Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KL Kedudukan Zahid dalam Umno masih kukuh walau dituduh khianat

Jan 17, 2023 | 05:30 AM



ANTARA dilema demokrasi, pengkhianatan dan realiti politik demi kemantapan masa depan.



Inilah antara isu panas yang cuba dileraikan sepanjang tiga hari Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lalu.



Namun, laungan reformasi yang mencabar supaya pintu demokrasi dibuka untuk merubah kepimpinan Umno ternyata bak paluan gendang perang lesu yang tidak kesampaian.



Malah kedudukan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semakin kukuh walaupun beliau dituduh mengkhianati pendirian Umno yang enggan bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan.



Langkah berani mantan Menteri Kesihatan, Encik Khairy Jamaludin, mencabar kepimpinan Datuk Ahmad Zahid hampir terkubur pada hari kedua PAU apabila 140 daripada 191 ketua bahagian mengusulkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.



Dalam reaksinya Encik Khairy menyifatkan langkah itu sebagai satu "kegilaan".



"Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang 'fighter' (pejuang) yang tidak gentar menghadapi pencabar.



"Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam Umno," tegasnya dalam satu hantaran Instagram.



Encik Khairy yang juga mantan ketua pemuda Umno adalah antara pemimpin parti yang secara terbuka menentang kepimpinan Datuk Ahmad Zahid berikutan kekalahan paling teruk dalam sejarah di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.



Langkah tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden bertujuan memperkukuh kedudukan Umno menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijadualkan tahun ini.



Terdapat juga kebimbangan sekiranya Datuk Ahmad Zahid gagal mempertahankan kedudukannya, beliau mungkin perlu meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan sekarang ini.



Namun, usul itu ditentang beberapa orang perwakilan Umno termasuk Naib Presiden parti dan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menyifatkannya sebagai tidak demokratik.



"PAU tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan termasuk menghalang pemilihan jawatan tertinggi parti dijalankan setiap tiga tahun atau pun membuat penangguhan.



"Walaupun PAU merupakan kuasa tertinggi dalam parti dan boleh membuat sebarang keputusan namun ia tertakluk kepada Perlembagaan," tegasnya.



Beliau juga melahirkan kebimbangan langkah itu akan menjejas keyakinan golongan muda terhadap parti itu.



"Tentu sahaja melihat apa yang kita lakukan bertentangan dengan idealisme mereka. Mereka hendak sebuah parti yang terbuka, beri kebebasan, hak untuk bertanding sebagai contoh, tetapi tidak dipertandingkan," katanya.



Menyanggah pandangan itu, penganalisis politik, Datuk Dr Ramalan Yunus mempersoal pandangan bahawa demokrasi hanya wujud apabila ada satu pertandingan.



"Demokrasi itu sebenarnya apa? Bukankah demokrasi itu kalau dalam Bahasa Melayu adalah 'Kuasa Rakyat @ Suara Majoriti'?



"Kalau sudah 140 Ketua Umno Bahagian daripada 191 Bahagian Umno bersuara agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan, apakah itu bukan demokrasi?" tanya Dr Ramalan ketika dihubungi.



Kemelut kepimpinan Umno diburukkan lagi dengan pendedahan mengejut tentang 10 orang Ahli Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan ketika parlimen tergantung pasca-PRU15.



Seorang sumber dalaman Umno mengesahkan antara mereka ialah Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn, mantan Menteri Pertahanan.



Beliau disokong tiga AP dari Johor, tiga AP Negeri Sembilan, seorang AP Pahang, Perak dan Sabah.



Namun, demi kesatuan parti, Datuk Ahmad Zahid telah mengambil langkah bijak dan besar hati memaafkan mereka.



"Saya sudah katakan dengan lantang dan jelas, saya sudah maafkan (mereka) walaupun sukar untuk saya lupakan.



"Bagaimana mereka boleh menunjukkan keinsafan mereka, biarlah perwakilan Umno menganalisis dan menilai sikap mereka," katanya.



Walaupun perhimpunan bersejarah ini telah meleraikan krisis kepimpinan Umno dan memperkukuh kedudukan Datuk Ahmad Zahid, namun kayu ukur sebenar ialah sama ada Umno berupaya memenangi semula hati 60 peratus undi Melayu yang berpihak kepada gelombang tsunami hijau Perikatan Nasional (PN) dalam PRN tahun ini.



  • Penulis mantan wartawan BH dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >