SAN DIEGO: Seorang ibu di California memberi amaran kepada polis anak lelakinya yang masih remaja telah melarikan diri bersama beberapa senjata api dari rumah mereka kira-kira dua jam sebelum serangan tembakan maut di sebuah masjid di San Diego, Amerika Syarikat.

Polis berkata wanita itu menghubungi pihak berkuasa pada pagi 18 Mei selepas mendapati anaknya hilang bersama beberapa senjata dan sebuah kenderaan miliknya.

Ketua Polis San Diego, Encik Scott Wahl, berkata ibu remaja terbabit bimbang anaknya mungkin mempunyai niat membunuh diri.

“Beliau memaklumkan anaknya hilang dan mungkin mahu mencederakan diri sendiri,” katanya dalam sidang media di sebuah taman berhampiran masjid yang menjadi lokasi serangan.

Menurut beliau, wanita itu kemudian menyedari beberapa senjata api miliknya turut hilang bersama kereta keluarga.

Polis turut menemui nota yang ditinggalkan remaja terbabit, namun kandungannya tidak didedahkan kepada umum.

“Ibu itu memberitahu anaknya bersama seorang lagi individu dan kedua-duanya berpakaian celoreng tentera,” katanya.

Susulan laporan tersebut, polis melancarkan operasi besar-besaran untuk mengesan kedua-dua remaja tersebut menggunakan teknologi pembaca nombor plat automatik serta menghantar anggota ke beberapa lokasi yang mungkin menjadi sasaran.

Ia termasuk sebuah pusat beli-belah dan sekolah yang dikaitkan dengan salah seorang suspek.

Namun, ketika usaha pencarian sedang dijalankan, polis menerima panggilan kecemasan pada 11.43 pagi mengenai kejadian tembakan di Pusat Islam San Diego, iaitu masjid terbesar di San Diego.

Masjid itu terletak kira-kira 20 minit dari pusat bandar San Diego dan turut mempunyai sekolah Islam bersebelahan.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, polis menemui tiga lelaki dewasa mati ditembak di luar kawasan masjid.

Pada masa sama, polis menerima laporan mengenai satu lagi kejadian tembakan berhampiran lokasi tersebut sebelum menemui dua remaja di dalam sebuah kenderaan di tengah jalan.

Kedua-duanya dipercayai membunuh diri menggunakan senjata api selepas melancarkan serangan tersebut.

Encik Wahl mengesahkan kedua-dua suspek berusia 17 dan 18 tahun.

“Ini adalah mimpi ngeri paling buruk bagi sebuah bandar dan masyarakat bebas seperti kita,” katanya.

Polis berkata siasatan awal mendapati serangan itu mempunyai unsur kebencian terhadap Islam dan sedang disiasat sebagai jenayah kebencian.

“Terdapat retorik kebencian yang jelas dalam kes ini,” kata Encik Wahl.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada ancaman khusus terhadap mana-mana lokasi atau masjid sebelum kejadian itu berlaku.

“Ia lebih kepada ucapan kebencian umum yang melibatkan pelbagai perkara,” katanya.

Pihak berkuasa termasuk Biro Siasatan Federal (FBI) kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti motif sebenar serangan tersebut.

Menurut polis, seorang pengawal keselamatan masjid yang terbunuh dipercayai berjaya menghalang keadaan daripada menjadi lebih buruk.

“Kami percaya pengawal keselamatan itu berjaya membantu mengehadkan serangan di bahagian hadapan masjid sahaja,” kata Encik Wahl.

“Tindakannya amat berani dan tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau telah menyelamatkan banyak nyawa.”

Imam dan pengarah pusat Islam berkenaan, Encik Taha Hassane, berkata masyarakat Islam di San Diego masih terkejut dengan tragedi tersebut.

“Kami tidak pernah mengalami tragedi seperti ini sebelum ini,” katanya.

“Amat melampau untuk menjadikan rumah ibadat sebagai sasaran.”

Beliau berkata masjid itu bukan sahaja digunakan umat Islam untuk beribadat, malah menjadi tempat masyarakat pelbagai latar belakang berkumpul untuk belajar dan menjalankan kegiatan masyarakat.

“Orang datang ke sini untuk berdoa, belajar dan meraikan kehidupan. Ini sesuatu yang tidak pernah kami jangkakan,” katanya.

Encik Hassane turut mengesahkan semua pelajar dan kakitangan sekolah Islam bersebelahan selamat. – Agensi berita.