WASHINGTON: Ketua Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, dilaporkan meninggalkan pentadbiran Presiden Donald Trump selepas melalui tempoh bergelora ketika bertugas dalam usaha menyusun semula pemerintah persekutuan.
Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan bahawa Encik Musk sedang dalam proses keluar daripada pentadbiran itu, yang akan bermula pada malam 28 Mei.
Encik Musk dalam satu hantaran di platform media sosial X pada 28 Mei berterima kasih kepada Presiden Donald Trump atas peluang yang diberikan kepadanya sebagai pekerja pemerintah khas di bawah Jabatan Kecekapan Pemerintah (Doge).
Keputusan untuk keluar dibuat dengan cepat dan tanpa upacara rasmi.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, Encik Musk tidak berbincang secara rasmi dengan Encik Trump sebelum mengumumkan pengunduran dirinya.
Tambah sumber itu, keputusan tersebut dibuat pada peringkat kakitangan kanan.
Walaupun keadaan sebenar di sebalik pemergian beliau tidak begitu jelas, ia berlaku hanya sehari selepas beliau mengkritik rang undang-undang cukai utama pentadbiran Encik Trump yang dianggapnya terlalu mahal dan akan menjejaskan usaha beliau bersama Doge.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Encik Musk dilaporkan bertelagah secara tertutup dengan beberapa pegawai Kabinet.
Malah, beliau secara terbuka mengecam penasihat perdagangan Rumah Putih, Encik Peter Navarro, sebagai “dungu” kerana menolak gesaannya supaya dihapuskan tarif antara Amerika dengan Eropah.
Tempoh 130 hari Encik Musk sebagai pekerja pemerintah khas di pentadbiran Encik Trump dijadualkan berakhir sekitar 30 Mei.
Bagaimanapun, pentadbiran Encik Trump berkata bahawa usaha Doge untuk menyusun semula dan mengecilkan saiz kerajaan persekutuan akan diteruskan.
“Misi Doge hanya akan semakin kukuh dari semasa ke semasa sehingga menjadi satu gaya hidup dalam pemerintah,” kata Enck Musk.
Hasil usaha Encik Trump dan Doge telah berjaya mengurangkan hampir 12 peratus, atau sekitar 260,000, daripada 2.3 juta kakitangan awam persekutuan melalui ancaman pemecatan, tawaran persaraan awal dan pakej pampasan, menurut kajian Reuters.
Pada 27 Mei, Encik Musk mengkritik peruntukan belanjawan dan cukai Republikan yang sedang melalui proses Kongres, menyatakan bahawa rang undang-undang itu meningkatkan defisit belanjawan dan melemahkan usaha Doge.
“Saya kecewa melihat rang undang-undang perbelanjaan besar itu, yang sebenarnya meningkatkan defisit bajet, bukannya mengurangkannya, dan menjejaskan kerja yang dilakukan pasukan Doge,” katanya kepada CBS News.
Aktiviti politik Encik Musk telah mencetuskan protes, dan beberapa pelabur menggesa beliau untuk melepaskan peranannya sebagai penasihat Encik Trump dan lebih menumpukan kepada Tesla, selepas penurunan jualan kereta dan harga saham syarikat itu.
Encik Musk, yang kini individu terkaya di dunia, mempertahankan peranannya sebagai pegawai yang tidak dipilih tetapi diberikan kuasa luar biasa oleh Encik Trump untuk membongkar beberapa bahagian dalam pemerintah Amerika.
Beliau sebelum ini telah membelanjakan hampir AS$300 juta ($388.17 juta) untuk menyokong kempen presiden Encik Trump dan Republikan lain pada 2024, tetapi pada awal Mei, Encik Musk berkata beliau akan mengurangkan perbelanjaan politiknya secara besar-besaran.
“Saya rasa saya telah melakukan secukupnya,” katanya semasa menghadiri forum ekonomi di Qatar. –Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg