BAITULMAKDIS: Pemimpin pembangkang Israel, Encik Gadi Eisenkot, semakin hampir menggantikan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, selepas mendapat sokongan 67 anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, berbanding hanya 46 yang menyokong pemimpin Parti Likud itu.

Bagaimanapun, Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, berkata beliau hanya akan mengumumkan pada Ahad ini, 8 November, siapa yang diberi mandat membentuk kerajaan, berikutan perbezaan pendirian antara parti politik yang boleh menggagalkan usaha membentuk pemerintah campuran.

Encik Herzog membuat pengumuman itu selepas mengadakan rundingan selama dua hari dengan parti politik susulan pilihan raya Parlimen pada 27 Oktober lalu yang gagal menghasilkan pemenang dengan majoriti jelas.

Daripada 120 anggota Parlimen Israel atau Knesset, seramai 67 menyokong Encik Eisenkot, 46 memilih Encik Netanyahu, manakala tujuh tidak menyokong mana-mana calon.

Walaupun Encik Eisenkot memperoleh sokongan lebih besar, beliau masih berdepan cabaran mendapatkan kerjasama parti yang mempunyai pendirian politik berbeza.

“Keputusan rundingan mungkin kelihatan jelas, tetapi kuasa yang diberikan kepada saya oleh undang-undang adalah untuk menentukan siapa yang mempunyai keupayaan membentuk pemerintah.

“Perkara itu masih belum jelas kerana terdapat bantahan antara blok politik dan dalam blok masing-masing,” kata Encik Herzog pada 5 November.

Beliau berkata akan mengadakan pertemuan lanjut dengan beberapa pemimpin parti bagi menentukan calon yang benar-benar mampu membentuk kerajaan stabil.

Parti Yashar pimpinan Encik Eisenkot menyifatkan keputusan pilihan raya sebagai penolakan rakyat terhadap kepimpinan Encik Netanyahu.

“Rakyat Israel telah memilih perubahan dan menunjukkan mereka tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Perdana Menteri Netanyahu serta kerajaannya,” menurut kenyataan parti itu.

Yashar turut menggesa penubuhan segera sebuah pemerintah darurat nasional yang akan berkhidmat untuk semua rakyat Israel.

Antara cabaran terbesar Encik Eisenkot adalah mendapatkan sokongan parti bermajoriti Arab yang mencatat pencapaian bersejarah dalam pilihan raya tersebut.

Dua gabungan parti Arab memenangi 19 kerusi dan kedua-duanya menyatakan sokongan kepada Encik Eisenkot.

Sokongan itu penting kerana blok pembangkang pimpinan Encik Eisenkot hanya menguasai 48 kerusi tanpa mengambil kira parti Arab.

Sebaliknya, blok Encik Netanyahu mempunyai 53 kerusi, termasuk tujuh daripada parti Yahudi ultra-Ortodoks, United Torah Judaism (UTJ).

Namun, usaha Encik Eisenkot bekerjasama dengan parti Arab mendapat tentangan Parti Yisrael Beiteinu, yang turut berada dalam blok pembangkang.

Pemimpinnya, Encik Avigdor Liberman, berulang kali menegaskan beliau tidak akan menyertai pemerintah yang bergantung kepada sokongan parti Arab.

Bekas sekutu Encik Netanyahu itu membangkitkan keengganan parti Arab secara jelas mengisytiharkan Hamas sebagai kumpulan pengganas, walaupun parti tersebut berulang kali mengecam serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Keadaan itu meletakkan Encik Eisenkot dalam kedudukan sukar kerana beliau memerlukan sokongan parti Arab, tetapi pada masa sama berisiko kehilangan kerjasama sekutu pembangkang.

Satu lagi halangan besar ialah pertikaian mengenai pengecualian khidmat tentera bagi pelajar agama Yahudi ultra-Ortodoks.

UTJ, yang menyokong Encik Netanyahu selepas lima pilihan raya sebelum ini, kali ini mengambil keputusan tidak mencadangkan mana-mana calon sebagai Perdana Menteri.

Keputusan itu dilihat sebagai tekanan terhadap Encik Netanyahu kerana gagal menggubal undang-undang yang menjamin pengecualian khidmat tentera kepada pelajar agama.

Parti itu bersama Shas, sebuah lagi parti ultra-Ortodoks, mahu mengekalkan pengecualian tersebut.

Isu berkenaan semakin mencetuskan kemarahan rakyat Israel apabila ramai anggota tentera simpanan terpaksa berkhidmat berulang kali susulan peperangan di Gaza, Lebanon dan Iran.

Anggota Parlimen UTJ, Encik Isaac Pindrus, menegaskan bahawa kedudukan pelajar agama menjadi keutamaan parti itu dalam mana-mana pemerintah baharu.

“Dalam apa jua pemerintah yang dibentuk selepas ini, perkara pertama yang perlu diselesaikan adalah kedudukan pelajar Torah,” katanya.

Sebaliknya, Encik Eisenkot, bekas ketua tentera Israel, bertegas bahawa pengecualian khidmat tentera mesti ditamatkan.

Golongan ultra-Ortodoks membentuk kira-kira 14 peratus penduduk Israel, tetapi mempunyai kadar kelahiran jauh lebih tinggi berbanding masyarakat sekular.

Sementara itu, Encik Netanyahu terus mengkritik kemungkinan pembangkang bekerjasama dengan parti Arab bagi menyingkirkan beliau.

Dalam rakaman video pada 4 November, beliau mendakwa terdapat “syak wasangka serius” bahawa kuasa asing menyalurkan wang untuk mempengaruhi pilihan raya, selain mempersoalkan kesetiaan warga Arab Israel.

Mengikut undang-undang Israel, calon yang menerima mandat Presiden mempunyai 28 hari untuk membentuk pemerintah, dengan kemungkinan lanjutan 14 hari.

Sekiranya gagal, Encik Herzog boleh menyerahkan mandat itu kepada anggota Parlimen lain.

Walaupun Encik Eisenkot kini mendahului dari segi sokongan, masa depan politik Israel masih tidak menentu kerana beliau perlu menyatukan parti yang berbeza pendirian mengenai hubungan dengan masyarakat Arab, keselamatan negara dan kewajipan khidmat tentera.

Keputusan Encik Herzog pada 8 Nocember ini akan menentukan sama ada Israel bakal menyaksikan berakhirnya pemerintahan Encik Netanyahu atau terus berdepan kebuntuan politik. – Agensi berita