NEW DELHI: India telah menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan Pakistan mulai 30 April, menurut kenyataan pemerintah beberapa hari selepas Pakistan terlebih dahulu mengenakan larangan sama terhadap pesawat India susulan serangan berdarah di Kashmir yang mengorbankan 26 pelancong.
Ketegangan diplomatik dan ketenteraan antara dua negara bersenjata nuklear itu kini berada pada tahap paling genting dalam beberapa tahun.
Larangan ini akan berkuat kuasa sehingga 23 Mei, menurut notis yang dikeluarkan oleh pemerintah India. Langkah India ini dilihat sebagai reaksi balas terhadap tindakan Pakistan yang pada minggu lalu menutup ruang udaranya kepada pesawat milik atau dikendalikan India, menggantung semua perdagangan termasuk melalui negara ketiga, dan membekukan pemberian visa khas Asia Selatan kepada warganegara India.
Penerbangan syarikat penerbangan nasional Pakistan, Pakistan International Airlines (PIA), turut mengesahkan bahawa mereka akan mengelak laluan udara India buat sementara waktu akibat ketegangan yang memuncak.
Walaupun larangan ini dijangka memberi kesan besar kepada sektor penerbangan, penganalisis menjangka impaknya terhadap Pakistan adalah lebih kecil kerana hanya PIA yang menggunakan ruang udara India dalam laluan ke Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dalam perbualan telefon bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio pada malam 30 April, “secara tegas menolak cubaan India untuk mengaitkan Pakistan dengan serangan itu,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Pakistan.
Encik Sharif turut menuntut satu siasatan bebas, telus dan berkecuali dijalankan, sambil menggesa Amerika Syarikat agar menggunakan pengaruhnya untuk mendesak India “meredakan retorik dan bertindak secara bertanggungjawab”.
Encik Rubio dalam kenyataan berasingan menggesa kedua-dua negara agar menurunkan suhu ketegangan. Beliau juga telah menghubungi Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, bagi menegaskan komitmen Amerika untuk bekerjasama dalam membanteras keganasan.
Sementara itu, Islamabad mendakwa mempunyai maklumat risikan yang boleh dipercayai bahawa India sedang merancang untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Pakistan dalam tempoh 24 hingga 36 jam.
“Kami menerima laporan sahih mengenai rancangan serangan dan sedang bersiap sedia untuk bertindak balas,” kata kenyataan rasmi dari Islamabad, yang turut menegaskan bahawa Pakistan akan bertindak “dengan tegas dan menyeluruh” terhadap sebarang pencerobohan.
Serangan yang mencetuskan krisis diplomatik ini berlaku pada 22 April di kawasan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, apabila sekurang-kurangnya enam lelaki bersenjata memisahkan pelancong lelaki dan menembak mereka dari jarak dekat.
India mengenal pasti tiga pelaku, termasuk dua warga Pakistan, sebagai militan yang terlibat dalam pemberontakan bersenjata di wilayah majoriti Islam itu.
Islamabad menafikan sebarang pembabitan dalam serangan tersebut dan menegaskan perlunya siasatan antarabangsa dijalankan. “Kami menolak sebarang bentuk keganasan dan kami tidak terlibat dalam serangan itu. India tidak seharusnya menggunakan tragedi ini untuk mencetuskan konflik,” kata jurucakap Kementerian Luar Pakistan.
India pula bertegas bahawa Pakistan membiayai dan menyokong gerakan militan di Kashmir, yang menjadi titik panas sejak pemisahan berdarah kedua-dua negara pada 1947. Islamabad sebaliknya menyatakan sokongan moral dan diplomatik kepada rakyat Kashmir untuk menentukan nasib sendiri.
Situasi semakin tegang apabila India menggantung pelaksanaan Perjanjian Air Indus — satu perjanjian penting yang selama ini memastikan pengagihan air sungai antara kedua-dua negara. Tindakan ini mendapat kritikan keras dari Islamabad yang menyifatkannya sebagai “penggunaan isu air sebagai senjata diplomatik”.
“Perjanjian ini tidak membenarkan penarikan balik sebelah pihak. Ia adalah satu komitmen antarabangsa yang tidak boleh digugat sesuka hati,” kata pejabat Perdana Menteri Pakistan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, berikrar untuk menghukum dalang serangan di Kashmir. “Kami tidak akan berdiam diri. Mereka yang merancang dan melaksanakan serangan ini akan diburu dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg