Ejen imigresen AS tembak mati lelaki di Minneapolis, cetus protes
Ejen imigresen AS tembak mati lelaki di Minneapolis, cetus protes
Protes tercetus antaranya di New York, Washington DC dan San Francisco; tingkat ketegangan antara pegawai negeri, persekutuan
MINNEAPOLIS (Amerika Syarikat): Ejen imigresen Amerika Syarikat menembak mati seorang warganegara Amerika di sini pada 24 Januari, mencetuskan bantahan keras serta kecaman daripada pemimpin tempatan.
Ini merupakan insiden maut kedua membabitkan ejen persekutuan pada Januari.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menyifatkan kejadian itu sebagai satu serangan dan mendakwa ejen Pengawal Sempadan melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, selepas seorang lelaki didakwa menghampiri dengan pistol dan bertindak ganas apabila cuba dilucutkan senjata.
Bagaimanapun, rakaman video orang awam di tempat kejadian yang disahkan agensi berita Reuters menunjukkan lelaki itu, dikenal pasti sebagai Encik Alex Pretti, 37 tahun, memegang telefon bimbit, bukan pistol, ketika cuba membantu penunjuk perasaan lain yang ditolak jatuh.
Beliau kemudian disembur gas pemedih mata oleh salah seorang ejen sebelum dipaksa meniarap di atas jalan raya.
Ketika Encik Pretti ditahan, kedengaran jeritan amaran mengenai wujudnya senjata api sebelum seorang pegawai melepaskan empat tembakan ke arah belakang badan mangsa.
Beberapa tembakan lain kedengaran ketika seorang ejen lain menembak Encik Pretti.
Pegawai di sekeliling pada awalnya menjauhkan diri daripada tubuh Encik Pretti, dan kemudian dilihat memberi bantuan perubatan, sementara yang lain menahan orang awam dari menghampiri.
Kejadian tersebut menyebabkan ratusan penunjuk perasaan berhimpun di kawasan tersebut untuk bersemuka dengan pegawai bersenjata dan bertopeng, yang kemudian melepaskan gas pemedih mata dan grenad.
Protes turut tercetus antara lain di New York, Washington DC dan San Francisco.
Ia juga meningkatkan ketegangan antara pegawai negeri dan persekutuan yang sudah tidak bersetuju dalam pentadbiran Presiden Donald Trump berhubung insiden seorang lagi warga Amerika, Cik Renee Good, yang ditembak pada 7 Januari.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Cik Kristi Noem, mempertahankan tindakan ejen terbabit.
Dalam satu sidang media, beliau mendakwa Encik Pretti “bukan berada di sana untuk membantah secara aman, tetapi untuk melakukan keganasan”, sambil pegawai persekutuan memuat naik gambar pistol yang didakwa dibawa mangsa.
Encik Trump pula menyalahkan pegawai tempatan, menuduh datuk bandar dan gabenor “menghasut pemberontakan” menerusi retorik mereka.
Naib Presiden, Encik J.D. Vance, turut menuduh pemimpin tempatan enggan memberikan sokongan polis kepada ejen imigresen.
Datuk Bandar Minneapolis, Encik Jacob Frey, merayu agar operasi penguatkuasaan imigresen itu dihentikan serta-merta.
“Berapa ramai lagi penduduk, berapa ramai lagi warga Amerika perlu mati atau cedera parah sebelum operasi ini berakhir?” soal Encik Frey.
Ketegangan memuncak sehari selepas lebih 10,000 orang menyertai protes membantah tindakan keras ejen imigresen, susulan kematian mendiang Cik Good. – Reuters.

