Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Duterte diterbang ke The Hague bagi hadapi tuduhan jenayah perang dadah

Mar 12, 2025 | 10:26 AM
Pesawat Learjet yang membawa mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, berlepas dari Pangkalan Udara Villamor di Pasay, Metro Manila, pada 11 Mac 2025. Encik Duterte ditahan sejurus sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada hari yang sama oleh pihak berkuasa yang bertindak susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan operasi perang dadahnya yang mengorbankan ribuan nyawa.
Pesawat Learjet yang membawa mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, berlepas dari Pangkalan Udara Villamor di Pasay, Metro Manila, pada 11 Mac 2025. Encik Duterte ditahan sejurus sahaja beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada hari yang sama oleh pihak berkuasa yang bertindak susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan operasi perang dadahnya yang mengorbankan ribuan nyawa. - Foto AFP

MANILA: Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, telah diterbangkan ke The Hague, Belanda, lewat malam 11 Mac bagi menghadapi pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang dikemukakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), susulan operasi perang dadah semasa pentadbirannya yang penuh kontroversi.

Menurut kenyataan rasmi dari Istana Presiden, Encik Duterte, 79 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada 10.40 malam waktu tempatan selepas Polis Antarabangsa (Interpol) cawangan Manila menerima waran tangkap rasmi daripada ICC.

Kurang sejam kemudian, pesawat yang membawa Encik Duterte berlepas menuju ke The Hague.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mengesahkan perkara itu dalam satu sidang media.

“Pesawat yang membawa mantan presiden telah berlepas ke The Hague untuk membolehkannya menghadapi pertuduhan jenayah terhadap isu kemanusiaan berkaitan perang dadah yang berdarah itu,” ujarnya.

ICC menuduh Encik Duterte melakukan “jenayah terhadap kemanusiaan berupa pembunuhan” sepanjang kempen perang terhadap dadah yang beliau lancarkan ketika memimpin Filipina dari 2016 hingga 2022.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan puluhan ribu nyawa terkorban, kebanyakannya lelaki daripada golongan miskin, tanpa perbicaraan atau bukti kukuh penglibatan mereka dalam kegiatan dadah.

Meskipun Filipina telah menarik diri daripada ICC pada 2019 atas arahan Encik Duterte sendiri, mahkamah tetap menegaskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah yang dilakukan sebelum penarikan diri, termasuk kejadian semasa Encik Duterte menjadi Datuk Bandar Davao.

Anak Encik Duterte yang juga Naib Presiden Filipina ketika ini, Cik Sara Duterte, mengecam penahanan bapanya dan menyifatkannya sebagai satu bentuk kezaliman.

“Ini bukan keadilan, ini penindasan dan pendakwaan bermotif politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia dan keluarga mangsa perang dadah menyambut baik penahanan itu.

Cik Rubilyn Litao, penyelaras kumpulan ‘Gerakan Bangkit Demi Kehidupan dan Hak Asasi’ berkata:

“Ibu-ibu yang kehilangan suami dan anak akibat kempen itu sangat bersyukur. Mereka menunggu keadilan selama bertahun-tahun.”

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi turut menganggap penahanan itu sebagai satu langkah penting ke arah pertanggungjawaban ke atas jenayah hak asasi di Filipina.

Namun, China memberi amaran kepada ICC agar tidak mempolitikkan kes itu atau mengamalkan layanan yang berat sebelah, sambil menegaskan bahawa mereka sedang memantau perkembangan tersebut dengan teliti.

Walaupun diselubungi kontroversi, Encik Duterte masih menikmati sokongan besar dalam kalangan rakyat Filipina, khususnya mereka yang memuji pendekatannya yang ‘tegas dan segera’ terhadap jenayah.

Malah, beliau dijangka bertanding semula sebagai Datuk Bandar Davao dalam pilihan raya pertengahan penggal Mei 2025.

Dalam satu penampilan awam di Hong Kong pada 9 Mac, Encik Duterte mengecam penyiasat ICC sebagai “anak pelacur”, namun berkata beliau akan “menerimanya” jika penahanan itu adalah takdirnya.

Mantan presiden itu turut menyuarakan keyakinan bahawa Mahkamah Agung Filipina tidak akan membenarkan pemindahannya ke luar negara kerana ketiadaan perjanjian ekstradisi.

“Mahkamah Agung tidak akan bersetuju dengan perkara ini. Kita tiada perjanjian ekstradisi,” kata Encik Duterte menerusi hantaran di Instagram.

Sejak kes ini dibuka semula oleh ICC pada Julai 2023, pentadbiran Prersiden Marcos dilihat enggan bekerjasama secara langsung.

Namun, kenyataan terbaru oleh Timbalan Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden, Cik Claire Castro, menunjukkan sedikit kelonggaran.

“Jika Interpol meminta kerjasama rasmi daripada pemerintah, maka pemerintah wajib memberikan bantuan sewajarnya.”

Ketika ditanya mengenai sokongan besar terhadap Encik Duterte serta kesannya terhadap landskap politik tempatan, Presiden Marcos menjawab tegas bahawa pemerintah hanya menjalankan tanggungjawab mengikut komitmen yang telah dibuat kepada masyarakat antarabangsa.

“Politik tidak seharusnya mencampuri urusan ini,” tegasnya.

Encik Duterte sebelum ini pernah secara terbuka mengaku bertanggungjawab ke atas dasar-dasarnya dalam perang dadah dan tidak menunjukkan sebarang kekesalan:

“Sama ada anda percaya atau tidak, saya lakukannya demi negara saya,” katanya ketika pembukaan siasatan Senat Filipina pada Oktober. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg