MADRID: Pasukan kecemasan Sepanyol menemui mayat empat individu yang tertimbus di bawah runtuhan sebuah bangunan enam tingkat di pusat Madrid, yang sedang diubah suai menjadi hotel, menurut pihak berkuasa tempatan pada 8 Oktober.
“Dengan penuh kesedihan, kami mengesahkan bahawa pasukan bomba Madrid telah menemui mayat mereka yang hilang selepas insiden runtuhan,” kata Datuk Bandar Madrid, Encik Jose Luis Almeida dalam kenyataan di platform X.
Mangsa dikenal pasti sebagai tiga lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun dari Ecuador, Mali dan Guinea-Conakry yang bekerja sebagai buruh binaan, serta seorang wanita berusia 30 tahun, arkitek projek pengubahsuaian tersebut.
Mayat mereka ditemui awal 8 Oktober, hampir 15 jam selepas struktur dalaman bangunan itu runtuh, meninggalkan hanya bahagian hadapan berdiri teguh. Operasi mencari dan menyelamat melibatkan polis, bomba, dron dan anjing pengesan.
Selain itu, tiga lagi pekerja binaan dilaporkan cedera.
Seorang pekerja binaan, Encik Mikhail, yang berada di luar bangunan ketika kejadian berkata, beliau sedang mengepam konkrit ke tingkat bawah apabila tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan kuat dan terlihat debu tebal.
“Saya orang pertama yang lari, saya tidak fikir apa-apa lagi. Selamatkan diri saya dulu, jika boleh baru bantu yang lain,” katanya kepada wartawan pada 7 Oktober.
Menurut rekod dalam talian bandar Madrid, bangunan itu dibina pada 1965. Ia telah menjalani dua pemeriksaan teknikal pada 2012 dan 2022 dan diklasifikasikan sebagai “tidak memuaskan” kerana keadaan hadapan bangunan, dinding luar, bumbung, teres serta sistem paip dan pembentung yang lemah.
Bangunan bekas pejabat itu terletak di kawasan pelancongan berhampiran rumah opera dan istana diraja. Ia sedang diubah suai menjadi hotel bertaraf empat bintang oleh pemaju Rehbilita, namun syarikat itu tidak memberikan sebarang komen kepada Reuters.
Bangunan tersebut dimiliki dana pelaburan berpangkalan di Arab Saudi, RSR, yang pakar dalam pelaburan hotel mewah dan apartmen pelancongan di Sepanyol serta Portugal. RSR membeli bangunan itu pada harga 24.5 juta euro (S$37.7 juta) pada 2022. Proses pengubahsuaian yang diluluskan pihak berkuasa pada Disember 2024 dijangka mengambil masa dua tahun.
Pihak berkuasa tempatan menyatakan siasatan penuh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca runtuhan, sambil menekankan aspek keselamatan tapak pembinaan perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan tragedi serupa. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg