Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Setahun dunia di bawah politik luar Trump

Jan 15, 2026 | 3:51 PM
(FOTO FAIL) Penunjuk perasaan memegang sepanduk, bendera serta belon besar bergambar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa demonstrasi nasional “Hands Off!” yang membantah Trump dan penasihatnya, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk, di pusat bandar Los Angeles pada 5 April 2025. Setahun memasuki penggal keduanya, Trump dilihat merombak susunan dunia pasca Perang Dunia Kedua secara paling ketara, sehingga meninggalkan dunia yang mungkin tidak lagi dikenali selepas tempoh pemerintahannya. Jauh daripada memperlahankan langkah, Trump memulakan tahun baharu dengan deretan tindakan agresif yang secara terbuka mencabar tatanan berdekad-dekad lamanya yang sebelum ini dipelopori oleh Amerika Syarikat.
(FOTO FAIL) Penunjuk perasaan memegang sepanduk, bendera serta belon besar bergambar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa demonstrasi nasional “Hands Off!” yang membantah Trump dan penasihatnya, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk, di pusat bandar Los Angeles pada 5 April 2025. Setahun memasuki penggal keduanya, Trump dilihat merombak susunan dunia pasca Perang Dunia Kedua secara paling ketara, sehingga meninggalkan dunia yang mungkin tidak lagi dikenali selepas tempoh pemerintahannya. Jauh daripada memperlahankan langkah, Trump memulakan tahun baharu dengan deretan tindakan agresif yang secara terbuka mencabar tatanan berdekad-dekad lamanya yang sebelum ini dipelopori oleh Amerika Syarikat. - Foto AFP

WASHINGTON: Setahun selepas memulakan penggal keduanya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilihat sedang merombak secara radikal susunan dunia pasca Perang Dunia Kedua, meninggalkan landskap geopolitik yang berpotensi tidak lagi dikenali apabila pentadbirannya berakhir.

Jauh daripada memperlahankan langkah, Encik Trump yang bakal mencecah usia 80 tahun pada Jun ini memulakan tahun baru dengan siri tindakan agresif yang secara terbuka mencabar struktur antarabangsa berdekad-dekad lamanya, yang sebelum ini dipelopori sendiri oleh Amerika Syarikat.

Pada 3 Januari, Encik Trump mengarahkan serangan ke atas Venezuela, sebuah negara kaya minyak, yang mengorbankan lebih 100 nyawa. Dalam operasi itu, komando Amerika dilaporkan menahan Presiden berhaluan kiri Nicolás Maduro, musuh lama Washington. Sejak itu, Encik Trump tidak teragak-agak mengeluarkan ancaman kekerasan, sama ada terhadap pihak lawan mahupun sekutu.

Pemimpin Republikan itu turut meningkatkan gesaan agar Greenland dirampas daripada Denmark, sebuah sekutu NATO, serta memberi amaran kemungkinan serangan ke atas Iran ketika rejim ulama negara itu melancarkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

Encik Trump juga pernah melontarkan idea tindakan ketenteraan terhadap Colombia dan Mexico, namun kelihatan menarik balik pendirian itu selepas berbincang dengan presiden kedua-dua negara.

Penyokongnya melihat pendekatan tidak menentu ini sebagai bukti bahawa Trump masih mengutamakan diplomasi, selagi beliau memperoleh hasil yang diinginkan.

Namun, pada masa yang sama, Encik Trump semakin meninggalkan kaedah diplomasi tradisional apabila menegaskan visinya yang berteraskan “America First”. Tindakan terbarunya termasuk menarik Amerika Syarikat keluar daripada puluhan lagi badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa lain.

“Banyak organisasi antarabangsa kini berkhidmat kepada projek globalis yang berakar pada fantasi yang telah gagal, iaitu ‘Pengakhiran Sejarah’,” kata Setiausaha Negara Encik Marco Rubio, merujuk kepada harapan pasca Perang Dingin bahawa dunia akan stabil di bawah konsensus demokrasi liberal.
Kuasa tanpa justifikasi moral

Pendekatan Encik Trump yang terang-terangan mengutamakan kekuatan ketenteraan turut tercermin dalam dasar domestik. Di bawah kepimpinan Naib Presiden Encik J.D. Vance, pentadbiran Trump tidak menunjukkan simpati walaupun secara simbolik apabila seorang ejen anti imigresen bertopeng menembak mati seorang pemandu di Minneapolis.

Sebaliknya, pasukan keselamatan tambahan segera dikerahkan.

Timbalan Ketua Staf Rumah Putih, Encik Stephen Miller, yang juga arkitek kempen anti imigresen Trump yang sering dianggap bermuatan perkauman, menegaskan sudah tiba masanya Amerika meninggalkan “kesopanan antarabangsa”.

“Kita hidup dalam dunia sebenar yang ditadbir oleh kekuatan, ditadbir oleh paksaan, ditadbir oleh kuasa,” katanya dalam wawancara bersama CNN.

Amerika Syarikat sebelum ini mengetuai penubuhan institusi antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua, termasuk PBB dan NATO, yang kini turut dikritik Trump sebagai membebankan dan tidak adil kepada Washington.

Walaupun pemimpin Amerika terdahulu sering dituduh bersikap hipokrit, seperti pencerobohan Iraq pada 2003 oleh George W. Bush tanpa mandat PBB, pemerhati berkata perbezaannya kini ialah Encik Trump hampir tidak lagi berpura-pura membawa prinsip sejagat seperti demokrasi atau hak asasi manusia.

Di Venezuela, meskipun Encik Rubio dan tokoh lain sebelum ini menganggap Encik Maduro sebagai pemimpin tidak sah susulan dakwaan penipuan pilihan raya, Encik Trump kini mengetepikan pembangkang dan menyatakan hasrat bekerjasama dengan naib presiden Maduro sebagai pemimpin interim baharu.

Encik Trump secara terbuka menyatakan keutamaan utamanya ialah mengawal minyak Venezuela dan menggunakan ancaman kekerasan bagi memastikan negara itu patuh.

Presiden Perancis Emmanuel Macron memberi amaran bahawa pendekatan Amerika ketika ini boleh membuka jalan kepada era “kolonialisme baharu dan imperialisme baharu”, empat tahun selepas Russia menceroboh Ukraine.

“Amerika Syarikat ialah kuasa mapan, tetapi kini semakin menjauhkan diri daripada sebahagian sekutunya dan melepaskan diri daripada peraturan antarabangsa yang sebelum ini dipromosikannya,” kata Encik Macron.

Perubahan yang berkekalan

Menurut Melanie Sisson, zamil di Brookings Institution, Amerika Syarikat sebelum ini berjaya mencapai kepentingannya tanpa perlu menyerang atau menawan negara lain. “Kami biasanya memperoleh apa yang kami mahukan melalui alat pengaruh lain, khususnya melalui organisasi antarabangsa dan pakatan,” katanya.

Namun, Sisson berkata walaupun Eropah mungkin merindui susunan dunia liberal lama, kuasa-kuasa lain dijangka mencontohi pendekatan Trump yang berteraskan kepentingan diri secara terang-terangan.
“Saya tidak fikir akan berlaku pembinaan semula susunan antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua seperti yang kita kenali,” katanya. “Sebahagian prinsip asas mungkin muncul semula, tetapi Trump sedang membentuk semula politik antarabangsa dengan cara yang akan bertahan lama.”

Seorang diplomat dari negara sekutu Amerika, yang bercakap secara tanpa nama, berkata walaupun pendekatan Trump mengejutkan, masa sememangnya sesuai untuk perubahan.
Russia dan Israel, katanya, telah melancarkan kempen ketenteraan tanpa berdepan kecaman antarabangsa yang berkesan.

“Sudah jelas susunan global itu tidak berfungsi, walaupun kita berpura-pura ia masih berfungsi,” katanya.

Ketika Trump terus mengukir dasar luar berasaskan kekuatan dan kepentingan sempit negara, pemerhati berpendapat dunia kini berdepan fasa baharu yang lebih keras dan tidak menentu, di mana norma lama semakin terhakis dan kuasa menjadi bahasa utama hubungan antarabangsa. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg