SAN DIEGO: Dua remaja yang melancarkan serangan tembakan di Pusat Islam San Diego pada 18 Meil lalu dipercayai dipengaruhi ideologi kebencian dan ekstremisme ganas yang berkembang di internet, menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata kedua-dua suspek itu bukan sahaja membenci umat Islam, malah turut menyebarkan fahaman antisemitik, perkauman dan misoginis atau kebencian terhadap wanita melalui bahan propaganda dalam talian.

“Suspek ini tidak memilih siapa yang mereka benci,” kata ejen khas FBI San Diego, Encik Mark Remily, dalam sidang media pada 19 Mei.

Menurut penyiasat, kedua-dua remaja itu dipercayai berkenalan secara dalam talian sebelum menyedari mereka tinggal di kawasan sama di San Diego dan akhirnya bertemu secara bersemuka.

Salah seorang suspek dikenal pasti sebagai Cain Clark, 17 tahun, ahli pasukan gusti sebuah sekolah menengah tempatan, manakala rakannya, Caleb Vazquez, berusia 18 tahun.

Pihak berkuasa berkata kedua-duanya dipercayai menjadi radikal selepas terdedah kepada kandungan ekstremis dan penembak beramai-ramai lain di Internet.

FBI turut menemui dokumen setebal 75 halaman yang digambarkan sebagai “manifesto”, yang dipercayai memuji penembak massa terdahulu termasuk pelaku serangan masjid di Christchurch, New Zealand, pada 2019.

Dokumen itu mengandungi retorik anti-Islam, antisemitik dan perkauman, selain ideologi accelerationism, iaitu fahaman pelampau yang percaya masyarakat perlu dihancurkan melalui keganasan dan kekacauan bagi mencetuskan perubahan radikal, termasuk mengangkat dominasi kaum kulit putih.

Menurut sumber penguat kuasa undang-undang, salah seorang suspek turut meninggalkan nota bunuh diri yang menunjukkan kesediaannya mati demi perjuangan ekstremis tersebut.

Penyiasat berkata kedua-dua remaja itu turut merakam serangan berkenaan sebelum video berdurasi 10 minit itu disebarkan secara meluas di laman web ganas yang memaparkan kandungan pembunuhan dan kecederaan ngeri.

Video itu menunjukkan Clark, yang memakai pakaian celoreng tentera, menembak mati Vazquez sebelum membunuh dirinya sendiri selepas serangan tersebut. Rakaman itu juga memperlihatkan senjata dan peralatan yang mempunyai simbol neo-Nazi.

Pihak berkuasa berkata kedua-dua suspek menyimpan kira-kira 30 senjata api dan sebuah busur silang yang dipercayai diambil daripada ibu bapa salah seorang daripada mereka.

Amaran awal diterima sekitar jam 9.40 pagi apabila ibu kepada salah seorang suspek menghubungi talian kecemasan 911.

Wanita itu berkata beliau bimbang anaknya mahu membunuh diri selepas mendapati beberapa senjata serta kenderaannya hilang. Beliau turut memberitahu anaknya memakai pakaian penyamaran tentera.

Maklumat itu mencetuskan amaran ancaman keselamatan, namun pihak berkuasa ketika itu tidak mengetahui sasaran khusus serangan tersebut.

Kira-kira dua jam kemudian, kedua-dua remaja terbabit melancarkan serangan di masjid berkenaan.

Mereka menembak mati seorang pengawal keselamatan, Encik Amin Abdullah, yang kemudian dipuji kerana berjaya menyelamatkan ramai nyawa lain.

Masjid itu turut menempatkan sebuah sekolah dengan lebih 100 kanak-kanak berada di dalam bangunan ketika kejadian berlaku.

Menurut penyiasat, para penyerang mula bergerak dari satu bilik ke satu bilik, namun Encik Abdullah sempat mengaktifkan sistem amaran kecemasan yang menyebabkan sekolah itu dikunci dan para pelajar dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

“Beliau menyelamatkan banyak nyawa,” kata seorang pegawai penyiasat mengenai tindakan pengawal keselamatan tersebut.

Penyiasat berkata kedua-dua suspek kemudian ternampak dua lelaki di tempat letak kereta melalui tingkap bangunan sebelum keluar dan menembak mereka.

Mereka melarikan diri menggunakan kenderaan sambil terus melepaskan tembakan dari tingkap kereta.
Beberapa blok dari lokasi serangan, Clark dipercayai menembak rakannya sebelum membunuh dirinya sendiri.

FBI turut menyiasat hubungan kedua-dua suspek dengan komuniti ekstremis dalam talian dikenali sebagai True Crime Community atau TCC yang sering memuliakan penembak massa serta menggalakkan keganasan dan perbuatan mencederakan diri sendiri.

Menurut sumber siasatan, video serangan itu dipercayai mula dirakam melalui platform permainan dan komunikasi dalam talian Discord.

Sumber itu berkata video tersebut dipercayai dimuat naik oleh individu menggunakan nama samaran “Otto”.
Semakan CBS News mendapati semua hantaran oleh akaun tersebut telah dipadamkan selepas serangan itu tersebar.

Jurucakap Discord bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas berhubung permintaan komen mengenai perkara itu. - Agensi berita