BATAM: Polis Indonesia menahan empat individu berhubung dakwaan mengimport secara haram tiga enjin pesawat terpakai bernilai kira-kira 30 bilion rupiah ($2.15 juta) dari Singapura ke Batam.

Polis Daerah Kepulauan Riau (Polda Kepri) mengumumkan kes itu pada 1 Oktober, dengan empat suspek yang hanya dikenal pasti menerusi singkatan nama LH, AE, AS dan DJ kini ditahan bagi membantu siasatan.

Polis sedang menyiasat pemilik sebenar tiga enjin itu, pihak yang mengatur penghantarannya dari Singapura, penerima yang sepatutnya mengambil barangan berkenaan di Indonesia serta individu yang menyediakan dokumen penghantaran.

Siasatan awal setakat ini mengaitkan pemilikan enjin berkenaan dengan LH.

Tiga enjin itu dirampas pada 15 Ogos lalu di Jalan Duyung, Batu Ampar, Batam, selepas polis menerima maklumat mengenai kemasukan barangan terpakai dari luar negara.

Polis turut merampas beberapa dokumen berkaitan import dan penghantaran barangan itu.

Menurut polis, barangan tersebut merupakan enjin turbo pesawat terpakai, dengan setiap satu dianggarkan bernilai sekitar 10 bilion rupiah.

Ketua Bahagian I bagi Jenayah Tertentu dan Industri Polda Kepri, Encik Paksi Eka Saputra, berkata enjin berkenaan dipercayai sudah disimpan di Batam selama kira-kira tujuh bulan sebelum ditemui.

Polis berjaya memintas enjin itu ketika ia sedang dipindahkan ke sebuah gudang lain selepas tempoh sewa gudang asal tamat.

Perhubungan Awam Polda Kepri berkata tiga enjin itu dibawa masuk dari Singapura tanpa memenuhi syarat dokumen import dan peraturan yang ditetapkan.

Menurut Encik Paksi, tiga enjin tersebut tidak dihantar terus ke destinasi akhirnya selepas tiba di Batam.

Sebaliknya, polis mengesyaki ia disimpan di Batam sementara dokumen berkaitan penghantaran itu diubah atau dimanipulasi.

Dokumen yang dirampas menyatakan Jakarta sebagai destinasi akhir dan polis percaya enjin berkenaan sepatutnya digunakan sebagai alat ganti pesawat di sana.

Penyiasat kini meneliti kargo serta dokumen penghantaran lain bagi menentukan sama ada maklumat yang dicatatkan sepadan dengan barangan sebenar yang dibawa oleh pengangkut dan kapal berkenaan.

Polis turut mendedahkan peranan yang didakwa dimainkan oleh setiap suspek dalam membawa enjin itu dari Singapura ke Batam.

LH didakwa membentuk satu pasukan untuk menguruskan penghantaran tiga enjin tersebut dari Singapura, manakala AE dipercayai menerima tugasan berkenaan.

AE kemudian didakwa mengatur supaya enjin itu diletakkan di atas palet kayu di Singapura sebelum mengambilnya sebaik tiba di Batam.

AE seterusnya dikatakan mendapatkan bantuan AS, yang kemudian meminta DJ mencari laluan penghantaran.

DJ dipercayai menemui sebuah ejen penghantaran yang kemudiannya menguruskan pengangkutan enjin berkenaan dari Singapura ke Batam.

Semua dakwaan itu masih dalam siasatan dan belum dibuktikan di mahkamah.

Siasatan turut menemui beberapa syarikat yang dinamakan sebagai syarikat A, B dan C dalam dokumen penghantaran.

Namun, Encik Paksi berkata apabila polis cuba mengesan syarikat berkenaan, ia tidak lagi dapat ditemui.

Polis kini menyiasat sama ada nama syarikat tersebut digunakan untuk memudahkan penghantaran enjin atau menyembunyikan identiti pihak yang sebenarnya terlibat dalam urus niaga itu.

Pejabat Kastam dan Eksais Batam turut mengesahkan tiada rekod menunjukkan tiga enjin tersebut diimport secara rasmi.

Ketua Perhubungan Awam Kastam Batam, Encik Mujiono, berkata pemeriksaan dalam sistem agensi itu pada 2 Oktober mendapati tiada pemberitahuan import bagi kemasukan tiga enjin dari Singapura.

Kastam kini membantu siasatan polis bagi menentukan bagaimana enjin tersebut boleh memasuki Batam tanpa rekod berkenaan.

Walaupun polis mengesahkan enjin itu dihantar dari Singapura, setakat ini tiada warga atau syarikat Singapura dinamakan sebagai suspek.

Penyiasat masih berusaha mengenal pasti pemilik barangan itu di Singapura serta pihak di Jakarta yang dipercayai membuat pesanan.

Empat suspek disiasat mengikut peruntukan Undang-Undang Perdagangan Indonesia, termasuk peraturan yang secara umumnya menetapkan bahawa barangan import mesti barangan baru kecuali kategori barangan terpakai tertentu yang dibenarkan pemerintah tertakluk pada syarat ditetapkan.

Jika sabit kesalahan membawa masuk barangan bukan baru secara melanggar peraturan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda sehingga 5 bilion rupiah atau kedua-duanya.

Polis berkata siasatan masih diteruskan terhadap kapal dan pengangkut yang digunakan, syarikat yang dinamakan dalam dokumen, gudang tempat enjin disimpan serta pihak yang sepatutnya menerima barangan itu di Jakarta.

Polda Kepri juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai suspek dikenal pasti apabila siasatan lanjut dijalankan. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti