KASHMIR: Dua minggu selepas serangan pengganas mengorbankan puluhan pelancong di Kashmir yang ditadbir India, pemerintah India telah melancarkan siri serangan udara ke atas beberapa lokasi di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Dinamakan ‘Operasi Sindoor’, ia menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear yang telah lama bersengketa.
Kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan menyatakan serangan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen untuk memastikan pihak yang bertanggungjawab dalam serangan 22 April dibawa ke muka pengadilan.
India menegaskan tiada kemudahan ketenteraan Pakistan menjadi sasaran dan serangan hanya ditujukan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai pusat militan.
Menurut pemerintah India, sebanyak sembilan lokasi telah disasarkan awal pagi Rabu, 7 Mei.
Serangan itu melibatkan kawasan di Kashmir yang ditadbir Pakistan serta wilayah di dalam Pakistan sendiri.
Antara lokasi utama ialah Muzaffarabad dan Kotli di Kashmir yang ditadbir Pakistan serta Bahawalpur di wilayah Punjab, Pakistan.
Bagaimanapun, pihak Pakistan menafikan dakwaan serangan itu menyasarkan kem pengganas.
Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Asif, memberitahu GeoTV kawasan awam menjadi sasaran dan menyifatkan dakwaan India sebagai “palsu dan tidak berasas”.
Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif, mengesahkan kepada BBC, sekurang-kurangnya tujuh maut dalam serangan itu, termasuk dua kanak-kanak dan ramai lagi cedera.
Serangan itu berlaku selepas beberapa minggu ketegangan meningkat susulan serangan berdarah pada 22 April di Pahalgam, destinasi pelancongan yang popular di Kashmir.
Dalam serangan itu, 26 orang terbunuh – termasuk 25 warga India dan seorang warga Nepal – dan beberapa saksi mendakwa penyerang menyasarkan lelaki Hindu.
Ia merupakan serangan terhadap orang awam paling buruk di wilayah itu dalam tempoh dua dekad.
Serangan tersebut mencetuskan kemarahan meluas di India, dengan Perdana Menteri Narendra Modi berikrar akan memburu pelaku sehingga ke hujung dunia.
Bagaimanapun, India masih belum menamakan mana-mana kumpulan yang dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Namun, pihak polis India mendakwa dua daripada penyerang adalah warga Pakistan dan menuduh Islamabad menyokong kumpulan militan – satu tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pakistan.
Sejak kejadian itu, kedua-dua negara telah mengambil tindakan balas seperti mengusir diplomat, menggantung visa, dan menutup beberapa pintu sempadan.
Ramai pemerhati menjangkakan konflik itu akan membawa kepada tindakan rentas sempadan sebagaimana yang berlaku selepas serangan Pulwama pada 2019 yang mengorbankan 40 anggota separa tentera India.
Wilayah Kashmir sejak sekian lama menjadi punca utama pertikaian antara India dengan Pakistan.
Kedua-dua negara mendakwa hak ke atas seluruh wilayah, tetapi masing-masing hanya menguasai sebahagian daripadanya sejak pemisahan British India pada 1947.
Sejak itu, dua peperangan besar telah berlaku khusus kerana wilayah ini.
Kawasan Kashmir yang ditadbir India telah menyaksikan pemberontakan bersenjata sejak 1989, dengan kumpulan militan menyasarkan pasukan keselamatan dan orang awam.
Serangan 22 April adalah yang pertama seumpamanya sejak India menarik balik Artikel 370 Perlembagaan pada 2019, yang memberikan status khas kepada Jammu dan Kashmir.
Keputusan itu menimbulkan bantahan besar, namun pemerintah pusat mendakwa keadaan kini semakin stabil dengan berkurangnya kejadian pengganasan dan peningkatan pelancong.
Dalam kejadian terdahulu, India melancarkan operasi ketenteraan sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas.
Pada 2016, selepas 19 askar India terbunuh di Uri, tentera India melancarkan serangan merentasi Garisan Kawalan (LoC).
Pada 2019, serangan bunuh diri di Pulwama mendorong India menyerang Balakot, menjadikan ia serangan pertama India jauh ke dalam wilayah Pakistan sejak 1971. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg