Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elon Musk terima pakej gaji AS$1 trilion, cetus perdebatan jurang kekayaan di AS

Nov 7, 2025 | 2:59 PM
Orang ramai berhimpun sambil membantah dalam perhimpunan “Tiada AS$1 Trilion Untuk Elon Musk!” di Bangunan Capitol Negeri Texas, Austin, pada 5 November 2025. Tesla Inc. mencadangkan pakej ganjaran kepada Elon Musk yang boleh mencecah sehingga AS$1 trilion dalam tempoh sedekad jika pelbagai sasaran prestasi jangka panjang berjaya dicapai.
Orang ramai berhimpun sambil membantah dalam perhimpunan “Tiada AS$1 Trilion Untuk Elon Musk!” di Bangunan Capitol Negeri Texas, Austin, pada 5 November 2025. Tesla Inc. mencadangkan pakej ganjaran kepada Elon Musk yang boleh mencecah sehingga AS$1 trilion dalam tempoh sedekad jika pelbagai sasaran prestasi jangka panjang berjaya dicapai. - Foto AFP

NEW YORK: Pemegang saham Tesla pada 6 November meluluskan satu pelan ganjaran besar yang boleh menjadikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, manusia pertama di dunia bergelar trilionair - langkah yang mencetuskan perdebatan hangat tentang keadilan ekonomi dan jurang kekayaan di Amerika Syarikat.

Keputusan itu dibuat hanya dua hari selepas rakyat New York memilih Encik Zohran Mamdani, calon sosialis demokrat yang berkempen dengan slogan “cukai orang kaya”, sebagai Datuk Bandar baru. Dua peristiwa ini mencerminkan dua wajah berbeza Amerika - satu yang meraikan kekayaan luar biasa dan satu lagi yang menuntut keadilan ekonomi.

Di ibu pejabat Tesla di Austin, Texas, para pemegang saham menyokong pelan 12 peringkat yang akan memberi Musk saham bernilai hampir AS$1 trilion (S$1.3 trilion) jika beliau berjaya menggandakan nilai pasaran Tesla daripada AS$1.4 trilion kepada AS$8.5 trilion dalam tempoh sedekad.

Pelan itu juga menetapkan sasaran jualan sejuta robot humanoid “Optimus” dan 10 juta langganan perisian pemanduan automatik berbayar. “Apa yang kita mulakan hari ini bukan sekadar bab baharu Tesla, tetapi sebuah buku baru tentang masa depan,” kata Encik Musk dalam ucapannya kepada pemegang saham.

Walaupun saham Tesla susut sedikit selepas waktu dagangan, pengarah syarikat dan beberapa pelabur utama memuji keputusan itu sebagai pemangkin inovasi.

Lembaga Pentadbiran Negeri Florida yang menguruskan dana pencen awam negeri itu, berkata dalam pemfailan rasmi: “Mereka yang menganggap pelan ini terlalu besar mengabaikan skala cita-cita yang menjadikan Tesla unggul. Syarikat ini pernah hampir muflis dan kini menjadi peneraju global dalam kenderaan elektrik dan tenaga bersih.”

Namun, tidak semua bersetuju. Pengurus dana awam di New York dan California menolak pelan tersebut, menyifatkannya sebagai pemberian kuasa berlebihan kepada seorang individu.
“Ini bukan ganjaran atas prestasi, tetapi bayaran untuk kuasa tanpa kawalan,” kata Encik Thomas DiNapoli, Pengawal Kewangan Negeri New York.

Norges Bank Investment Management, pengurus dana kekayaan berdaulat Norway dan antara pelabur terbesar Tesla, turut menolak rancangan itu kerana bimbang terhadap “risiko kebergantungan kepada seorang individu.”

“Kami menghargai sumbangan besar Musk, tetapi jumlah ganjaran ini terlalu besar dan berisiko tinggi kepada tadbir urus korporat,” katanya.

Malah, Pope Leo XIV turut memberi pandangan, menyatakan bahawa ganjaran tersebut mencerminkan ketidakseimbangan global yang semakin ketara antara pekerja dan golongan kaya. Menurut laporan Tesla, pekerja median syarikat itu hanya memperoleh sekitar AS$57,000 setahun.

Dalam responsnya, Encik Musk membela pelan tersebut sambil mempromosikan visi teknologi masa depan Tesla. “Ramai bercakap tentang menghapuskan kemiskinan dan menyediakan penjagaan kesihatan terbaik untuk semua. Hanya ada satu cara untuk mencapainya, robot Optimus,” katanya, merujuk kepada projek robot manusia yang masih dalam pembangunan.

Beliau menambah bahawa kemajuan automasi akan “mengubah ekonomi manusia secara total,” dan menegaskan bahawa pelan ganjarannya selaras dengan kejayaan syarikat.
Pelabur terkenal Cathie Wood, Ketua Pegawai Eksekutif Ark Invest, mempertahankan keputusan itu di platform X.

“Saya tidak faham mengapa pelabur menolak pelan gaji Elon, sedangkan mereka dan pelanggan mereka akan menikmati keuntungan besar jika beliau mencapai matlamat itu,” tulisnya.

Ketika Encik Musk meraikan sokongan pemegang saham, di seberang negara, kemenangan Zohran Mamdani di New York membawa mesej yang berbeza bahawa ramai rakyat Amerika kini menolak kapitalisme gaya “pemenang ambil semua.”

Encik Mamdani berjanji untuk melaksanakan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya bagi membiayai penjagaan kanak-kanak sejagat dan pengangkutan awam percuma. “Kami mahu ekonomi yang berfungsi untuk semua, bukan hanya untuk jutawan,” katanya kepada penyokong selepas kemenangannya.

Perbezaan ketara antara kejayaan Musk dan kemunculan Mamdani mencerminkan perpecahan ekonomi Amerika hari ini - antara mereka yang melihat kekayaan luar biasa sebagai bukti kecemerlangan, dan mereka yang melihatnya sebagai tanda sistem yang gagal.

Profesor Randall Peterson dari London Business School berkata: “Mereka yang masih kekal sebagai pemegang saham Tesla selepas segala kontroversi adalah golongan yang benar-benar percaya pada ‘mitos’ Elon Musk.”

Musk kini memiliki kira-kira 15 peratus saham Tesla, dan pegangan itu boleh meningkat hampir dua kali ganda jika beliau mencapai semua sasaran. Bagaimanapun, beliau mungkin perlu menjual sebahagian sahamnya bagi membayar cukai.

Pelan ini menggantikan skim terdahulu bernilai AS$128 bilion yang dibatalkan oleh mahkamah Delaware pada 2024 selepas hakim menyifatkan proses kelulusannya “sarat dengan konflik kepentingan.”

Namun, dengan kelulusan baru ini, Tesla dan Musk menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa inovasi dan ganjaran besar masih menjadi teras kapitalisme Amerika walaupun ia terus menimbulkan persoalan siapa sebenarnya yang menikmati keuntungannya.

“Kelas bilionair kini berkembang menjadi kelas trilionair,” sindir Ben Wikler, bekas pengerusi Parti Demokrat Wisconsin. “Dan sementara itu, rakyat biasa masih bergelut untuk membayar sewa.”

Ketika Zohran Mamdani menekankan “keadilan ekonomi untuk rakyat,” Elon Musk menulis di X malam itu: “Kita sedang membina masa depan satu robot pada satu masa.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg