Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Erdogan isytihar keadaan darurat di Turkey

Jul 21, 2016 | 12:33 PM
Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan, pada satu sidang media di Ankara pada 20 Julai.
Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan, pada satu sidang media di Ankara pada 20 Julai. - REUTERS

ANKARA: Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, mengisytiharkan pada Rabu (20 Jul) keadaan darurat selama tiga bulan, dan berikrar akan memburu kumpulan "pengganas" di sebalik cubaan rampasan kuasa berdarah yang gagal minggu lalu.

Beliau menuduh pengikut musuh utamanya, ulama berpangkalan di Amerika Syarikat, Encik Fethullah Gulen, menjadi dalang di balik percubaan rampasan kuasa itu, yang telah membawa kepada gelombang tangkapan dan pemecatan 50,000 orang yang disyaki sebagai pekomplot.

Keadaan darurat diperlukan "dalam usaha menghapuskan dengan pantas semua unsur pertubuhan pengganas yang terlibat dalam cubaan rampasan kuasa itu," kata Encik Erdogan di istana presiden di Ankara.

Sungguhpun langkah khas itu meningkatkan dengan luas kuasa keselamatan negara, beliau berikrar "demokrasi tidak akan dikompromi".

Pengumuman itu menyusuli mesyuarat panjang majlis keselamatan negara Turkey dan kabinet yang dipengerusikan oleh Encik Erdogan di istana presiden.

Kebimbangan global berkembang sedang pihak berkuasa Turkey menangkap atau membuang askar, polis, hakim, guru dan penjawat awam lain selepas cubaan rampasan kuasa Jumaat lalu itu.

Terdahulu, Encik Erdogan membidas pengkritik yang mengkritik tindakan pembersihan dalaman yang luas, termasuk memberitahu Menteri Luar Perancis, Encik Jean-Marc Ayrault - yang mengingatkan beliau supaya jangan menggunakan rampasan kuasa yang gagal itu sebagai "cek kosong" untuk menutup mulut lawannya - supaya "jangan masuk campur urusan orang lain".

Encik Erdogan turut dikritik Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik John Kerry, dan Canselor Jerman, Dr Angela Merkel.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dalam satu wawancara dengan Al-Jazeera bahawa tangkapan dan penggantungan jawatan itu dijalankan "mengikut undang-undang", sambil menambah "sudah tentu itu tidak bermakna kita sudah sampai ke penghujungnya".

Beliau juga menyuarakan kebimbangan pemberontakan yang gagal itu mungkin bukan "percubaan rampasan kuasa terakhir".

Pemerintah berkata 312 orang terbunuh dalam rampasan kuasa itu, termasuk 145 orang awam, 60 pegawai polis, tiga anggota tentera dan 104 pekomplot. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg