SANAA: Pemberontak Houthi Yaman akan terus menyasarkan kapal-kapal Israel di Laut Merah, kata seorang pegawai pada 7 Mei.
Ia berlaku di sebalik perjanjian gencatan senjata yang dicapai bagi menamatkan serangan sengit Amerika Syarikat ke atas kumpulan yang disokong Iran itu.
Sehari selepas Houthi bersetuju menghentikan serangan ke atas kapal yang melalui laluan perdagangan utama di luar pantai mereka, seorang pegawai kanan memberitahu Israel dikecualikan daripada perjanjian tersebut.
“Laluan air selamat untuk semua kapal antarabangsa kecuali kapal Israel,” kata anggota biro politik Houthi, Encik Abdulmalik Alejri.
“Israel bukan sebahagian daripada perjanjian itu, ia hanya termasuk kapal Amerika dan kapal lain,” katanya.
Houthi, yang telah menguasai sebahagian besar Yaman selama lebih sedekad, mula menyerang kapal berkaitan Israel di Laut Merah dan Teluk Aden pada November 2023, beberapa minggu selepas bermulanya perang Israel-Hamas.
Mereka meluaskan serangan untuk menyasarkan kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika dan Britain selepas serangan tentera oleh kedua-dua negara bermula pada Januari 2024.
Encik Alejri berkata Houthi kini “hanya” menyerang kapal Israel.
Pada masa lalu, kapal yang menuju ke Israel, atau mereka yang mempunyai hubungan dengan Israel, berada dalam pemerhatian pemberontak.
Jurucakap Houthi, Encik Yahya Saree, berkata pada 7 Mei bahawa tentera mereka telah melancarkan dua serangan, menyasarkan Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel dengan dua dron dan “sasaran penting Zionis” di Tel Aviv “menggunakan dron Yafa”.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, “menyambut pemberhentian pencerobohan Amerika terhadap Yaman, memuji rakyat negara itu atas “penentangan legenda” mereka.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyeru “sekatan dan pengurangan ketegangan di dalam dan sekitar Yaman”.
Perjanjian Amerika-Houthi diumumkan selepas serangan maut Israel pada 6 Mei yang menyebabkan lapangan terbang Sanaa lumpuh.
Serangan Israel itu sebagai membalas serangan peluru berpandu Houthi ke atas Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv.
Pengarah lapangan terbang Sanaa, Encik Khaled alShaief, berkata serangan Israel itu telah memusnahkan bangunan terminal dan menyebabkan kerosakan bernilai AS$500 juta ($647 juta).
Oman yang menjadi perantara perjanjian antara Washington dengan pemberontak berkata bahawa “kedua-dua pihak tidak akan menyasarkan pihak lain... memastikan kebebasan perkapalan”. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg