BATAM: Seorang wanita Singapura ditahan pihak berkuasa Indonesia di Batam, Kepulauan Riau, selepas didakwa cuba menyeludup 40 kartrij vape yang mengandungi etomidate, bahan yang diklasifikasikan sebagai narkotik Kelas II di Indonesia dan dikenali sebagai Kpods di Singapura.

Wanita yang dikenal pasti menerusi singkatan WSB itu ditahan pegawai Pejabat Kastam dan Eksais Batam sebaik tiba di Terminal Feri Harbour Bay, daerah Batu Ampar, kira-kira 10 malam pada 3 September lalu.

Dia tiba dengan feri terakhir dari Singapura.

Ketua Penguatkuasaan dan Siasatan Pejabat Kastam Batam, Encik Lucky Tamo, berkata pegawai mula mengesyaki wanita itu selepas melihat cara beliau berjalan yang kelihatan janggal.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan barangan terlarang itu disembunyikan di bahagian kelangkangnya.

“Ujian makmal mengesahkan cecair itu mengandungi dadah,” kata Encik Lucky pada 17 September semasa acara pemusnahan dadah yang dirampas di ibu pejabat Polis Batam, Rempang dan Galang (Barelang).

Polis Indonesia turut memusnahkan barang bukti daripada beberapa kes, termasuk ganja, pil ekstasi, syabu dan ratusan kartrij vape yang mengandungi bahan terlarang.

Keseluruhan dadah dan barangan terlarang yang dimusnahkan dianggarkan mempunyai nilai pasaran sekitar 540 juta rupiah ($41,000).

Ketua Perkhidmatan Pematuhan dan Maklumat Pejabat Kastam Batam, Encik Setiawan Rosyidi, berkata kartrij berkenaan diikat pada bahagian kelangkang suspek.

Menurut beliau, wanita itu berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan ketika berlepas dari HarbourFront Centre di Singapura sebelum ditahan sebaik tiba di Batam.

Ketika disoal siasat, WSB mendakwa 40 kartrij berkenaan adalah untuk kegunaan sendiri sepanjang berada di Batam.

Bagaimanapun, Ketua Siasatan Narkotik Polis Barelang, Encik Arsyad Riyandi, berkata pihak berkuasa masih menyiasat dakwaan tersebut kerana kartrij vape yang dirampas didapati tidak mempunyai penutup keselamatan.

Polis kini berusaha mengesan sumber bekalan barangan itu serta menyiasat kemungkinan wujud kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa.

Encik Arsyad menegaskan semua suspek kes dadah, termasuk warga asing, akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang Indonesia.

WSB kini ditahan Polis Barelang untuk siasatan lanjut.

Dia adalah antara 15 suspek yang ditahan dalam 14 kes narkotik di Batam sepanjang sebulan lalu.

Etomidate ialah ubat anestetik yang digunakan dalam perubatan tetapi disalahgunakan dengan mencampurkannya ke dalam cecair vape.

Di Singapura, vape yang mengandungi etomidate dikenali sebagai Kpods.

Singapura mengharamkan pembelian, pemilikan dan penggunaan vape sejak 2018.

Pemerintah Singapura kemudian memperketat pendekatan terhadap vape yang mengandungi etomidate selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos 2025 bahawa isu vape akan ditangani sebagai masalah dadah berikutan peningkatan kes berkaitan Kpods.

Pihak berkuasa Singapura turut meningkatkan pemeriksaan di pusat pemeriksaan darat dengan Malaysia serta terminal feri yang menghubungkan negara itu dengan Kepulauan Riau.

The Straits Times telah menghubungi Kementerian Ehwal Luar Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan wanita tersebut. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti