan Syarikat

Ada lebih 40 zon bebas yang membenarkan pengecualian cukai. Pelabur menikmati fleksibiliti baik dalam memilih zon paling sesuai untuk menubuhkan perniagaan mereka. Zon bebas terletak di seluruh negara, sekali gus menawarkan pelabur peluang untuk terlibat dalam pilihan luas aktiviti dan perniagaan ekonomi.

Tiada Cukai Pendapatan dan Pemindahan Keuntungan Penuh

UAE tidak mengenakan cukai pendapatan pada individu, pelabur atau korporat, kecuali syarikat minyak dan cawangan bank asing. Sebagai sebuah negara dengan modal ekonomi asing sejak ia ditubuhkan, ia membolehkan individu dan pelabur kebebasan untuk membawa pulang keseluruhan keuntungan mereka.

Visa Emas untuk Pelabur

UAE memberi visa kediaman jangka panjang, untuk tempoh selama lima hingga 10 tahun kepada pelabur, usahawan dan individu berbakat. Ini membolehkan warga asing dan keluarga mereka tinggal, bekerja dan belajar di UAE untuk menetap, menubuhkan perniagaan mereka dan menikmati manfaat pemastautin lanjutan.

Kemudahan Pentauliahan Profesional

UAE dilihat sebagai satu inkubator untuk pekerja berkemahiran, modal tenaga manusia dan profesional berbakat dalam sektor ekonomi yang penting, akibat dasar buruh fleksibel dan kemudahan menarik tenaga buruh asing. Sektor perniagaan yang kian berkembang di UAE memupuk individu berkemahiran tinggi dalam pelbagai disiplin.

Tarif Kastam Rendah

Tarif kastam rendah telah menyumbang kepada mengukuhkan status UAE sebagai hab perdagangan. Tarif kerajaan di dalam negara ini bermula dari 0 peratus hingga 5 peratus. Maka, UAE menerajui perdagangan serantau dan global, menduduki tempat ketiga di dunia, dan yang pertama di dunia Arab dalam arena pengeksportan semula.

Manfaat Sektor Perindustrian

Bagi menyokong dan menarik syarikat melakukan kegiatan dalam sektor ekonomi strategik di dalam negara, UAE menawarkan pakej insentif kompetitif yang menawarkan kemudahan pembiayaan kompetitif buat industri utama dan sektor teknologi lanjutan, yang terdiri daripada Kajian dan Pembangunan, Makanan dan Pertanian, Penjagaan Kesihatan, Teknologi Maklumat-Kecerdasan Buatan (IT-AI), Farmaseutikal dan Pembuatan.

Nota: Penulis seorang pengamat perkembangan di Timur Tengah. Beliau ialah penulis tamu akhbar ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >