FairPrice Group telah melancarkan inisiatif tahunan dipanggil ‘Share-A-Textbook’ selama dua minggu dari 16 hingga 30 November untuk membolehkan orang ramai mendermakan buku teks terpakai dan bahan kajian mereka.
Menurut hantaran Facebook NTUC FairPrice pada 13 November, mereka yang berminat boleh mendermakan buku teks di salah satu daripada 11 cawangan pasar raya FairPrice Xtra.
Cawangan yang terlibat termasuk di AMK Hub, Changi Business Park, Hougang 1, Jem, Jurong Point, Nex, Parkway Parade, Singapore Sports Hub, VivoCity, Pusat Belia Kemanusiaan Tzu Chi dan Vidacity.
Buku teks boleh ditinggalkan di dalam kotak disediakan atau diberi kepada seorang kakitangan di kaunter maklumat.
“Melalui edisi ke-42 ‘Share-A-Textbook’, FairPrice Group bekerjasama dengan hampir 30 pertubuhan masyarakat, syarikat dan sekolah untuk mengumpul dan mengedarkan buku teks terpakai dan bahan pendidikan lain kepada pelajar Singapura yang bersedia untuk tahun persekolahan baru akan datang,” kata seorang jurucakap FairPrice Group.
Jurucakap itu menambah bahawa matlamat inisiatif itu ialah untuk meningkatkan akses kepada sumber pendidikan bagi semua orang di Singapura.
FairPrice Group juga mengingatkan orang ramai bahawa bahan yang diderma harus berada dalam keadaan baik dan selaras dengan sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan (MOE) semasa.
Menurut FairPrice Group, buku teks dan bahan kajian yang didermakan akan diedarkan dari 9 pagi hingga 7 malam pada 7 dan 8 Disember di Pusat Belia Kemanusiaan Tzu Chi di Yishun.
Pendaftaran tidak diperlukan bagi mereka yang berminat untuk mengambil buku teks dan bahan kajian terpakai.
Menurut laman ‘Share-A-Textbook’, buku teks yang tidak diambil akan dihantar ke pusat kitar semula.
“Ini memastikan bahawa buku tidak akan dihantar ke tapak pelupusan sampah dan bahan bakal digunakan semula dengan cara yang mampan alam sekitar, lantas mengurangkan sisa dan kesan alam sekitar,” kata FairPrice Group.
FairPrice Group menambah bahawa orang ramai juga boleh mengambil bahagian dalam inisiatif ‘Share-A-Textbook’ sebagai sukarelawan untuk menyusun buku teks dari 27 November hingga 6 Disember, serta mengedarkan buku tersebut pada 7 dan 8 Disember.
Mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh mendaftar menerusi pautan, https://form.jotform.com/terrasg/SAT-volunteer-registration-form.
Menurut akhbar The Straits Times, inisiatif ‘Share-A-Textbook’ telah menyaksikan lebih 7 juta buku teks didermakan dan memberi manfaat kepada lebih 280,000 pelajar sejak 1983.
Tinjauan yang dijalankan oleh FairPrice Group pada September 2023 mendedahkan bahawa tujuh daripada 10 responden mempertimbangkan untuk menggunakan buku teks terpakai untuk mengurangkan perbelanjaan dan membantu meringankan beban kewangan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg