Ejen risikan Israel didakwa seludup barangan ke Gaza, raih jutaan dolar ketika perang
Ejen risikan Israel didakwa seludup barangan ke Gaza, raih jutaan dolar ketika perang
BAITULMAKDIS: Seorang pegawai agensi perisikan domestik Israel didakwa di mahkamah atas tuduhan mengaut keuntungan daripada penyeludupan barangan ke Gaza sepanjang perang dua tahun di wilayah Palestin itu, kata pihak pendakwa raya Israel pada 26 Februari.
Pegawai agensi keselamatan Shin Bet itu antara beberapa individu yang didakwa kerana menyeludup barangan masuk ke Gaza sebagai balasan wang yang dipercayai mencecah jutaan dolar. Kenyataan bersama Shin Bet dan polis Israel mengesahkan kes tersebut selepas maklumatnya bocor kepada media berbahasa Ibrani. Menurut kenyataan itu, beberapa warga Israel termasuk seorang pegawai Shin Bet serta seorang rakyat Palestin didakwa di Mahkamah Daerah Tengah.
Antara pertuduhan dikenakan ialah membantu musuh ketika perang, rasuah, penipuan, urus niaga harta bagi tujuan keganasan dan pengubahan harta terlarang. Menurut pihak berkuasa, tertuduh menyeludup barangan ke Gaza “sebagai pertukaran bagi jumlah wang yang besar”.
Shin Bet bagaimanapun mengenakan perintah larangan penerbitan terhadap butiran lanjut kes atas alasan keselamatan negara.
Laporan media i24News mendakwa pegawai tersebut ditahan bersama wang tunai 6.5 juta shekel Israel (S$2.34 juta) Sumber polis yang dipetik akhbar Haaretz berkata suspek dipercayai menyeludup peralatan bernilai jutaan shekel menggunakan trak yang memasuki Gaza.
Kes terbaru itu berlaku ketika Israel berdepan skandal penyeludupan besar melibatkan Bezalel Zini, anggota simpanan tentera dan adik kepada Ketua Shin Bet, David Zini. Awal bulan Februari ini, Zini bersama 14 individu lain didakwa terlibat dalam rangkaian penyeludupan barangan bernilai jutaan shekel termasuk rokok, telefon pintar, bateri, kabel telekomunikasi dan alat ganti kereta.
Zini yang mengendalikan logistik kerja perobohan tentera di Gaza disyaki menggunakan aksesnya untuk menyeludup 14 peti rokok dalam tiga kejadian dan memperoleh kira-kira 365,000 shekel.
Tentera Israel menyifatkan penyeludupan sebagai ancaman serius kepada keselamatan negara.
“Fenomena penyeludupan ke Gaza merupakan risiko besar kepada keselamatan negara. Jika anggota tentera sendiri terlibat, kesalahan itu jauh lebih berat,” kata tentera dalam kenyataan sebelum ini. Ketua Shin Bet Encik David Zini tidak disyaki terlibat dan siasatan dijalankan oleh polis bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Ini merupakan kes pertama diketahui umum membabitkan pegawai Shin Bet sejak perang Israel Hamas bermula pada Oktober 2023. Bekas peguam negara Israel, Encik Moshe Lador, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai memalukan. “Jika benar, ini penyalahgunaan kuasa yang kejam, lebih-lebih lagi kerana organisasi itu beroperasi secara rahsia,” katanya. Menurutnya, pelaku mungkin merasakan mereka sukar dikesan kerana kedudukan dalam agensi keselamatan.
Sejak perang bermula, Israel mengehadkan kemasukan makanan dan bekalan asas ke Gaza dan pada beberapa waktu melaksanakan sekatan penuh. Langkah itu mencetuskan krisis kemanusiaan dengan lebih dua juta penduduk menghadapi kekurangan makanan serius. Kumpulan keselamatan makanan disokong PBB pernah memberi amaran kebuluran meluas berlaku di Gaza.
Israel bagaimanapun menuduh Hamas mencuri dan menyorok bekalan bantuan. Menurut Israel, sekatan dilakukan bagi menghalang kumpulan bersenjata itu menggunakan bantuan sebagai alat kuasa.
Sekatan ketat menyebabkan harga barang melambung tinggi di Gaza dan membuka peluang keuntungan besar. Pegawai berkata sesetengah rakyat Israel menggunakan kedudukan dalam tentera atau perisikan untuk menjalankan perniagaan sampingan membekalkan barangan ke pasaran Gaza.
Pendakwa raya menyatakan tertuduh menerima “jumlah wang yang besar” sebagai rasuah dan membantu musuh ketika perang. Shin Bet mengesahkan seorang anggotanya ditahan namun identitinya dirahsiakan oleh mahkamah.
Awal bulan Februari ini lebih 10 warga Israel turut didakwa menyeludup rokok dan barangan lain ke Gaza, sebahagiannya anggota simpanan tentera yang keluar masuk wilayah itu melalui sekatan tentera. Ada antara mereka dilaporkan memperoleh jutaan dolar.
Penahanan Bezalel Zini sebelum ini menjadi isu politik apabila penyokong kerajaan mendakwa kes itu cubaan melemahkan kepimpinan abangnya dalam Shin Bet. Tidak jelas sama ada kes terbaru membabitkan pegawai Shin Bet mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan sama.
Kes tersebut menambah tekanan kepada Israel yang sedang berdepan kritikan antarabangsa berhubung situasi kemanusiaan di Gaza, selain menimbulkan persoalan integriti dalam institusi keselamatan negara ketika perang masih membara. - Agensi berita

