Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel dakwa lintasan Rafah dibuka semula; namun Mesir nafi ada perjanjian

Dec 4, 2025 | 1:04 PM
Rafah, sempadan, Gaza, Palestin
Para sukarelawan Mesir duduk berhampiran deretan lori yang sarat dengan bantuan kemanusiaan dan bahan api, yang berbaris untuk memasuki Jaluran Gaza melalui lintasan Rafah di bahagian Mesir pada 19 Oktober 2025. - Foto REUTERS

GAZA: Israel pada 3 Disember mengumumkan bahawa ia akan mula membenarkan sebahagian rakyat Palestin meninggalkan Jaluran Gaza ke Mesir melalui lintasan Rafah “dalam beberapa hari lagi”.

Pembukaan itu dianggap sebagai talian hayat kepada rakyat Gaza yang terperangkap dalam wilayah yang musnah akibat peperangan, terutama golongan sakit dan cedera.

Namun tidak lama selepas pengumuman itu, Mesir menafikan sekeras-kerasnya bahawa sebarang persetujuan telah dicapai.

Menurut kenyataan Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir, “Jika terdapat persetujuan untuk membuka lintasan, ia mesti dibuka dua hala masuk dan keluar Gaza selaras dengan pelan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.” Kenyataan itu memetik seorang sumber rasmi Mesir yang menolak dakwaan Israel.

Israel melalui badan Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat) berkata bahawa lintasan itu hanya akan dibuka satu arah, iaitu untuk membenarkan rakyat Palestin keluar dari Gaza, dan akan dikendalikan sebahagiannya oleh Misi Bantuan Sempadan Kesatuan Eropah (EUBAM), “seperti mekanisme yang digunakan pada Januari 2025” ketika gencatan senjata enam minggu.

Dua sumber diplomatik Eropah memberitahu AFP bahawa mereka pada awalnya telah bersedia membuka lintasan itu pada 14 Oktober untuk pejalan kaki, namun pelaksanaannya ditangguh pada saat akhir.

Pembukaan semula Rafah merupakan komponen utama dalam pelan damai Trump untuk wilayah Palestin dan telah lama didesak oleh agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) serta pertubuhan kemanusiaan.

Mesir secara konsisten menuntut Rafah dibuka bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan selaras dengan pelan yang dirundingkan Amerika.

Konvoi bantuan yang menunggu di Mesir kini dialihkan ke lintasan Israel di Kerem Shalom, namun jumlah lori yang masuk jauh lebih rendah daripada yang dijanjikan.

“Perjanjian menetapkan 600 lori sehari, tetapi data PBB menunjukkan jumlah sebenar hanya sekitar 100 lori,” kata sumber PBB di Kahirah.

“Sebahagian besar kargo yang dibenarkan masuk ialah makanan, manakala barangan penting seperti khemah dan peralatan perubatan masih disekat atau ditangguhkan,” ujar sumber PBB.

Program Makanan Dunia turut menyatakan bahawa walaupun separuh rumah tangga di Gaza melaporkan sedikit peningkatan bekalan makanan pada November, akses keseluruhan masih “tidak mencukupi”.

Israel mengambil alih bahagian Palestin di lintasan Rafah pada Mei 2024 dengan alasan ia digunakan untuk “tujuan keganasan,” termasuk dakwaan penyeludupan senjata.

Lintasan itu hanya dibuka sebentar ketika gencatan senjata pada Januari 2025 bagi membenarkan pergerakan manusia dan lori bantuan.

Bagi rakyat Gaza, Rafah adalah pintu utama keluar untuk rawatan perubatan dan perjalanan ke luar negara, terutama sejak Israel mengenakan sekatan ketat sejak 2007.

Namun Mesir pada 3 Disember sekali lagi menegaskan bahawa ia tidak mempunyai koordinasi dengan Israel mengenai pembukaan semula lintasan.

“Pembukaan semula Rafah mesti mengikut persetujuan gencatan senjata Oktober, ia wajib dibuka dua arah,” kata sumber tersebut.

Israel bagaimanapun menegaskan bahawa pembukaan dua hala hanya berlaku apabila “mayat tawanan terakhir dipulangkan.”

Jurucakap pemerintah, Cik Shosh Bedrosian, berkata: “Rafah akan dibuka dua hala apabila mayat baki tawanan dalam Gaza dipulangkan kepada Israel.”

Hamas pada 3 Disember menyerahkan satu mayat kepada Israel untuk proses pengecaman, namun pihak Israel menyatakan ia bukan mayat mana-mana tawanan yang hilang.Hamas berkata beberapa mayat tawanan hilang di bawah runtuhan, manakala Israel mendakwa Hamas sengaja melengah-lengahkan proses penyerahan. Dua mayat dipercayai milik seorang warga Israel dan seorang warga Thailand masih belum dijumpai. Hamas bersama Palang Merah sedang menggali kawasan runtuhan bagi mencarinya.
Israel pula akan menjalankan ujian forensik bagi mengenal pasti mayat jika ditemukan.

Sehingga kini, masih tidak jelas bila tepat Rafah akan dibuka dan berapa ramai rakyat Palestin dibenarkan keluar.

Pertikaian antara Israel dan Mesir selepas pencerobohan tentera Israel ke Rafah pada Mei 2024 menyebabkan ribuan rakyat Gaza terperangkap, termasuk pesakit yang memerlukan rawatan segera.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sekurang-kurangnya 16,500 penduduk Gaza yang sakit dan cedera masih memerlukan rawatan yang tidak lagi tersedia di wilayah itu.

Rafah kembali dibuka sebentar pada Februari 2025 semasa gencatan senjata yang kemudian runtuh pada pertengahan Mac. Ketika itu, pegawai Kesatuan Eropah (EU) dan pegawai Pihak Berkuasa Palestin membantu mengurus operasi lintasan.

Namun bagi kebanyakan rakyat Gaza, keluar dari wilayah itu kekal hampir mustahil sepanjang perang. Mereka yang berjaya melakukannya terpaksa mendapatkan kelulusan keselamatan Israel dan Mesir. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg