Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Presiden Filipina, Duterte ditahan susulan waran tangkap ICC

Ia berkaitan perang dadah yang dilancarkannya semasa sandang jawatan presiden
Mar 11, 2025 | 12:05 PM
Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, berucap dalam satu perhimpunan bersama masyarakat Filipina di Hong Kong yang berlangsung di Stadium Southorn pada 9 Mac. 
Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, berucap dalam satu perhimpunan bersama masyarakat Filipina di Hong Kong yang berlangsung di Stadium Southorn pada 9 Mac.  - Foto AFP

MANILA: Mantan Presiden Filipina, Encik Rodrigo Duterte, yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai pemimpin lantang dan keras, kini ditahan selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap.

Ia berhubung tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan perang dadah yang dilancarkannya semasa memegang jawatan presiden.

Penahanan itu dibuat sejurus Encik Duterte tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada 11 Mac, selepas pulang dari sebuah acara politik di Hong Kong bersama calon-calon senator daripada parti politiknya.

Waran tangkap itu diserahkan oleh Polis Negara Filipina (PNP) dengan kerjasama wakil Polis Antarabangsa (Interpol), yang telah menerima permintaan rasmi dari ICC untuk membantu melaksanakan arahan penangkapan tersebut.

Lebih mengejutkan ramai, pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos Jr, yang sebelum ini menolak campur tangan ICC dan mempertikaikan bidang kuasa mahkamah itu, kini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Penganalisis melihat perubahan pendirian itu berpunca daripada keretakan hubungan politik antara Encik Marcos dengan keluarga Encik Duterte, yang semakin meruncing.

Ini selepas anak perempuan Encik Duterte, Naib Presiden, Cik Sara Duterte, dipecat dan bakal berdepan perbicaraan pada Julai atas dakwaan mengugut membunuh presiden serta salah guna dana awam, namun beliau menafikannya.

Dalam beberapa minggu terakhir, Encik Duterte pula membalas dengan tuduhan keras terhadap Encik Marcos, termasuk menuduh presiden sebagai penagih dadah – satu dakwaan yang Encik Marcos nafikan berulang kali.

Meskipun Filipina telah menarik diri daripada Statut Rome – perjanjian pengasas ICC – pada 2019 atas arahan Encik Duterte, pihak tribunal tetap berpendirian bahawa mereka masih mempunyai bidang kuasa ke atas jenayah yang berlaku semasa negara itu masih menjadi anggota.

Ketua Pendakwa ICC, Encik Karim Khan, memberi tumpuan pada tempoh 2016 hingga 2019 – tiga tahun pertama Encik Duterte sebagai presiden – yang menyaksikan ribuan suspek dadah dibunuh dalam operasi polis yang dikritik oleh masyarakat antarabangsa.

Anak kelahiran Maasin itu mentadbir Filipina dari 2016 hingga 2022 dan melancarkan kempen antinarkotik yang mengorbankan lebih 6,000 nyawa berdasarkan data pemerintah.

Walaupun pihak berkuasa menyatakan lebih 6,000 orang terbunuh dalam operasi tersebut, kumpulan hak asasi manusia mendakwa jumlah sebenar mungkin dua kali ganda dan termasuk kes pembunuhan di luar undang-undang oleh polis dan kumpulan bersenjata tidak rasmi.

Penahanan Encik Duterte dilakukan secara senyap, dengan beliau dikawal keluar melalui laluan belakang lapangan terbang dan dibawa menaiki van polis bersama pasangannya, Cik Honeylet Avanceña.

Setakat ini, lokasi tahanan beliau masih dirahsiakan atas faktor keselamatan.

Dalam ucapan terakhirnya di Hong Kong, Encik Duterte memberi bayangan bahawa beliau sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jika benar waran itu sah, mengapa saya lakukan semua ini? Untuk diri saya? Keluarga saya? Tidak. Untuk anda dan anak-anak anda, serta negara ini,” kata beliau.

“Jika ini takdir hidup saya, saya terima. Mereka boleh tangkap saya, penjarakan saya,” ujar Encik Duterte dengan nada tegas. – Agensi berita.

“Jika benar waran itu sah, mengapa saya lakukan semua ini? Untuk diri saya? Keluarga saya? Tidak. Untuk anda dan anak-anak anda, serta negara ini. Jika ini takdir hidup saya, saya terima. Mereka boleh tangkap saya, penjarakan saya.”
Encik Rodrigo Duterte, mantan Presiden Filipina.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg