Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Greenland di tengah perebutan kuasa dunia

Jan 10, 2026 | 5:30 AM
Ahli perniagaan Amerika Syarikat, Encik Donald Trump Jr., selepas tiba di Nuuk, Greenland pada 7 Januari 2025. Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sedang membincangkan beberapa pilihan termasuk tindakan ketenteraan untuk mengambil alih kawalan ke atas Greenland, menurut Rumah Putih pada 6 Januari 2026, sekali gus meningkatkan ketegangan sehingga Denmark memberi amaran langkah sedemikian boleh menjejas pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Encik Trump memperhebat hasratnya terhadap wilayah autonomi Denmark yang kaya dengan sumber mineral di Artik itu sejak tentera Amerika menahan pemimpin Venezuela, Encik Nicolas Maduro, pada hujung minggu lalu.
Ahli perniagaan Amerika Syarikat, Encik Donald Trump Jr., selepas tiba di Nuuk, Greenland pada 7 Januari 2025. Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sedang membincangkan beberapa pilihan termasuk tindakan ketenteraan untuk mengambil alih kawalan ke atas Greenland, menurut Rumah Putih pada 6 Januari 2026, sekali gus meningkatkan ketegangan sehingga Denmark memberi amaran langkah sedemikian boleh menjejas pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Encik Trump memperhebat hasratnya terhadap wilayah autonomi Denmark yang kaya dengan sumber mineral di Artik itu sejak tentera Amerika menahan pemimpin Venezuela, Encik Nicolas Maduro, pada hujung minggu lalu. - Foto AFP

WASHINGTON: Tidak lama selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyingkirkan Presiden Venezuela, Encik Nicolás Maduro, pada 3 Januari lalu, perhatian beliau segera beralih ke Artik.

Greenland, wilayah autonomi milik Denmark, kembali menjadi tumpuan apabila Encik Trump memperbaharui gesaan agar Amerika mengambil alih pulau terbesar di dunia itu.

Pada 4 Januari, Encik Trump secara terbuka berkata beliau “sangat memerlukan Greenland”, satu kenyataan yang dengan pantas meningkatkan ketegangan antara Washington, Nuuk dengan Copenhagen.

Ketegangan itu memuncak apabila Rumah Putih pada 6 Januari malam mengeluarkan kenyataan penggunaan tentera Amerika bagi tujuan memperoleh Greenland “sentiasa satu pilihan”.

Kenyataan tersebut mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan sekutu Amerika di Eropah, khususnya Denmark, yang melihat kenyataan itu sebagai ancaman langsung terhadap kedaulatan dan kestabilan pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Greenland, Denmark dan Garis Merah Nato

Greenland merupakan sebahagian daripada pemerintahan Denmark.

Walaupun pulau itu mempunyai pemerintahan sendiri, Denmark masih mengawal dasar luar dan keselamatan wilayah tersebut.

Perdana Menteri Denmark, Cik Mette Frederiksen, memberi amaran keras sebarang serangan Amerika terhadap sekutu Nato akan menandakan berakhirnya pakatan itu sendiri.

Menurut beliau, serangan terhadap Greenland sebagai sebahagian daripada Denmark bermakna “segala-galanya akan terhenti”, termasuk kerjasama keselamatan pasca-Perang Dunia Kedua.

Nada yang sama turut disuarakan oleh Perdana Menteri Greenland, Encik Jens-Frederik Nielsen, yang menggesa Encik Trump agar meninggalkan “fantasi penaklukan”.

Pemimpin Eropah pula tampil menyokong pendirian Denmark dan Greenland dengan menegaskan Greenland “milik rakyatnya sendiri”.

Namun begitu, kenyataan daripada pembantu kanan Encik Trump, Encik Stephen Miller, menunjukkan pentadbiran Amerika tetap bertekad untuk memperoleh Greenland dan percaya ia boleh dilakukan tanpa campur tangan tentera.

Ketaasuban Trump terhadap Greenland

Minat Encik Trump terhadap Greenland bukan perkara baru.

Pada 2019, semasa penggal pertamanya, beliau secara terbuka mengesahkan laporan beliau meminta pembantunya meneliti kemungkinan Amerika membeli pulau itu, menyifatkannya sebagai “urusan hartanah berskala besar”.

Ketika itu, rasionalnya lebih bersifat ekonomi dan komersial.

Namun, pewajaran Encik Trump berubah mengikut masa.

Pada Januari, beliau berkata penguasaan Greenland penting demi “keselamatan ekonomi”.

Dalam kenyataan terkini, alasannya menjadi lebih tegas, dengan menekankan keperluan “keselamatan negara”, walaupun risiko terhadap masa depan Nato semakin jelas.

Perubahan itu mencerminkan bagaimana Greenland kini dilihat bukan sekadar wilayah terpencil, bahkan, aset strategik utama dalam persaingan kuasa besar.

Medan Pertarungan Geopolitik Artik

Kedudukan Greenland yang strategik di antara Amerika dengan Russia menjadikannya komponen penting dalam pertahanan hemisfera Barat.

Apabila krisis iklim mempercepat pencairan ais Artik, rantau itu berubah daripada zon kerjasama antarabangsa kepada medan persaingan geopolitik.

Greenland, dengan simpanan minyak, gas dan mineral penting untuk teknologi hijau seperti tembaga, litium, kobalt dan nikel, semakin menarik perhatian sejagat.

Amerika melihat penguasaan Greenland sebagai cara menghalang pengaruh China, yang kini menguasai pengeluaran sejagat mineral nadir bumi dan pernah memberi isyarat bagi menyekat eksport mineral kritikal.

Dengan menguasai Greenland, Washington berpotensi menutup ruang kepada Beijing dalam rantaian bekalan strategik masa depan.

Laluan Dagang Baru dan Kepentingan Ketenteraan

Pencairan ais Artik juga membuka laluan perkapalan baru yang berpotensi menjadi alternatif kepada Terusan Suez.

Laluan itu mampu memendekkan perjalanan antara Eropah Barat dengan Asia Timur hampir separuh.

China dan Russia bersetuju pada November lalu untuk bekerjasama membangunkan laluan perkapalan Artik, satu perkembangan yang menimbulkan kebimbangan strategik di Washington.

Dari sudut ketenteraan, Greenland sudah lama menjadi aset penting Amerika.

Sejak Perang Dingin, Amerika menempatkan pangkalan tentera di Pituffik, sebelum ini dikenali sebagai Thule, yang menempatkan sistem amaran awal peluru berpandu balistik.

Greenland juga mengawal sebahagian laluan GIUK, iaitu kawasan pemantauan utama Nato terhadap pergerakan tentera laut Russia di Atlantik Utara.

Sejarah Denmark, Trauma Kolonial dan Tuntutan Kemerdekaan

Greenland dihuni oleh masyarakat Inuit sejak ribuan tahun lalu sebelum ketibaan pelayar Norse.

Penjajahan moden bermula pada 1721 dengan kedatangan paderi Norway Hans Egede, di bawah naungan Denmark-Norway.

Semasa Perang Dunia Kedua, Amerika menduduki Greenland ketika Denmark berada di bawah pemerintahan Nazi, sebelum wilayah itu dikembalikan pada 1945.

Pada 1953, Greenland menjadi sebahagian Denmark secara rasmi, dengan pemerintahan sendiri diperkenalkan pada 1979.

Namun, ketegangan antara Nuuk dengan Copenhagen semakin meningkat, terutama berikutan skandal alat pencegah kehamilan paksa terhadap wanita Greenland pada 1960-an dan 1970-an, yang mendorong tuduhan serius terhadap Denmark.

Isu pemisahan kanak-kanak Greenland daripada keluarga mereka turut mencetuskan kemarahan awam.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Denmark mengambil langkah pembetulan, termasuk permohonan maaf rasmi dan pampasan kepada mangsa.

Sokongan terhadap kemerdekaan Greenland juga semakin meningkat, dan pada Mac lalu, pemerintah gabungan empat parti dibentuk atas semangat perpaduan nasional dengan kenyataan jelas: “Greenland milik kami”.

Cik Frederiksen menegaskan sebarang serangan Amerika terhadap sekutu Nato akan memusnahkan asas keselamatan Eropah.

Encik Nielsen pula menyatakan “ancaman, tekanan dan perbincangan tentang pengilhakan tidak mempunyai tempat antara sahabat”.

Raja Denmark, Frederik, dalam ucapan tahun barunya memuji kekuatan dan maruah rakyat Greenland dalam “masa yang bergelora”.

Greenland di Persimpangan

Greenland kini berada di persimpangan penting sejarahnya.

Di satu pihak, pulau itu menjadi semakin bernilai dari sudut keselamatan, ekonomi dan geopolitik sejagat.

Di pihak lain, rakyatnya semakin tegas menuntut hak menentukan masa depan sendiri.

Hasrat Encik Trump mengambil alih Greenland bukan sekadar isu wilayah, malah cerminan peralihan kuasa dunia, persaingan Artik, dan persoalan sama ada undang-undang antarabangsa serta kedaulatan kecil masih dihormati dalam era politik kuasa besar.

Dalam konteks ini, Greenland bukan sekadar ais dan mineral, sebaliknya simbol sama ada dunia masih berpegang pada prinsip fahaman pelbagai hala atau sedang melangkah ke era baru persaingan terbuka tanpa sempadan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg