Orang ramai digalak menderma buku teks terpakai mereka di pasar raya, FairPrice Xtra, dalam tempoh dua minggu ini sebagai sebahagian daripada inisiatif menyokong pelajar kurang bernasib baik.
Buku teks terpakai yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan boleh dihantar ke mana-mana sembilan pasar raya FairPrice Xtra dari 13 hingga 26 November sebagai sebahagian daripada kempen Share-A-Textbook, lapor The Straits Times.
Kini dalam edisi ke-43, kempen oleh FairPrice Group (FPG) itu bertujuan menyediakan keperluan pendidikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik untuk tahun persekolahan baru.
Sumbangan juga boleh dibuat di Pusat Belia Kemanusiaan Tzu Chi di Yishun.
Para sukarelawan dan rakan korporat FPG akan membantu menyusun buku teks, yang kemudian akan diedarkan pada 5 dan 6 Disember.
Setakat ini, lebih tujuh juta buku teks telah didermakan kepada hampir 300,000 pelajar menerusi inisiatif yang pertama kali dilancarkan pada 1982.
“Sejak pelancarannya, inisiatif utama ini telah berkembang menjadi kempen derma buku teks terbesar di Singapura, menyokong penerima bantuan bagi pelajar sekolah, organisasi masyarakat dan orang ramai dengan akses kepada sumber pendidikan asas,” kata FPG.
Kempen itu merupakan yang terkini dalam siri inisiatif oleh FPG dan Yayasan FairPrice untuk memastikan keperluan harian dapat diakses oleh semua indvidu di Singapura.
Ia termasuk kempen derma makanan untuk menyediakan barangan runcit berkhasiat dan makanan panas kepada mereka yang memerlukan, dan kelab sarapan pagi yang menyediakan lebih 12,000 murid Darjah Enam yang menduduki peperiksaan dengan pakej sarapan pagi berkhasiat.
Mereka yang ingin menderma boleh mengunjungi cawangan FairPrice Xtra di Ang Mo Kio Hub, Hougang One, VivoCity, Changi Business Park, NEX, Parkway Parade, Sports Hub, JEM dan Jurong Point.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg