Topik diikuti
Pergi ke BHkuFBI siasat hubungan sulit CEO Nvidia dengan wanita disyaki perisik China
Trump percaya Jensen Huang tidak tahu wanita itu perisik China, namun skandal tersebut cetus kebimbangan keselamatan AS
FBI siasat hubungan sulit CEO Nvidia dengan wanita disyaki perisik China
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengesahkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat hubungan sulit antara Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, dengan seorang wanita yang disyaki menjadi perisik China, ketika skandal itu semakin mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan negara.
Encik Trump berkata beliau sudah menghubungi Encik Huang pada 9 November selepas laporan media mendedahkan bahawa ketua syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) terkemuka dunia itu dipercayai menjadi sasaran operasi perisikan Beijing.
Menurutnya, Encik Huang menafikan mengetahui bahawa wanita berkenaan, Cik Alice Huang, mempunyai kaitan dengan kegiatan perisikan China.
“Saya bertanya kepadanya, ‘Adakah anda tahu wanita itu seorang perisik?’ Beliau menjawab, ‘Saya langsung tidak tahu dia seorang perisik.’
“Dan saya benar-benar mempercayainya,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai siasatan FBI atau bila ia dimulakan.
FBI pula enggan mengulas ketika dihubungi BBC.
Cik Alice, yang turut dikenali sebagai Huang Le, merupakan warga China dan pernah memegang jawatan pengarah urusan Megaspeed, sebuah syarikat pusat data yang berpangkalan di Singapura serta mempunyai urusan perniagaan dengan Nvidia.
Beliau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Encik Huang.
Menurut laporan The New York Times, pegawai perisikan Amerika percaya Cik Alice Huang menjalankan kegiatan pengintipan bagi pihak Beijing.
Laporan itu turut mendakwa Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menghantar memorandum kepada pegawai kanan Washington pada musim bunga lalu bagi memberi amaran mengenai hubungan rapat Encik Huang dengan seorang wanita yang disyaki perisik China.
Bagaimanapun, Beijing menolak dakwaan tersebut.
Kementerian Luar China menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas yang bertujuan memburukkan imej negara itu.
Nvidia pula sudah melantik pihak bebas untuk menyiasat hubungan berkenaan.
Syarikat itu menegaskan bahawa setakat ini, tiada sebab untuk mempercayai rahsia perniagaannya atau keselamatan negara AS telah terjejas.
Encik Huang sebelum ini mengakui berlaku curang terhadap isterinya dan memohon maaf kerana melukakan perasaan isteri serta anak-anaknya.
Beliau turut berikrar memberikan kerjasama penuh kepada siasatan.
“Saya komited untuk melindungi Nvidia dan menyokong keselamatan negara Amerika,” katanya.
Skandal tersebut memberi kesan besar kepada pasaran saham apabila nilai Nvidia dilaporkan merosot kira-kira AS$250 bilion ($325 bilion) pada 9 November, selepas harga sahamnya jatuh lebih empat peratus.
Nvidia merupakan syarikat kedua paling bernilai di dunia selepas Apple dan memainkan peranan penting dalam pembangunan AI menerusi cip berprestasi tinggi yang digunakan untuk melatih serta mengendalikan sistem teknologi itu.
Pada masa sama, Encik Huang dan Nvidia berdepan tindakan undang-undang berkumpulan yang difailkan bagi pihak sekumpulan pemegang saham di California.
Saman tersebut menuduh syarikat berkenaan menyembunyikan hubungan Encik Huang dengan Cik Alice daripada pemegang saham.
Ia turut mendakwa wanita itu disyaki cuba membantu penyeludupan produk Nvidia ke China.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut belum dibuktikan di mahkamah.
Kontroversi itu turut menarik perhatian Kongres Amerika.
Beberapa pengerusi jawatankuasa Kongres meminta Encik Huang menghadiri taklimat tertutup minggu depan bagi menjelaskan langkah keselamatan Nvidia terhadap kegiatan pengintipan asing serta hubungannya dengan Cik Alice.
Belum dapat dipastikan sama ada beliau akan menghadiri taklimat tersebut.
Skandal itu berlaku ketika Washington dan Beijing bersaing untuk menguasai teknologi AI, yang semakin penting dalam pembangunan ekonomi, ketenteraan dan sistem pengawasan.
Sejak 2022, Amerika mengenakan sekatan terhadap eksport cip AI paling canggih ke China bagi menghalang Beijing memperoleh kelebihan teknologi.
Bagaimanapun, beberapa syarikat didakwa mencari jalan mengatasi sekatan tersebut.
Megaspeed, yang pada asalnya merupakan sebuah syarikat permainan komputer China, berpisah daripada syarikat induknya dan menubuhkan operasi di Singapura pada 2023.
Encik Huang sejak sekian lama menentang sekatan eksport cip ke China kerana berpendapat teknologi Amerika sepatutnya digunakan secara lebih meluas di seluruh dunia.
Pentadbiran Trump pada Januari lalu membenarkan Nvidia menjual cip H200 kepada pelanggan China dengan syarat tertentu, namun cip paling canggihnya, termasuk GB200 Blackwell, masih dilarang memasuki pasaran itu.
Skandal terbaru ini dijangka meningkatkan tekanan terhadap dasar eksport cip Amerika.
Senator Demokrat, Elizabeth Warren, yang menyokong kawalan lebih ketat terhadap eksport teknologi, menggesa Kongres menggubal undang-undang bagi memastikan teknologi AI canggih AS tidak jatuh ke tangan China.
Penganalisis melihat kontroversi tersebut berpotensi melemahkan usaha Encik Huang melobi Washington supaya melonggarkan sekatan eksport.
Encik Trump bagaimanapun terus mempertahankan ketua Nvidia itu.
Beliau menyifatkan Encik Huang sebagai seorang yang terhormat dan yakin beliau mampu menghadapi siasatan tersebut.
“Saya berharap tiada masalah berlaku. Saya percaya beliau sedang menanggung tekanan yang amat berat,” katanya.
Encik Trump turut menjangkakan Presiden China, Xi Jinping, akan membangkitkan isu berkenaan apabila mereka bertemu kelak.
“Saya pasti beliau akan bertanya kepada saya mengenainya,” katanya. – Agensi berita