Topik diikuti
Pergi ke BHkuEmpat maut, 22 cedera selepas tongkang tenggelam di Teluk Suez
KAHERAH: Empat orang terkorban manakala 22 yang lain cedera selepas sebuah tongkang karam di Teluk Suez, menurut kenyataan pemerintah Mesir pada 2 Julai.
Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan bahawa tongkang Adam Marine 12 tenggelam pada malam 1 Julai, namun tidak menyatakan punca kejadian itu. Empat mangsa yang terkorban telah dibawa ke Hospital Hurghada di pesisir Laut Merah, menurut kenyataan kementerian itu di media sosial.
Menurut kenyataan itu lagi, empat mangsa yang cedera telah dipindahkan melalui udara manakala 18 lagi dihantar dengan ambulans ke sebuah hospital tempatan yang lain.
Kementerian Petroleum Mesir pula memaklumkan melalui Facebook bahawa pihaknya menerima laporan daripada Syarikat Minyak Offshore Shukheir (Osoco) mengenai insiden tongkang yang karam di kawasan Gebel El-Zeit dalam Teluk Suez.
Kawasan tersebut terletak kira-kira 300 kilometer ke selatan Terusan Suez, iaitu laluan perairan utama yang menghubungkan Eropah dan Asia.
Sebelum serangan Houthi di Laut Merah bermula pada akhir 2023, Terusan Suez menyumbang kira-kira 10 peratus daripada perdagangan maritim global.
Pemberontak Houthi mendakwa serangan mereka adalah sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, yang berdepan peperangan antara Israel dan Hamas sejak Oktober 2023. - AFP
